Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terbaca tentang kisah kebebalan kaum Quraisy dan pembesar mereka sehingga memperbodohkan orang musyrikin Makkah ketika awal keislaman. Inikah yang dimaksudkan kaum pandir dan konsep bebalisme?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pandir menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bersinonim dengan bodoh, dungu, tolol, bebal, bengap dan apa jua yang seangkatan dengannya.
Mereka ini ibarat orang yang diberikan kepada mereka akal, tetapi tidak mahu berfikir dengan baik. Alangkah ruginya kaum pandir ini, kerana mereka tidak mampu untuk memimpin manusia ke arah kebenaran jika diangkat sebagai pemimpin kerana kebebalan mereka, dan mereka juga sentiasa dipergunakan dan diperkotak-katikkan apabila berada di bawah.
Firman Allah SWT:
وَانطَلَقَ الْمَلَأُ مِنْهُمْ أَنِ امْشُوا وَاصْبِرُوا عَلَىٰ آلِهَتِكُمْ ۖ إِنَّ هَٰذَا لَشَيْءٌ يُرَادُ (6) مَا سَمِعْنَا بِهَٰذَا فِي الْمِلَّةِ الْآخِرَةِ إِنْ هَٰذَا إِلَّا اخْتِلَاقٌ
Maksudnya: “Dan (ketika itu) keluarlah ketua-ketua dari kalangan mereka (memberi kata semangat): ‘Jalan terus (menurut cara penyembahan datuk nenek kamu) dan tetap tekunlah menyembah tuhan-tuhan kamu. Sebenarnya sikap ini adalah satu perkara yang amat dikehendaki. Kami tidak pernah mendengar tentang (soal mengesakan Tuhan) itu dalam agama yang terakhir; perkara ini tidak lain hanyalah rekaan dan dusta semata-mata’.”
(Surah Sad: 6-7)
Imam Ibn Kathir menukilkan dari al-Suddi bahawa sebab ayat ini diturunkan berkenaan Abu Talib. Kaum Quraisy berkumpul bersama pembesar mereka ketika itu, antaranya Abu Jahal bin hisyam, al-‘As bin Wa’il, al-Aswad bin al-Muttalib, dan al-Aswad bin ‘Abd Yaghuth. Lalu mereka merancang untuk bertemu dengan Abu Talib agar dia berpesan kepada Rasulullah SAW untuk tidak menghina tuhan mereka, dan sebagai balasan mereka tidak akan mengganggu Rasulullah SAW serta tidak mengganggu dakwah Baginda kepada Allah SWT.
Tanpa berfikir panjang, Abu Talib diikuti kaum Quraisy pergi menyampai sebagaimana yang diminta oleh pembesar Quraisy kepada Rasulullah SAW. Kemudian Baginda bersabda:
يَا عَمِّ أَفَلَا أَدْعُوهُمْ إِلَى مَا هُوَ خَيْرٌ لَهُمْ؟
Maksudnya: “Wahai pakcik, tidakkah boleh aku mengajak mereka kepada sesuatu yang lebih baik buat mereka?”
Lalu Abu Talib bertanya: “Kamu ajak mereka kepada apa?” Baginda SAW menjawab bahawa Baginda mengajak mereka untuk mengucapkan satu kalimah yang diimani oleh orang Arab dan orang bukan Arab. Abu Talib bertanya lagi: “Demi bapa kamu wahai Muhammad, Apakah ia? Akan kami datangkan dengan semisalnya 10 kali ganda!” Baginda SAW menjawab:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
Maksudnya: “Tidak ada tuhan selain Allah.”
Abu Talib berkata: “Mintalah pada kami selain dari itu.” Baginda menjawab: “Sekalipun kamu datangkan padaku matahari dan meletakkannya di tanganku, aku tidak akan meminta perkara lain selain kalian ucapkan kalimah itu.”
Lalu bangunlah kaum Quraisy dalam keadaan marah seraya berkata: “Kami akan mencela engkau dan tuhan engkau yang memerintahkan untuk perkara ini.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/46)
Riwayat al-Nasa’ie (11437) dan Ahmad (3419)
Ibrah yang dapat diambil dari kisah ini, Allah SWT menceritakan bagaimana golongan penguasa elit dalam sesebuah masyarakat mempengaruhi golongan pengikut bawahan mereka untuk mempercayai dakwaan dan pembohongan yang dilakukan oleh mereka.
Persoalan perwatakan di dalam ayat di atas ini dilihat berkait rapat dengan istilah ‘kaum pandir’, sifat ‘bebalisme’ dan ‘watak tertawan’ yang diperkenalkan oleh seorang pakar sosiologi negara iaitu Syed Hussein al-Attas, bekas Felo Kanan di Institut Alam dan Tamadan Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau telah membincangkan fahaman ini dalam dua buku beliau iaitu, ‘Intelectuals In Developing Society’ yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai ‘Intelektual Masyarakat Membangun’ dan juga ‘The Myth of Lazy Natives’ yang diterjemahkan sebagai ‘Mitos Peribumi Malas’.
Pertama, apa yang dimaksudkan dan disifatkan oleh beliau tentang ‘kaum pandir’ ialah tidak mampu untuk mengenali permasalahan. Jika diberitahukan permasalahan kepadanya, dia tidak mampu untuk menyelesaikannya, tidak mampu mempelajari apa yang diperlukan olehnya dan tidak mampu mempelajari seni belajar. Juga, biasanya dia tidak mengakui ke-pandiran-nya. Beliau menambah lagi bahawa sifat kaum pandir juga ialah tidak berfikir secara konstektual baik dalam ruang waktu dan dinamika saling berhubungan faktor-faktornya. Hanya bereaksi terhadap hal yang langsung dan tidak dapat melihat apa di sebaliknya. Berfikir dengan pengertian sebab-sebab yang terbatas. Biasanya tidak kritis terhadap landasan pemikiran sendiri, tidak muhasabah diri atas masalah atau situasi, tidak konsiten, tidak berfikir secara analitis, kekurangan tenaga mental dan tidak dapat berbicara pada abstraksi taraf tinggi tanpa dibandingkan dengan kenyataan.
Selain itu, satu sifat utama yang berkait rapat dengan pandir ini ialah sifat yang disebut ‘bebalisme’. Menurut Syed Hussein al-Attas, sifat bebalisme ini seperti mengharap orang lain percaya pada apa yang dikemukakannya tanpa memberi alasan atau penjelasan yang merujuk pada pokok permasalahan yang berada di luar jangkaan penerimaan biasa. Dia cenderung untuk melakukan generalisasi dengan segera, tidak mempunyai kecintaan kepada hujah yang tertib dan rasional serta tidak memberi penghargaan kepadanya. Dia juga tidak menghormati ilmu pengetahuan dan pandangan ilmiah, tidak ada kehalusan budi pekerti dan lain-lain. Pada akhirnya, beliau mengulas bahawa ciri-ciri bebalisme ini banyak sekali dan membuat kesimpulan bahawa orang pandir itu ialah individu yang fikirannya didominasi oleh sejumlah atau semua perangai bebalisme sehingga mereka tidak dapat berfungsi sesuai dengan taraf yang dituntut oleh situasi. (Lihat Intelektual Masyarakat Membangun, hlm. 45-58)
Kriteria kaum pandir dan sifat ‘bebalisme’ yang membelenggu golongan tersebut dapat dilihat dengan jelas dalam ayat al-Quran yang disebut di atas tadi, iaitu pada keduadua golongan penguasa elit dan pengikut bawahan mereka. Sebagai contoh, golongan penguasa elit tersebut mendatangkan hujah untuk menafikan kerasulan Nabi Muhammad SAW dengan menunjukkan kehairanan dan ketakjuban mereka terhadap seruan Rasulullah SAW untuk menyembah Tuhan Yang Esa, sedangkan hal tersebut merupakan sesuatu yang benar dan tidak perlu untuk dihairankan. Bahkan, perbuatan mereka menyembah tuhan yang berbilang-bilang tersebutlah yang lebih menghairankan dan menakjubkan.
Dalam masa yang sama pula, golongan penguasa elit tersebut menyuruh pengikut bawahannya supaya tetap dalam keadaan menyembah tuhan-tuhan mereka tanpa berfikir dan memerhatikan kepada apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Ini merupakan kesan gejala ‘kaum pandir’ dan sifat ‘bebalisme’ yang merosakkan diri mereka, dan juga orang bawahan mereka jika sekiranya mereka merupakan golongan pemimpin. Bahkan, lebih teruk jika melibatkan hal akidah dan keimanan sepertimana diceritakan Allah SWT di dalam ayat di atas. Meminjam kata-kata Syed Hussein al-Attas dalam bukunya tersebut bahawa beliau menyatakan, sistem apa pun jika dikuasai oleh orang pandir, tidak akan dapat berfungsi dengan sempurna.
Kesimpulan
Faktor utama yang mendorong kepada keingkaran kaum musyrikin Makkah dan umat-umat terdahulu terhadap dakwah Rasulullah SAW adalah kesombongan dan keangkuhan diri mereka daripada menerima kebenaran.
Betapa hebatnya seseorang, betapa besarnya kuasa yang dimiliki, betapa tingginya kedudukan tidak akan sesekali dapat menyelamatkannya daripada azab Allah SWT jika dia ingkar terhadap ajaran-Nya.
Oleh yang demikian, jauhilah kesombongan yang akan membutakan hati dan mengeraskan jiwa dan akhirnya akan menatijahkan kesesatan. Janganlah kita jadi seperti kaum pandir ini yang sentiasa terbelenggu di bawah konsep bebalisme sehingga menyesatkan mereka.
Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”
Wallahu a‘lam