Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah setiap penyakit ada ubatnya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah SWT tidak akan terlepas daripada terkena ujian bagi melihat siapakah di antara mereka yang baik amalannya. Ini sebagaimana yang difahami daripada firman Allah SWT:
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ
Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”
(Surah al-Mulk: 2)
Begitu juga, seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Apabila agamanya kuat, maka ujiannya juga akan ditambah dan bertambah berat. Apabila agamanya lemah, maka diringankan ujiannya. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Sa‘d bin Abi Waqqas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي بَلَائِهِ
Maksudnya: “Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya kuat, maka ujiannya akan ditambah.”
Riwayat Ahmad (1481)
Di antara bentuk ujian ke atas para hamba-Nya adalah mereka diuji dengan penyakit dan kesakitan. Namun, di sana terdapat hadis yang menyatakan bahawa Allah SWT akan menurunkan penawar bagi setiap penyakit yang diturunkan. Antaranya riwayat daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً
Maksudnya: “Allah SWT tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.”
Riwayat al-Bukhari (5678)
Dalam riwayat lain daripada Usamah bin Syarik R.A berkata:
فَجَاءَتِ الْْأَعْرَابُ، فَسَأَلُوهُ فَقَالُوا: يََا رَسُولَ اللهِ، نَتَدَاوَى؟ قَالَ: نَعَمْ، تَدَاوَوْا، فَإِنَّ اللهَ لََمْ يَضَعْ دَاءً إِلَّا وَضَعَ لَهُ دَوَاءً غَيْرَ دَاءٍ وَاحِدٍ الْْهَرَمُ
Maksudnya: “Rombongan Arab Badwi datang menemui Baginda SAW, lalu bertanya kepadanya: ‘Wahai Rasulullah, perlukah kami berubat?’ Baginda menjawab: ‘Ya, berubatlah kerana sesungguhnya Allah SWT tidak meletakkan suatu penyakit, melainkan Dia akan menjadikan ubat untuk penyakit itu kecuali satu penyakit iaitu tua’.”
Riwayat Ahmad (18454)
Di dalam hadith, Rasulullah SAW menyebut mengenai perubatan dan ubat secara umum tanpa menghadkannya. Justeru, tugas kita adalah berusaha mencari ubat yang paling berkesan berdasarkan nasihat-nasihat pakar. Hal ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ، فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِِإِذْنِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla.”
Riwayat Muslim (2204)
Kesimpulan
Justeru, dapat kita fahami di sini bahawa setiap penyakit itu, Allah SWT telah menyediakan ubatnya. Namun, pengetahuan mengenai ubat-ubatan tersebut tidak disingkapkan di hadapan manusia.
Untuk mengetahui apakah ubatnya yang berkesan, satu kajian khusus mesti dijalankan bagi menentukan ubat-ubatan yang terbaik dan berkesan mengikut penyakit-penyakit tertentu oleh tenaga-tenaga pakar bertepatan sebagaimana perintah Allah SWT yang menyuruh hamba-hamba-Nya bertanya kepada ahli ilmu (tenaga pakar) sekiranya tidak mengetahui. Allah SWT berfirman:
فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”
(Surah al-Nahl: 43)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”
Wallahu a‘lam