Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara kita membanteras amalan khurafat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Amalan khurafat ialah sebuah kepercayaan kepada perkara yang tidak bermanfaat, tidak memudharatkan dan tidak bersesuaian dengan akal yang sejahtera dan realiti semasa. Perbuatan yang menyalahi hukum syarak ini masih lagi meluas pengamalannya dalam kalangan masyarakat Melayu moden pada hari ini.
Kepercayaan yang telah kuat bertapak dan berakar umbi dalam masyarakat Melayu itu seolah-olah telah menjadi satu pegangan atau tradisi yang mesti dilakukan dalam majlis-majlis atau perayaan tertentu. Melalui takrif ini, jelas bahawa khurafat adalah perbuatan syirik dan dosa besar lantaran ia merosakkan akidah kerana mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Mereka yang melakukan perbuatan khurafat wajib bertaubat kepada Allah SWT untuk menyelamatkan akidah daripada kekufuran.
Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِۦ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفْتَرَىٰٓ إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa sesiapa yang mensyirikkan-Nya, dan Allah mengampunkan dosa selain dosa syirik kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mensyirikkan Allah, maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang sangat besar.”
(Surah al-Nisa’: 48)
Kekurangan didikan agama merupakan salah satu punca utama berlakunya amalan khurafat. Pemikiran yang singkat akan mencorakkan perbuatan mereka, tanpa merujuk kepada mereka yang lebih arif mengenai persoalan agama. Ekoran daripada itu, munculnya amalan-amalan yang asing dan sesat seperti pemujaan tempat-tempat yang dianggap keramat, pemujaan orang-orang yang dianggap wali dan memuja pantai. Dengan kekurangan ilmu agama juga menjadikan masyarakat Melayu terdedah kepada ancaman khurafat yang boleh menjerumuskan masyarakat kepada al-Bid‘ah al-I‘tiqadiyyah.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan dalam kitabnya, al-Halal wa al-Haram, berkenaan hal membanteras kekeliruan dan khurafat. Antara lain katanya: “Apabila Rasulullah SAW diutuskan, Baginda mendapati dalam kalangan masyarakat Arab terdapatnya beberapa dajjal yang dikenali dengan panggilan kahin, iaitu dukun, dan yang lain dikenali sebagai tukang tilik dan ahli nujum, yang mengaku diri mereka mengetahui perkara-perkara ghaib, baik yang telah terjadi pada masa yang lalu, mahupun yang akan berlaku pada masa hadapan, iaitu dengan perantaraan jin, puaka dan sebagainya.”
Justeru itu, Rasulullah SAW telah mengisytiharkan perang terhadap kepercayaan yang sesat ini, yang tidak disandarkan kepada ilmu pengetahuan yang lurus atau petunjuk dan syariat yang benar. Baginda menyampaikan wahyu Allah SWT berkenaan perkara ini dan membacakan kepada mereka ayat berikut:
قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ٱلْغَيْبَ إِلَّا ٱللَّهُ ۚ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ
Maksudnya: “Katakanlah lagi wahai Muhammad, “Seluruh makhluk di langit dan di bumi tidak mengetahui perkara ghaib selain Allah. Bahkan mereka juga tidak sedar bila mereka akan dibangkitkan.”
(Surah al-Naml: 65)
Tegasnya, tiada siapa pun yang tahu-menahu mengenai perkara ghaib itu, sama ada malaikat, jin ataupun manusia. Kemudian, Baginda menjelaskan lagi tentang perintah Allah itu melalui firman-Nya:
قُل لَّآ أَمْلِكُ لِنَفْسِى نَفْعًۭا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُ ۚ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ ٱلْغَيْبَ لَٱسْتَكْثَرْتُ مِنَ ٱلْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِىَ ٱلسُّوٓءُ ۚ إِنْ أَنَا۠ إِلَّا نَذِيرٌۭ وَبَشِيرٌۭ لِّقَوْمٍۢ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan tentulah aku tidak ditimpa kesusahan. Aku hanyalah pesuruh Allah yang memberi amaran dan membawa berita gembira kepada orang-orang yang beriman.”
(Surah al-A‘raf: 188)
Kemudian Baginda menjelaskan pula tentang berita kaum jin pada zaman Nabi Sulaiman A.S:
أَن لَّوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ ٱلْغَيْبَ مَا لَبِثُوا۟ فِى ٱلْعَذَابِ ٱلْمُهِينِ
Maksudnya: “Sekiranya mereka mengetahui perkara ghaib, tentulah mereka tidak tinggal sebegitu lama dalam seksa kerja berat yang menghina.”
(Surah Saba’: 14)
Suasana persekitaran dan adat resam yang tidak menepati kehendak akidah Islam boleh menjurus kepada perlakuan khurafat. Justeru, para ulama perlu menasihati umat Islam supaya meninggalkan adat resam atau kepercayaan yang bercanggah dengan Islam dan berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/193-195)
Kesimpulan
Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui perkara ghaib dan Dia tidak akan memberikan ilmu ghaib itu kepada sesiapa pun daripada kalangan makhluk, kecuali para rasul sahaja yang diberikan sedikit pengetahuan tentang perkara itu sebagai mukjizat untuk membenarkan dakwahnya. Jika ada dakwaan daripada orang kebiasaan mengenai hal ini, pastinya ia adalah suatu pembohongan yang besar.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”