Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan sebab turunnya ayat 1-3 Surah al-Muddatthir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمُدَّثِّرُ (١) قُمْ فَأَنذِرْ (٢) وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ

Maksudnya: “Wahai orang yang berselimut. Bangunlah serta berilah peringatan. Agungkanlah Tuhanmu dengan bertakbir.”

(Surah al-Muddatthir: 1-3)

Menjawab persoalan di atas, sebab turunnya ayat ini adalah sebagaimana riwayat daripada Yahya bin Abu Kathir, katanya:  Aku bertanya kepada Abu Salamah bin ‘Abd al-Rahman tentang surah al-Quran yang pertama diturunkan. Dia berkata: “يَا أَيُّهَا المُدَّثِّرُ” (Wahai orang yang berselimut) [Surah al-Muddaththir: 1]. Aku berkata: “Mereka mengatakan (ayat pertama yang diturunkan ialah) “اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ” (Bacalah dengan nama tuhanmu yang mencipta) [Surah al-‘Alaq: 1].” Abu Salamah berkata: Aku bertanya kepada Jabir bin Abdullah R.Anhuma tentang perkara itu, dan aku bertanya kepadanya sama seperti yang engkau tanyakan, maka Jabir berkata: “Aku tidak menceritakan kepadamu kecuali apa yang diceritakan Rasulullah SAW kepada kami. Baginda bersabda:

جَاوَرْتُ بِحِرَاءٍ، فَلَمَّا قَضَيْتُ جِوَارِي هَبَطْتُ فَنُودِيتُ، فَنَظَرْتُ عَنْ يَمِينِي فَلَمْ أَرَ شَيْئًا، وَنَظَرْتُ عَنْ شِمَالِي فَلَمْ أَرَ شَيْئًا، وَنَظَرْتُ أَمَامِي فَلَمْ أَرَ شَيْئًا، وَنَظَرْتُ خَلْفِي فَلَمْ أَرَ شَيْئًا، فَرَفَعْتُ رَأْسِي فَرَأَيْتُ شَيْئًا، فَأَتَيْتُ خَدِيجَةَ فَقُلْتُ: دَثِّرُونِي وَصُبُّوا عَلَيَّ مَاءً بَارِدًا، قَالَ: فَدَثَّرُونِي وَصَبُّوا عَلَيَّ مَاءً بَارِدًا، قَالَ: فَنَزَلَتْ: {يَا أَيُّهَا المُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِرْ وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ}.

Maksudnya: “Aku beruzlah (mengasingkan diri) di Hira.’ Ketika aku selesai daripada masaku (mengasingkan diri) di sana maka aku pun turun tiba-tiba aku dipanggil. Aku memandang ke arah kananku dan aku tidak melihat sesuatu apa pun. Aku juga memandang ke arah kiriku tetapi aku (juga) tidak melihat sesuatu. Aku memandang ke arah depanku tetapi aku tidak melihat apa-apa. Aku memandang ke belakangku tetapi (aku tetap) tidak melihat apa-apa. Aku mengangkatkan kepalaku dan aku melihat sesuatu. Aku pergi mendapatkan Khadijah dan berkata: ‘Selimutilah aku dan tuangkan air dingin kepadaku!’” Baginda berkata: “Mereka pun menyelimutiku dan menuangkan air dingin kepadaku.” Baginda bersabda lagi: “Maka turunlah ayat: “يَا أَيُّهَا المُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِرْ وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ” (Wahai orang yang berselimut, bangunlah lalu berilah peringatan, dan Tuhanmu agungkanlah) [Surah al-Mudatthir: 1].”

Riwayat al-Bukhari (4922)

Begitu juga dengan riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A bahawa sesungguhnya dia mendengar Rasulullah SAW menceritakan tentang masa terputusnya (penurunan) wahyu:

فَبَيْنَا أَنَا أَمْشِي سَمِعْتُ صَوْتًا مِنَ السَّمَاءِ، فَرَفَعْتُ بَصَرِي قِبَلَ السَّمَاءِ، فَإِذَا المَلَكُ الَّذِي جَاءَنِي بِحِرَاءٍ قَاعِدٌ عَلَى كُرْسِيٍّ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ، فَجَئِثْتُ مِنْهُ حَتَّى هَوَيْتُ إِلَى الأَرْضِ، فَجِئْتُ أَهْلِي فَقُلْتُ: زَمِّلُونِي زَمِّلُونِي فَزَمَّلُونِي، فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى: {يَا أَيُّهَا المُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِرْ} إِلَى قَوْلِهِ {فَاهْجُرْ}

Maksudnya: “Ketika aku sedang berjalan, tiba-tiba aku mendengar suara dari langit. Aku mengangkat pandanganku ke arah langit, ternyata malaikat yang datang kepadaku di Hira’ sedang duduk di atas kerusi di antara langit dan bumi. Lantas aku terkejut hingga jatuh tersungkur ke tanah. Aku pergi mendapatkan keluargaku dan berkata: ‘Selimutkanlah aku, selimutkanlah aku, lalu mereka pun menyelimutkanku.’ Allah menurunkan: “يَا أَيُّهَا المُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِرْ” (Wahai orang yang berselimut, bangun dan berikanlah peringatan) [Surah al-Muddatthir: 1-2] – hingga firmanNya – “فَاهْجُرْ” (tinggalkanlah) [Surah al-Muddatthir: 5].”

Riwayat al-Bukhari (4926)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply