Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami maksud sebenar qaswarah seperti yang terdapat pada ayat 51 surah al-Muddatthir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَرَّتْ مِن قَسْوَرَةٍۭ

Maksudnya: “Yang lari terkejut kepada singa.”

(Surah al-Muddatthir: 51)

Ayat ini menjelaskan bahawa disebabkan balasan yang buruk pasti ditimpakan ke atas golongan yang derhaka kepada Allah SWT, ditimbulkan persoalan mengapakah mereka tetap berpaling daripada al-Quran dan segala nasihat? Persoalan yang ditimbulkan bermaksud bagi menzahirkan kedegilan dan kesombongan mereka dari menuruti petunjuk Allah SWT. Pemalingan mereka daripada wahyu digambarkan seperti keldai liar yang lari dengan kelam-kabut lantaran terlalu takut terhadap (قَسوَرَة).

Dalam pada itu, al-Tabari memetik beberapa riwayat dalam mengemukakan pengertian (قسورة) sebagaimana berikut:

  • “Pemanah”: tafsiran ini dikemukakan oleh Abu Musa, Mujahid, ‘Ikrimah, dan lain-lain.
  • “Penembak tepat atau pemburu”: Ini merupakan tafsiran Ibn Abbas, dan Sa‘id bin Jubair.
  • “Sekumpulan lelaki”: Sebagaimana yang ditafsirkan oleh Ibn Abbas juga.
  • “Suara lelaki”: Ini merupakan pendapat Sufyan al-Thauri.
  • “Singa”: Sebagaimana riwayat Abu Hurairah dan Zaid bin Aslam. (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/39-42)

Orang kafir Quraisy tersebut turut berjanji kepada Nabi SAW bahawa mereka tidak akan beriman sehinggalah Allah SWT menurunkan lembaran kitab kepada setiap daripada mereka sebagaimana wahyu al-Quran yang diturunkan kepada Baginda SAW. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/241)

Realiti ini juga turut dinyatakan oleh Allah SWT:

وَلَن نُّؤْمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيْنَا كِتَـٰبًۭا نَّقْرَؤُهُۥ ۗ قُلْ سُبْحَانَ رَبِّى هَلْ كُنتُ إِلَّا بَشَرًۭا رَّسُولًۭا

Maksudnya: “…Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu ke langit hingga engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami baca.” Katakanlah: “Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul?”

(Surah al-Isra’: 93)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply