Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum menggunakan duit yang tidak patuh syariat untuk tujuan pembaikan surau kerana surau berhampiran rumah saya sudah buruk dan uzur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asalnya wang yang diperolehi daripada sumber yang diharamkan oleh syara’ seperti perjudian dan pelacuran, adalah tidak boleh digunakan.” Jika pendapatan tersebut semata-mata daripada akviti yang haram, maka jadilah wang itu adalah wang haram, manakala jika bercampur antara halal dan haram, maka jadilah wang itu wang syubhah. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 3/67).

Daripada Abu Mas`ud al-Ansari RA, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَمَهْرِ البَغِيِّ، وَحُلْوَانِ الكَاهِنِ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW melarang daripada hasil jualan anjing, mahar (bayaran upah) pelacur, dan upah kahin (pawang yang menilik masa depan).”

Riwayat al-Bukhari (2237)

Berdasarkan persoalan yang ditimbulkan, duit haram dan syubhah yang diperolehinya boleh digunakan untuk tujuan kebajikan dan maslahah awam, tetapi dengan syarat pemberinya itu sudah bertaubat dan ingin berlepas diri daripada dosanya itu.

Imam al-Nawawi menukilkan fatwa Imam al-Ghazali Rahimahullah dalam kitab al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, (9/351):

“Sekiranya bersama seseorang itu suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mengetahuinya, maka wajib orang tadi menggunakan harta itu bagi keperluan umat Islam yang umum, seperti untuk (keperluan) jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya daripada segi boleh dikongsi bersama orang Islam…”

Imam al-Ghazali menyebut pendapat daripada Saidina Mu`awiyah bin Abi Sufyan, dan selainnya daripada ulama Salaf seperti Imam Ahmad bin Hanbal, al-Harith al-Muhasibi dan ulama yang warak selain mereka berdua, kerana tidak dibenarkan untuk menghapuskan harta haram itu dan mencampakkannya ke dalam laut. Tiada pilihan melainkan digunakan untuk kepentingan atau maslahat umat Islam.

Kami lebih cenderung dengan pendapat Imam al-Ghazali di atas dan menyimpulkan beberapa ketetapan berikut:

  • Diharuskan untuk menggunakan harta syubhah tersebut bagi tujuan membaikpulih surau bagi kerosakan yang dinyatakan. Ini kerana surau itu termasuk dalam kategori maslahat umat Islam seperti masjid jua. Cuma, kami lebih cenderung sekalipun diharuskan mengikut pendapat di ataskan agar penggunaan harta tersebut terhad pada perkara yang tidak kena mengena dengan ibadat seperti membaiki tandas masjid dan surau.
  • Pendapat ini juga bukanlah galakan ataupun kebenaran untuk menyuburkan lagi amalan maksiat dengan alasan hasilnya akan diberikan kepada masjid dan surau atas alasan maslahat, tetapi perlu diikat dengan syarat hendaklah bertaubat dan tidak mahu mengulangi perbuatan maksiat itu lagi.
  • Sebaiknya urusan itu dibawa berbincang dengan pihak berautoriti seperti Jabatan Agama Islam setempat supaya mereka mengambil maklum dan dapat memberikan bantuan dan keperluan secukupnya.
  • Sekiranya harta haram atau syubhah itu melibatkan aktiviti jenayah dalam undang-undang negara seperti aktiviti pengubahan wang haram yang melibatkan unsur pemerdagangan orang, penyalahgunaan dadah dan rasuah, maka hendaklah dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Leave a Reply