Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sejak kebelakangan ini banyak kisah-kisah suami yang takut dengan isteri, mungkin kerana isterinya selalu memarahinya di rumah atau menyakitinya. Apakah pandangan dari sudut Islam tentang isu begini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertama sekali, perlu diketahui bahawa layanan seorang isteri kepada suaminya boleh menjadi tiket untuk dia diberikan ganjaran Syurga atau sebaliknya, diheret ke dalam kepanasan api Neraka. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada al-Husain bin Mihsan R.A bahawa ibu saudaranya sebelah bapa datang bertemu Rasulullah SAW. lalu Baginda SAW bertanya:

أَذَاتُ زَوْجٍ أَنْتِ؟ قَالَتْ: نَعَمْ، قَالَ: كَيْفَ أَنْتِ لَهُ؟ قَالَتْ: مَا آلُوهُ إِلَّا مَا عَجَزْتُ عَنْهُ، قَالَ: فَانْظُرِي أَيْنَ أَنْتِ مِنْهُ، فَإِنَّمَا هُوَ جَنَّتُكِ وَنَارُكِ

Maksudnya: “‘Adakah kamu mempunyai suami?’ Dia menjawab: ‘Ada.’ Rasulullah SAW bertanya: ‘Bagaimana kamu melayaninya?’ Dia menjawab: ‘Aku tidak pernah menolak permintaannya kecuali aku tidak mampu’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Kamu perlu lihat keadaan kamu di sisinya, sesungguhnya suamimu adalah Syurga dan Nerakamu’.”

Riwayat Ahmad (19003) dan al-Nasa’ie (8963)

Mematuhi suami juga merupakan suatu kewajiban ke atas isteri menurut Islam. Bahkan ia merupakan suatu bentuk ibadah, yang mana pelakunya akan memperoleh ganjaran, dan orang yang meninggalkan kewajiban ini akan memperoleh kemurkaan. Hukum wajib ini berdasarkan hadith Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرَتْ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا

Maksudnya: “Seandainya aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang wanita untuk sujud kepada suaminya.”

Riwayat al-Tirmizi (1159)

Ibn ‘Allan al-Makki ketika mengulas hadith di atas menyebutkan bahawa, perintah untuk sujud itu sebagai bentuk penghormatan dan menunaikan hak suami tersebut – yakni bukanlah sujud itu kerana menyembah suami -. (Lihat Dalil al-Falihin, 3/113)

Dan antara dalil yang membuktikan bahawa taat kepada suami merupakan suatu ibadah, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيلَ لَهَا: اُدْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتُ

Maksudnya: “Apabila seorang wanita itu melakukan solat fardhu 5 waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya (dari melakukan zina atau lainnya), mentaati suaminya, maka akan dikatakan padanya (di hari kiamat): ‘Masuklah ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang kamu kehendaki’.”

Riwayat al-Tabarani (4715) dan Ibn Hibban (4163)

Dalam sebuah hadith lain, yang menceritakan dahsyatnya dosa tidak mentaati suami sehingga menyebabkan sembahyangnya tidak diterima oleh Allah SWT. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اثْنَانِ لَا تُجَاوِزُ صَلَاتُهُمَا رُؤُوسَهُمَا؛ عَبْدٌ أَبَقَ مِنْ مَوَالِيهِ حَتَّى يَرْجِعَ، وَامْرَأَةٌ عَصَتْ زَوْجَهَا حَتَّى تَرْجِعَ

Maksudnya: “Ada 2 orang yang sembahyangnya itu tidak diangkat melebihi kepalanya walaupun hanya sejengkal (tidak diterima); seorang hamba yang melarikan diri sehingga dia kembali (kepada tuannya), seorang perempuan yang mengingkari suaminya sehinggalah dia kembali (taat kepada suaminya).”

Riwayat al-Tabarani (3628) dan al-Hakim (7330)

Al-Munawi mengatakan, mengingkari yang dimaksudkan adalah berbuat nusyuz atau selainnya, pada perkara yang asalnya wajib ditaati, nescaya solatnya tidak akan diangkat sepertimana yang disebutkan di dalam hadith. (Lihat Faidh al-Qadir, 1/150)

Sekiranya si isteri menyakiti suaminya, sama ada dengan kata-kata atau secara fizikal, maka ia pastinya jauh lebih teruk berbanding tidak mentaati suami. Mereka yang melakukan hal yang demikian akan menerima sumpahan daripada bidadari-bidadari Syurga sebagai isyarat bahawa perbuatan tersebut merupakan perbuatan yang tercela. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Mu‘az bin Jabal R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُؤْذِي امْرَأَةٌ زَوْجَهَا فِي الدُّنْيَا إِلَّا قَالَتْ زَوْجَتُهُ مِنَ الْحُورِ الْعِينِ: لَا تُؤْذِيهِ قَاتَلَكِ اللهُ؛ فَإِنَّمَا هُوَ عِنْدَكِ دَخِيلٌ يُوشِكُ أَنْ يُفَارِقَكِ إِلَيْنَا

Maksudnya: “Tidaklah seorang isteri itu menyakiti suaminya di dunia, melainkan isterinya dari kalangan bidadari Syurga berkata: ‘Janganlah kamu sakitinya, Allah akan melaknat kamu. Suamimu hanya tetamu kamu, tidak lama lagi dia akan meninggalkan kamu dan datang kepada kami’.”

Riwayat Ahmad (22101), al-Tirmizi (1174), Ibn Majah (2014) dan al-Tabarani (224)

Al-Mubarakfuri menyebutkan, yang dimaksudkan dengan (قَاتَلَكِ اللهُ) adalah semoga Allah mematikanmu, atau melaknatmu, atau memusuhimu. Bidadari Syurga mengatakan kepada perempuan yang menyakiti suaminya itu: “Engkau bukanlah isterinya secara hakikat pun, bahkan dia akan berpisah denganmu dan bersama dengan kami (bidadari).” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/284)

Akan tetapi, tidaklah yang dimaksudkan dengan hadith ini bahawa si isteri itu perlu sentiasa tunduk walaupun hak-hak ke atasnya diabaikan dan dia dizalimi. Ibn ‘Allan berkata, syaratnya adalah tidak terdapat sebarang keharusan syara‘ ketika perempuan itu menyakiti suaminya. Sekiranya dia meminta hak-haknya seperti nafkah sehingga mungkin membuatkan suaminya tersakiti dengan perkataannya, maka si isteri itu tidaklah termasuk dalam mereka yang dimaksudkan dalam hadith ini. (Lihat Dalil al-Falihin, 3/114)

Kesimpulan

Justeru, kami katakan bahawa hukum isteri meyakiti suaminya adalah berdosa dan ianya dilarang sama sekali oleh syara‘. Segeralah bertaubat kepada Allah SWT agar perbuatan itu kelak tidak menjadi penghalang buatnya untuk masuk ke dalam Syurga Allah SWT di akhirat kelak.

Sekiranya si isteri ingin menuntut hak-haknya dari si suami yang mungkin tidak menunaikannya, mintalah dengan cara yang terbaik. Cubalah gunakan bahasa yang baik tetapi dengan nada yang penuh ketegasan agar ianya tidak menyakiti suami. Jika ia masih tidak berjaya, mintalah pertolongan dari wali untuk bercakap dengan si suami. Jika si suami masih berdegil, si isteri boleh membawakan perkara ini ke muka pengadilan Mahkamah Syariah untuk dibicarakan. Hakim akan menentukan dengan kebijaksanaannya sama ada menuntut si suami untuk menunaikan tanggungjawabnya, atau dibubarkan perkahwinan tersebut demi kebaikan bersama.

Semoga kita semua beroleh manfaat dari perbincangan ringkas ini. Kami sudahi dengan doa:

اللَّهُمَّ أكْثِرْ أَمْوَالَنَا، وَأَوْلَادَنَا، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أعْطَيْتَنَا، وَأطِلْ حَيَاتَنَا عَلَى طَاعَتِكَ، وَأحْسِنْ أَعْمَالَنَا، وَاغْفِرْ لَنَا

Maksudnya: “Ya Allah, perbanyaklah harta dan anak kami serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan pada kami. Panjangkanlah umur kami dalam ketaatan pada-Mu dan baikkanlah amal kami serta ampunilah dosa-dosa kami.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply