Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah dalil larangan menyebut, “Saya lupa Surah al-Quran.” Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
سَنُقْرِئُكَ فَلَا تَنسَىٰٓ ٦ إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُ ۚ إِنَّهُۥ يَعْلَمُ ٱلْجَهْرَ وَمَا يَخْفَىٰ
Maksudnya: “Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Quran yang diturunkan kepadamu – dengan perantaraan jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa (6). Kecuali apa yang dikehendaki Allah engkau lupakan; sesungguhnya Dia mengetahui (segala keadaan yang patut berlaku), dan yang tersembunyi.”
(Surah al-A‘la: 6-7)
Selain itu, di sana terdapat riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
اسْتَذْكِرُوا الْقُرْآنَ فَلَهُوَ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ صُدُورِ الرِّجَالِ مِنْ النَّعَمِ بِعُقُلِهَا
Maksudnya: “Ingat-ingatlah (mengulang-ulang) al-Quran, kerana ia lebih cepat hilangnya daripada dada seseorang, daripada unta yang terlepas daripada ikatannya.”
Riwayat al-Bukhari (5032); Muslim (790); al-Nasa’i (943)
Pada permulaan hadith ini terdapatnya larangan daripada berkata, “بِئْسَمَا لِأَحَدِهِمْ يَقُولُ: نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ، بَلْ هُوَ نُسِّيَ” yakni, alangkah buruknya seseorang apabila dia berkata, “Aku telah lupa ayat ini dan itu,” bahkan (sebenarnya) dia telah dilupakan.
Imam al-Nawawi mengulas hadith tersebut dengan mengatakan bahawa seseorang yang berkata, “Aku telah lupa ayat ini dan itu,” adalah makruh tanzih dan tidak menjadi makruh sekiranya dia berkata, “Aku telah dilupakan.” Kata-kata tersebut dilarang kerana perkataannya (seolah-olah) mengandungi pengakuan terhadap kesalahannya (yakni kelupaan itu), adalah berpunca daripada dirinya sendiri disebabkan oleh kelalaiannya dan sikap bermudah-mudah terhadap ayat-ayat al-Quran (yakni tidak mengulang) (Lihat al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim, 2/391; dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/76).
Menurut al-Qurtubi pula, lafaz “nussiya” bermakna dia telah dihukum dengan lupa pada ayat-ayat al-Quran (yang pernah dihafal) disebabkan oleh kecuaiannya dalam menjaga ayat-ayat tersebut dan mengulangnya. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani, 9/80).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, di antara dalil larangan menyebut, “Saya lupa Surah al-Quran,” ada dinyatakan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya. Di antaranya, riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya: Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki membaca satu surah di malam hari, maka Baginda bersabda:
يَرْحَمُهُ اللَّهُ! لَقَدْ أَذْكَرَنِي كَذَا وَكَذَا آيَةً كُنْتُ أُنْسِيتُهَا مِنْ سُورَةِ كَذَا وَكَذَ
Maksudnya: “Semoga Allah merahmatinya! Sungguh dia telah mengingatkanku ayat itu dan ini, ayat yang sebelum ini aku dilupakan daripada surah itu dan ini.”
Riwayat al-Bukhari (5038)
Begitu juga riwayat daripada Abdullah, katanya: Nabi SAW bersabda:
بِئْسَ مَا لِأَحَدِهِمْ يَقُولُ: نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ، بَلْ هُوَ نُسِّيَ
Maksudnya: “Alangkah buruknya bagi seseorang itu untuk mengatakan: ‘Aku telah lupa ayat ini dan ini,’ bahkan dia sepatutnya mengatakan dia terlupa, bukan telah lupa.”
Riwayat al-Bukhari (5039)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”