Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Berapa lama al-Quran perlu dikhatamkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَٱقْرَءُوا۟ مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ ۚ

Maksudnya: “Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari al-Quran.

(Surah al-Muzammil: 20)

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa sebaik-baiknya al-Quran dikhatamkan selama tujuh hari. Menurut Imam al-Bukhari terdapat riwayat menyatakan, tempoh minimum yang diizinkan Nabi SAW ialah tiga hari atau lima hari, tetapi kebanyakan perawi mengatakan mengatakan tujuh hari. [Riwayat al-Bukhari (5052)]. Namun, bagi mereka yang kurang berkemampuan, berusahalah untuk mengkhatam al-Quran sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, katanya:

أَنْكَحَنِي أَبِي امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ، فَكَانَ يَتَعَاهَدُ كَنَّتَهُ فَيَسْأَلُهَا عَنْ بَعْلِهَا، فَتَقُولُ: نِعْمَ الرَّجُلُ مِنْ رَجُلٍ، لَمْ يَطَأْ لَنَا فِرَاشًا وَلَمْ يُفَتِّشْ لَنَا كَنَفًا مُنْذُ أَتَيْنَاهُ. فَلَمَّا طَالَ ذَلِكَ عَلَيْهِ ذَكَرَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: الْقَنِي بِهِ، فَلَقِيتُهُ بَعْدُ فَقَالَ: كَيْفَ تَصُومُ؟ قَالَ: كُلَّ يَوْمٍ. قَالَ: وَكَيْفَ تَخْتِمُ؟ قَالَ: كُلَّ لَيْلَةٍ. قَالَ: صُمْ فِي كُلِّ شَهْرٍ ثَلاَثَةً، وَاقْرَإِ القُرْآنَ فِي كُلِّ شَهْرٍ. قَالَ: قُلْتُ: إِنِّي أُطِيقُ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ، قَالَ: صُمْ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ فِي الْجُمُعَةِ. قُلْتُ: أُطِيقُ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ، قَالَ: أَفْطِرْ يَوْمَيْنِ وَصُمْ يَوْمًا، قَالَ: قُلْتُ: أُطِيقُ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ. قَالَ: صُمْ أَفْضَلَ الصَّوْمِ صَوْمَ دَاوُدَ: صِيَامَ يَوْمٍ وَإِفْطَارَ يَوْمٍ. وَاقْرَأْ فِي كُلِّ سَبْعِ لَيَالٍ مَرَّةً. فَلَيْتَنِي قَبِلْتُ رُخْصَةَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ! وَذَاكَ أَنِّي كَبِرْتُ وَضَعُفْتُ. فَكَانَ يَقْرَأُ عَلَى بَعْضِ أَهْلِهِ السُّبْعَ مِنَ القُرْآنِ بِالنَّهَارِ، وَالَّذِي يَقْرَؤُهُ يَعْرِضُهُ مِنَ النَّهَارِ؛ لِيَكُونَ أَخَفَّ عَلَيْهِ بِاللَّيْلِ. وَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَتَقَوَّى أَفْطَرَ أَيَّامًا وَأَحْصَى، وَصَامَ مِثْلَهُنَّ؛ كَرَاهِيَةَ أَنْ يَتْرُكَ شَيْئًا فَارَقَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Bapaku menikahkanku dengan seorang perempuan yang memiliki keturunan yang baik. Bapaku sentiasa memerhatikan menantunya (isteriku) dan bertanya kepadanya mengenai suaminya. Lalu isteriku menjawab: “Dia adalah sebaik-baik lelaki daripada kalangan kaum lelaki. Dia belum pernah tidur bersama kami di tempat tidur dan tidak juga memeriksa (menyingkap) tirai kami sejak kami datang kepadanya. ” Apabila perkara itu berpanjangan (dalam beberapa tempoh lamanya), maka dia (ayahku) menyebutkan kepada Nabi SAW. Maka, Baginda bersabda: “Bawalah dia menemuiku.” Aku pun menemuinya selepas itu. Baginda bertanya: “Bagaimanakah engkau berpuasa?” Aku menjawab: “Setiap hari.” Baginda bertanya lagi: “Bagaimanakah engkau mengkhatamkan (al-Quran)?” Aku menjawab: “Setiap malam.” Baginda bersabda: “Berpuasalah pada setiap bulan tiga hari dan bacalah al-Quran (khatamkannya) pada setiap bulan.” Dia (Abdullah) berkata: Aku berkata: “Aku mampu lebih banyak daripada itu.” Baginda bersabda: “Berpuasalah sebanyak tiga hari dalam satu Jumaat (seminggu).” Dia (Abdullah) berkata: Aku berkata: “Aku mampu lebih banyak daripada itu.” Baginda bersabda: “Berbukalah (tidak berpuasa) dua hari dan berpuasalah satu hari.” Dia (Abdullah) berkata: Aku berkata: “Aku mampu lebih banyak daripada itu.” Baginda bersabda: “Berpuasalah dengan puasa yang paling utama iaitu puasa Daud, berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari, dan bacalah (khatamkanlah) al-Quran pada setiap tujuh malam sekali.” (Ketika Abdullah telah tua, dia berkata) Alangkah baiknya aku menerima keringanan (rukhsah) daripada Rasulullah SAW, kerana sesungguhnya aku telah tua dan lemah. (Mujahid berkata) Beliau selalu membaca kepada sebahagian ahli keluarganya sepertujuh al-Quran pada siang hari, dan apa yang dia akan baca (pada malam hari), dia akan memperdengarkan bacaannya pada siang harinya, agar lebih ringan baginya (untuk dibaca) pada malam hari. Apabila dia mendapatkan kekuatan, dia akan meninggalkan puasa selama beberapa hari dan menghitungnya (hari-hari yang tidak berpuasa itu), lalu dia berpuasa seperti bilangan hari yang dihitungnya, kerana dia tidak suka untuk meninggalkan sesuatu yang dia lakukan sepanjang hidup bersama Nabi SAW.”

Riwayat al-Bukhari (5052)

Begitu juga riwayat lain daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma (katanya): Nabi SAW bersabda kepadaku:

فِي كَمْ تَقْرَأُ القُرْآنَ؟

Maksudnya: “Berapa lamakah kamu membaca al-Quran (mengkhatamkannya)?

Riwayat al-Bukhari (5053)

Kemudian, di dalam salah satu cabang sanad yang lain, Imam al-Bukhari menyatakan, Ishaq menyampaikan kepadaku, katanya: ‘Ubaidullah bin Musa mengkhabarkan kepada kami daripada Syaiban, daripada Yahya, daripada Muhammad bin ‘Abd al-Rahman – maula  Bani Zuhrah – daripada Abu Salamah – katanya: Aku menyangka diriku mengatakan: Aku sendiri mendengar daripada Abu Salamah – daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, katanya:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اقْرَإِ القُرْآنَ فِي شَهْرٍ، قُلْتُ: إِنِّي أَجِدُ قُوَّةً، حَتَّى قَالَ: فَاقْرَأْهُ فِي سَبْعٍ، وَلاَ تَزِدْ عَلَى ذَلِكَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW bersabda: ‘Bacalah al-Quran (khatamkannya) dalam satu bulan.’ Aku berkata: ‘Sesungguhnya aku mampu lebih daripada itu.’ (Aku berterusan meminta lebih daripada Baginda) Sehinggalah Baginda bersabda: ‘Bacalah (khatamkan) ia dalam masa tujuh hari dan janganlah tambah daripada itu (mengkhatamkan lebih awal daripada itu).’

Riwayat al-Bukhari (5054)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply