Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum wanita tidak memakai stokin kerana kuat berpeluh dan menyebabkan bau busuk?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Permasalahan mengenai sama ada kaki wanita itu aurat ataupun tidak adalah perkara khilaf yang berlaku  dikalangan para ulama. Secara umumnya terdapat dua pendapat di dalam permasalahan ini. Kami perincikan pandangan dan hujah-hujah mereka seperti berikut:

Pertama: Kaki wanita itu adalah aurat.

Ini adalah pendapat jumhur para ulama dari mazhab Maliki, Syafi’e dan ianya juga adalah pendapat  mazhab Hanbali.

Pandangan jumhur yang mengatakan bahawa kaki wanita itu adalah aurat berdasarkan satu hadith yang diriwayatkan oleh Umm Salamah R.Anha, di mana pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW:

أَتُصَلِّي الْمَرْأَةُ فِي دِرْعٍ وَخِمَارٍ لَيْسَ عَلَيْهَا إِزَارٌ قَالَ ‏ ‏ إِذَا كَانَ الدِّرْعُ سَابِغًا يُغَطِّي ظُهُورَ قَدَمَيْهَا

Maksudnya: Adakah boleh seorang perempuan itu solat dengan memakai baju dan tutup kepala tanpa memakai izar (kain yang dipakai di bahagian bawah badan). Jawab Nabi SAW: “Boleh, sekiranya baju itu labuh menutupi zahir kedua kaki.”

Riwayat Abu Daud (640)

Dalam menjelaskan hadith di atas, Imam al-Khattabi berkata: “Khabar ini menjadi dalil ke atas sahihnya pendapat yang mengatakan tidak sah solat sekiranya terdedah bahagian badan melainkan sekiranya pakaian itu labuh, besar sehingga menutupi bahagian zahir kedua kaki. Ini menjadikan syarat sah solat itu adalah dengan tidak mendedahkan sesuatupun dari tubuh badannya.” (Lihat Ma’alim al-Sunan, 1/180)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili berkata: Mengikut pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafie, telapak kaki wanita dikira aurat yang wajib ditutup ketika dihadapan lelaki asing dan juga di dalam solat. Jika tidak ditutup, maka tidak sah solatnya sama ada solat fardu atau sunat. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/213)

Kedua: Kaki wanita itu bukanlah aurat.

Ini adalah pendapat muktamad dari kalangan mazhab Hanafi dan ianya juga adalah pendapat al-Imam al-Muzani dari mazhab Syafi’e dan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah.

Pendapat yang mengatakan bahawa kaki wanita itu bukan aurat adalah kerana kedua kaki secara kebiasaannya akan terdedah dalam melakukan sesuatu tugasan dan sebagainya.

Adapun hadith Umm Salamah R.Anha yang menjadi dalil mengatakan bahawa kaki wanita itu aurat dijawab dengan mengatakan bahawa hadith tersebut adalah mauquf semata-mata. Ini dapat difahami melalui komentar Imam Abu Daud sendiri di akhir hadith tersebut yang mengatakan bahawa ramai yang meriwayatkannya tidak menyebut nama Nabi SAW sebaliknya meriwayatkan terus daripada Umm Salamah R.Anha. Disebabkan oleh itu, al-Albani menghukum hadith tersebut sebagai dhoif (lemah) kerana ianya adalah riwayat yang mauquf (terhenti pada Sahabat).

Pendapat kedua ini juga adalah pendapat muktamad di dalam mazhab Hanafi. Ianya juga adalah pendapat al-Imam al-Muzani dari kalangan Syafi’eyyah dan juga Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dari kalangan Hanabilah.

Ini seperti mana yang dinukilkan oleh al-Imam Ibn ‘Abidin yang mana menyebutkan: “Sesungguhnya kedua kaki itu bukanlah aurat pada pendapat yang muktamad.” (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/369)

Imam al-Nawawi juga turut menyebutkan juga di dalam kitabnya, al-Majmu’: “Telah berkata Abu Hanifah, al-Thauri dan al-Muzani bahawa kaki wanita itu juga bukanlah aurat…” (Lihat al-Majmu’, 3/169)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami berpendapat bahawa pendapat yang mengatakan bahawa kaki wanita itu adalah aurat lebih selamat, berhati-hati dan keluar dari khilaf. Oleh itu, tidak sah sekiranya seorang wanita itu solat jika terdedah bahagian kakinya melainkan ditutup dengan kain yang labuh ataupun dengan memakai sarung kaki.

Oleh itu, kami sarankan sekiranya seorang wanita itu tidak memakai stokin kaki kerana mengalami masalah kuat berpeluh, maka sebaiknya anda memakai kain yang labuh bagi menutupi kaki anda daripada di lihat ajnabi. Hal ini kerana yang penting adalah memakai pakaian yang menutup aurat dan patuh syariat seperti tidak jarang, ketat dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Leave a Reply