Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW pernah membakar kebun Bani al-Nadhir ketika berjihad?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Menjawab persoalan yang diajukan saudara ini, kami katakan bahawa Rasulullah SAW memang pernah membakar kebun milik Bani al-Nadhir berdekatan dengan kota Madinah. Ini berdasarkan hadith sahih yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar R.A, katanya:
حَرَّقَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَخْلَ بَنِي النَّضِيرِ وَقَطَعَ، وَهِيَ البُوَيْرَةُ، فَنَزَلَتْ: {مَا قَطَعْتُمْ مِنْ لِينَةٍ أَوْ تَرَكْتُمُوهَا قَائِمَةً عَلَى أُصُولِهَا فَبِإِذْنِ اللَّهِ} [الحشر: 5]
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah membakar kebun kurma Bani al-Nadhir dan menebang sebahagian daripadanya, dan kebun itu berada di al-Buwairah. Maka turun ayat:
مَا قَطَعْتُمْ مِنْ لِينَةٍ أَوْ تَرَكْتُمُوهَا قَائِمَةً عَلَى أُصُولِهَا فَبِإِذْنِ اللَّهِ
‘Mana-mana jua pohon kurma (kepunyaan musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah dengan izin Allah (kerana Ia hendak memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin).’ [Surah al-Hasyr: 5].”
Riwayat al-Bukhari (4031) dan Muslim (1746)
Syeikh ‘Abdullah al-Bassam berkata, Bani al-Nadhir ini adalah satu kabilah kaum Yahudi yang tinggal berdekatan dengan kota Madinah. Rasulullah SAW telah telah memeterai satu perjanjian dengan mereka, dan dengan perjanjian tersebut maka pihak muslim serta pihak kaum Yahudi aman dari persengketaan antara mereka. Tetapi mereka tidak menepati janji yang dilakukan kerana hasad dan melampaui batas. Mereka berniat jahat ingin membunuh Rasulullah SAW.
Bagi mengelakkan dari mereka ini kekal menjadi ancaman buat Islam dan umatnya, Rasulullah SAW mengepung mereka selama 6 hari, dan ketika pengepungan itu para sahabat menebang sebahagian kebun kurma mereka dan membakarnya kerana dendam terhadap mereka, dan balasan terhadap pengkhianatan mereka.
Para sahabat ketika itu merasa syak wasangka adakah perbuatan membakar kebun ketika jihad itu dibenarkan atau dilarang. Lalu Allah SWT menurunkan firman-Nya:
مَا قَطَعْتُم مِّن لِّينَةٍ أَوْ تَرَكْتُمُوهَا قَآئِمَةً عَلَىٰٓ أُصُولِهَا فَبِإِذْنِ ٱللَّهِ وَلِيُخْزِىَ ٱلْفَـٰسِقِينَ
Maksudnya: “Mana-mana jua pohon kurma (kepunyaan musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah dengan izin Allah (kerana Ia hendak memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin), dan kerana Ia hendak menimpakan kehinaan kepada orang-orang yang fasik.”
(Surah al-Hasyr: 5)
Dan hadith ini juga merupakan bahawa harusnya menebang kebun kurma dan membakarnya, dengan syarat perkara tersebut menyebabkan maslahat orang mukmin tercapai. Sekiranya ia merupakan cara yang padanya terdapat maslahah yang lebih besar dari keburukannya, maka tidak menjadi masalah. Ini berdasarkan kaedah yang menyebutkan:
دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ
Maksudnya: “Menolak keburukan itu didahulukan berbanding mendapatkan kebaikan.” (Lihat Taudhih al-Ahkam, 6/378)
Imam Ibn jarir al-Tabari pula menukilkan kalam para ulama’ Salaf, dikatakan bahawa Bani al-Nadhir mengutuskan utusan kepada Rasulullah SAW seraya berkata: “Engkau melarang dari melakukan kebinasaan, tetapi mengapa engkau memerintahkan untuk menebang pohon-pohon?” Lalu Allah SWT turunkanlah firman-Nya seperti dalam ayat 5 Surah al-Hasyr, dan maksudnya adalah: “Apa yang kalian tebang dan kalian tinggalkan dari pohon-pohon itu, semuanya dengan izin Allah SWT, kehendak-Nya, kudrat-Nya serta redha-Nya.” Dan ini sebagai bentuk tekanan terhadap mereka, menghinakan mereka, dan menyekat hidung-hidung mereka. (Lihat Minhah al-‘Allam, 9/64)
Kisah ini menerangkan kepada kita tentang strategi peperangan Rasulullah SAW terhadap musuh-musuh Islam. Ianya tidaklah dilarang selama mana diyakini tidak memudharatkan orang Islam yang lain dan dapat melemahkan tentera-tentera pihak musuh.
Semoga penerangan ringkas ini dapat menambahkan kepada kita ilmu serta kefahaman baru. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”
(Surah al-Baqarah: 250)
Wallahu a‘lam