Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kita wajib mempertahankan kebenaran sekalipun pahit diuji?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
قُتِلَ أَصْحَـٰبُ ٱلْأُخْدُودِ ٤ ٱلنَّارِ ذَاتِ ٱلْوَقُودِ ٥ إِذْ هُمْ عَلَيْهَا قُعُودٌۭ ٦ وَهُمْ عَلَىٰ مَا يَفْعَلُونَ بِٱلْمُؤْمِنِينَ شُهُودٌۭ ٧ وَمَا نَقَمُوا۟ مِنْهُمْ إِلَّآ أَن يُؤْمِنُوا۟ بِٱللَّهِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَمِيدِ ٨ ٱلَّذِى لَهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ شَهِيدٌ
Maksudnya: “Binasalah orang-orang yang menggali parit yang besar. Iaitu parit yang penuh dengan nyalaan bahan bakar. Mereka pula duduk di sekeliling api itu. Sambil menyaksikan apa yang mereka lakukan kepada orang-orang beriman. Mereka tidak menyeksa orang-orang beriman melainkan hanya kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa dan Maha Terpuji. Allah yang memiliki kerajaan langit dan bumi. Allah Maha Melihat akan setiap perkara.”
(Surah al-Buruj: 4-9)
Allah SWT menyebut apa yang dituju dengan sumpahan itu, iaitu: (قُتِلَ أَصْحَـٰبُ ٱلْأُخْدُودِ), sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat ke-4 daripada surah ini. Menurut al-Sa‘di, ia merupakan suatu doa ke binasaan ke atas mereka, iaitu ashab al-ukhdud. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 918)
Allah SWT melaknat ashab al-ukhdud – iaitu suatu peristiwa yang berlaku di Yaman sebelum Nabi Muhammad SAW diutus sebagai rasul – dengan menjauhkan mereka daripada rahmat-Nya kerana mereka telah menggali tanah yang luas untuk dijadikan sebagai parit besar. Kemudian, mereka menyalakan api yang membara untuk membakar orang-orang yang beriman kepada Allah SWT, sedangkan mereka duduk di sekitar api itu sambil menyaksikan orang-orang beriman diazab dan dibakar. Oleh itu, Allah SWT telah menegaskan mengenai laknat ini ke atas mereka melalui empat sumpah sebelumnya sebagaimana yang telah dinyatakan. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 1837-1838)
Al-Maraghi menjelaskan perkara ini lebih terperinci, katanya: “Kejadian ini telah berlaku di Yaman hingga ke Najran. Seorang penganut agama Nabi Isa A.S berdakwah kepada kaumnya yang masih beragama Yahudi. Dia memberitahu bahawa Allah SWT telah mengutus Nabi Isa A.S dengan syariat baru, bagi menggantikan syariat mereka yang lama. Maka, sebahagian daripada kaum ini telah beriman dengan syariat tersebut. Setelah itu, kejadian ini telah sampai kepada pengetahuan Raja Zu Nuwas, yang merupakan seorang yang sangat berpegang kuat dengan agama Yahudi. Dia segera datang dengan pasukan tenteranya dari kota Himyar. Apabila mereka yang beriman ditangkap, mereka disuruh untuk memilih sama ada kembali menganut agama Yahudi ataupun dibakar dengan api. Mereka dibuatkan parit, kemudian dipenuhkan di dalamnya dengan bahan bakar lalu dinyalakan. Setelah itu, salah seorang daripada mereka yang beriman dibawa ke parit tersebut, lalu disuruh membuat pilihan. Mereka yang gentar melihat api dan takut akan seksaan itu, akan kembali menganut agama Yahudi. Manakala mereka yang tetap teguh berpegang dengan agamanya (ajaran Nabi Isa A.S) dan menganggap ringan seksaan dunia kerana keyakinan mereka kepada pahala yang telah Allah SWT janjikan, mereka sanggup dilemparkan ke dalam api sehingga binasa. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7515)
Di samping itu, perbuatan mereka membakar orang-orang beriman sambil duduk menyaksikan penyeksaan tersebut merupakan isyarat akan kerasnya hati mereka dan tebalnya kekafiran mereka. Selanjutnya, ditegaskan sekali lagi bahawa tidaklah orang-orang beriman itu diseksa dan dibakar melainkan kerana keimanan mereka kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Perkasa dalam pembalasan-Nya dan Maha Terpuji dalam setiap perkataan, perbuatan, syariat dan ketentuan-Nya. Dalam ayat berikutnya, dinyatakan antara bukti kesempurnaan sifat-Nya ialah Dia merupakan pemilik kepada seluruh langit dan bumi serta apa yang ada di dalam kedua-duanya mahupun di antara kedua-duanya. Justeru, tidak ada sesuatu pun yang ada di langit dan bumi yang terlindung daripada-Nya mahupun tersembunyi daripada pengetahuan-Nya.
Pertahankan Kebenaran Walaupun Pahit
Dalam kehidupan, ada ketikanya kita terpaksa membuat suatu pilihan yang sukar; antara memilih mempertahankan kebenaran atau bersekongkol dengan kebatilan. Untuk membuat sesuatu pilihan itu, pastinya bukan sesuatu yang mudah kerana disebalik kebenaran ada ujian dan kepayahan, sedangkan di sebalik kebatilan kebiasaannya banyak habuannya. Berhubung dengan perkara ini Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’ ayat 135 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jadilah kamu para penegak keadilan dan para saksi yang benar kerana Allah, walaupun terhadap diri kamu sendiri; atau terhadap dua ibu bapa dan kaum kerabat. Janganlah kamu berasa terbeban untuk menegakkan keadilan sekiranya yang tertuduh itu kaya atau miskin kerana Allah lebih mengetahui perihal kedua-duanya. Oleh itu, janganlah kamu mengikut keinginan hati untuk tidak berlaku adil. Dan jika kamu memutar-belitkan keterangan atau enggan memberi keterangan yang benar, maka ketahuilah sesungguhnya Allah amat mengetahui segala apa yang kamu lakukan.’’
Tambahan pula, kita dituntut untuk berkata benar dan menegakkan kebenaran sekalipun ia pahit kerana jika dibiarkan kemungkaran dan kebatilan tersebut terus berleluasa dalam masyarakat, tidak ditegur oleh para ulama dan pihak berwajib, maka akhirnya boleh menjejaskan keharmonian dalam sesebuah masyarakat. Oleh yang demikian, masa depan kemuliaan tamadun manusia bergantung kepada kita, rakyat yang tidak jemu untuk menegakkan kebenaran dan menangkis kebatilan serta pendustaan.
Selain itu juga, menegakkan kebenaran memerlukan ketabahan kerana ujian dan dugaan pasti akan datang. Begitulah keadaan yang dihadapi oleh al-Ghulam yang beriman dalam kisah Ashab al-Ukhdud, di mana seorang pendeta yang menjadi guru kepadanya pernah berkata: “Sesungguhnya dalam menegakkan kebenaran kamu akan diuji.” Walau bagaimanapun, kebenaran tidak boleh dikaburkan dengan kepalsuan dan tidak juga ditentukan dengan suara yang ramai kerana sesuatu kebenaran itu ditentukan oleh kebenaran itu sendiri. Berkaitan perkara ini Ibn Mas‘ud R.A berkata:
الجَمَاعَةُ مَا وَافَقَ الحَق وَإِنْ كُنْتَ وَحْدَكَ
Maksudnya: “Jamaah itu adalah yang bertepatan dengan kebenaran, sekalipun engkau berseorangan.” (Lihat Tarikh Dimasyq, 2/322)
Perkara ini turut disentuh oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah sebagaimana katanya:
عَلَيْكَ بِطَرِيقِ الْحَقِّ وَلَا تَسْتَوحِشْ لِقِلَّةِ السَّالِكِينَ، وَإِيَّاكَ وَطَرِيقَ الْبَاطِلَ وَلَا تَغْــتَــرَّ بِكَثْــرَةِ الهَالِكِينَ
Maksudnya: “Hendaklah engkau menempuh jalan kebenaran dan janganlah engkau berkecil hati dengan sedikitnya orang yang mengikuti jalan kebenaran tersebut. Di samping itu, berhati-hatilah dengan jalan kebatilan dan jangan engkau tertipu dengan banyaknya orang yang binasa (yang mengikuti jalan kebatilan tersebut).” (Lihat Madarij al-Salikin, 1/22)
Selain itu, menegakkan kebenaran merupakan salah satu prasyarat menuju masyarakat dan umat terbaik. Perhatikan firman Allah SWT menerusi Surah Ali ‘Imran, ayat 110 yang bermaksud: “Kamu wahai umat Muhammad, adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi memimpin manusia. Kamu menyuruh manusia berbuat makruf, melarang mereka daripada perkara mungkar dan kamu beriman kepada Allah.’’ (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/417-418)
Di samping itu, menegakkan kebenaran dan sentiasa berkata benar merupakan antara pesanan Rasulullah SAW sebagaimana riwayat daripada Abu Zar R.A, di mana beliau berkata:
وَأَوْصَانِي أَنْ أَقُولَ الْحَقَّ وَإِنْ كَانَ مُرًّا
Maksudnya: “Dan Rasulullah SAW berpesan kepadaku agar aku tetap berkata benar walaupun ia sesuatu yang pahit.”
Riwayat Ibn Hibban (449)
Kesimpulan
Kekejaman yang dilakukan oleh Ashab al-Ukhdud ini iaitu dengan membakar orang-orang beriman secara hidup-hidup, bahkan menyaksikan pembakaran tersebut merupakan satu tindakan yang sangat tidak berperikemanusiaan. Justeru, kita hendaklah menjauhi sikap seperti ini kerana ia langsung tidak mencerminkan sikap seorang manusiawi, apatah lagi orang yang beriman.
Orang beriman yang sanggup mati dibakar hidup-hidup oleh Ashab al-Ukhdud menjadi bukti teguhnya iman mereka. Ancaman yang dihadapi itu sedikitpun tidak menggugat akidah dan kepercayaan mereka kepada Allah SWT. Oleh itu, sikap dan keberanian seperti ini perlu ada dalam diri setiap Muslim demi mempertahankan akidah dan keimanan mereka.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir Ibn Kathir, 3/75)