Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah boleh menjadi terapi jiwa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tekanan emosi, jiwa dan perasaan itu merupakan lumrah dalam kehidupan. Setiap orang pasti pernah mengalami peristiwa yang menjadikan emosinya tegang, yang berpunca daripada pelbagai masalah. Masalah ini jika tidak ditangani dengan baik akan membawa kepada kerugian yang besar kepada individu, masyarakat dan negara. Sebenarnya ia adalah ujian Allah SWT kepada semua makhluk-Nya. Namun, sesiapa yang sabar dengan memohon pertolongan Allah SWT dalam setiap urusan, maka dia akan memperoleh ganjaran dan rahmat-Nya.

Sebenarnya, Islam telah mengemukakan solusi kepada masalah jiwa ini. Perkara ini dapat dilihat menerusi firman Allah SWT dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW. Firman Allah  SWT:

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ

Maksudnya: “Mereka ialah orang-orang beriman dan hati mereka tenang dengan mengingati Allah. Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah, hati manusia akan tenang.”

(Surah al-Ra‘d: 28)

Menurut Ahmad al-Tawil, berdasarkan ayat di atas, bagi mengatasi masalah keresahan dan kemurungan adalah dengan berzikir kepada Allah SWT iaitu dengan membaca al-Quran, bertasbih, bertahmid, bertahlil dan bertakbir. Begitu juga dengan memahami dan menghayati makna-makna, hukum-hakam yang terdapat dalam al-Quran serta meneliti dalil-dalil serta mengetahui dengan penuh yakin hidayah dan jalan-jalan yang membawa kepada petunjuk Ilahi. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/454-456)

Selain itu, antara perkara lain yang boleh dilakukan untuk meningkatkan ketenangan jiwa adalah dengan memperbanyakkan amalan soleh seperti solat sunat, zikir, puasa, doa dan sebagainya. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya:

ومَا اجْتَمَعَ قَـوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيوتِ اللَّهِ يَـتْـلُونَ كِتَابَ اللَّهِ، ويتَدَارسُونَه بيْنَهُم، إِلاَّ نَـزَلتْ علَيهم السَّكِينَة، وغَشِيَـتْـهُمْ الرَّحْمَة، وَحَفَّتْهُم لملائِكَةُ، وذَكَرهُمْ اللَّه فيِمنْ عِنده.

Maksudnya: “Tidaklah segolongan manusia berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka, melainkan akan turun ketenangan kepada mereka, dicucuri rahmat dan dinaungi malaikat serta Allah SWT akan memuji mereka di khalayak malaikat yang berada di sisi-Nya.”

Riwayat Muslim (2699)

Tambahan pula, Ibn Qayyim al-Jauziyyah ada menggariskan beberapa cara bagi mengubat jiwa yang tidak tenteram dan ia adalah seperti berikut:

  • Beriman kepada Allah SWT dan mengikut ajaran-Nya serta menjauhi perkara-perkara yang dilarang, maka dengan itu rohnya akan bertambah kuat.
  • Beribadat kepada Allah SWT kerana mendekatkan diri kepada-Nya dengan ibadat akan membangkitkan lagi kebahagiaan dan ketenangan jiwa dalam diri seseorang.
  • Menunaikan solat kerana ia dapat menimbulkan kejernihan jiwa dan ketenangan hati serta kerehatan akal fikiran.
  • Berzikir kepada Allah SWT kerana ia memberi kesan kepada badan, hati dan seluruh kehidupan.
  • Bersabar kerana ia mampu memberi ketengan jiwa dan mengelak timbulnya pelbagai penyakit. Bahkan ia amat selari dengan hadis yang diriwayatkan oleh Subaib bin Sinan, bahawa Baginda SAW bersabda:

عَجَباً لأمْرِ الْمُؤْمِنِ. إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَلِكَ لأِحَدٍ إِلاَّ للْمُؤْمِن. إِنْ أَصَابَـتْهُ سَرَّاءُ شَكَر،َ فَكَانَ خَيْراً لَهُ، وَإِنْ أَصَابَـتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ، فَكَانَ خيْراً لَهُ.

Maksudnya: “Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin. Sesungguhnya seluruh urusannya adalah baik baginya dan perkara ini tidak dimiliki oleh siapapun kecuali orang Mukmin. Jika diberi sesuatu yang mengembirakan, dia bersyukur, maka ia merupakan kebaikan baginya, dan apabila dia ditimpa suatu musibah, dia bersabar, maka itu juga baik baginya.”

Riwayat Muslim (2999)

Imam al-Tibi sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Munawi, berkata: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar.  (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Leave a Reply