Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah tafsiran daripada ayat 1-3 daripada surah al-Tin?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَٱلتِّينِ وَٱلزَّيْتُونِ ١ وَطُورِ سِينِينَ ٢ وَهَـٰذَا ٱلْبَلَدِ ٱلْأَمِينِ

Maksudnya: “Demi buah tin dan zaitun. Demi Bukit Tursina. Demi negeri Makkah yang aman ini.”

(Surah al-Tin: 1-3)

Allah SWT bersumpah dengan tempat-tempat yang suci dan mulia yang telah dikhususkan Allah SWT sebagai tempat penurunan wahyu kepada para nabi dan rasul-Nya iaitu  Bait al-Maqdis dan Jabal al-Nur dan Makkah al-Mukarramah. Lantaran itu, membuktikan bahawa Allah SWT telah memuliakan manusia dengan menciptanya dengan sebaik-baik rupa paras. Sekiranya mereka tidak mensyukuri nikmat Allah SWT, pasti akan dihumban mereka ke tingkatan Neraka al-Jahim yang paling rendah.

Allah SWT bersumpah dengan buah tin yang boleh dimakan dan buah zaitun yang boleh diperah minyaknya kerana terdapat pengajaran yang besar membuktikan siapa yang menciptakannya sehingga menjadi satu suapan. Buah tin merupakan makanan yang berkhasiat kerana makanannya lembut dan cepat dicerna, mengurangi air liur, membersihkan ginjal, menggemukkan badan, buah-buahan yang paling terbaik dan sebagai penawar kerana boleh mengeluarkan lebihan-lebihan dalam badan. Zaitun juga merupakan buah, rempah dan ubat, di mana hasil perahannya mengeluarkan minyak yang boleh memenuhi keperluan sebahagian manusia.

Allah SWT juga bersumpah dengan bukit yang dipenuhi keberkatan iaitu sebuah tempat di mana Allah SWT berbicara dengan Nabi Musa AS iaitu bukit Tursina yang ditumbuhi dengan pohon-pohon yang banyak. Makkah merupakan yang dimuliakan Allah SWT dengan kelahiran Nabi Muhammad SAW dan dimulaikannya dengan Bait al-Haram.  Negeri yang aman di sini bermaksud Makkah al-Mukarramah bahawa barangsiapa yang memasuki negeri ini akan merasa aman dan selamat diri dan hartanya.  (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/555)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply