Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah menghebahkan perkahwinan dengan mengadakan walimah itu satu tuntutan dalam Islam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Penghebahan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud perbuatan atau hal meng­hebah­kan, penyiaran, penyebaran, dan peng­umuman.

Menjawab persoalan di atas, sebuah hadith Rasulullah SAW: Daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

أَعْلِنُوا هَذَا النِّكَاحَ ، وَاجْعَلُوهُ فِي الْمَسَاجِدِ ، وَاضْرِبُوا عَلَيْهِ بِالدُّفُوفِ

Maksudnya: “Hebahkanlah akan pernikahan ini dan lakukanlah ia di masjid, dan palulah (raikannya) dengan memukul gendang (di luar masjid).”

Riwayat al-Tirmizi (1089) dan al-Baihaqi (15095) dalam al-Sunan al-Kubra.

Nas di atas dengan jelas menunjukkan agar dihebahkan perkahwinan supaya hilang sangsi dan ragu-ragu kepada pasangan yang dikatakan sebagai suami isteri. Begitu juga Islam menyuruh untuk mengadakan walimah.

Walimah (الوَلِيمَةُ) pula merupakan perkataan bahasa Arab yang berasal dari kalimah (الوَلِمُ), bererti perkumpulan, kerana kedua pasangan suami isteri ketika itu berkumpul. (Lihat Lisan al-Arab, 12/643)

Manakala maksud walimah menurut fuqaha’ adalah, nama bagi makanan yang disediakan ketika majlis perkahwinan. Dan ada juga dikatakan bahawa walimah merujuk kepada semua jenis makanan yang disediakan bertujuan untuk meraikan sesuatu kegembiraan. Tetapi ia lebih masyhur dikenali sebagai makanan ketika majlis perkahwinan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/334; Syarh Muntaha al-Iradat, 3/31; al-Mughni, 7/275)

Apabila membicarakan soal tuntutan syara‘, ia akan berkisar tentang hukum sesuatu perbuatan itu menurut Islam, sama ada ianya wajib atau sunat. Adapun hukum mengumumkan perkahwinan seseorang, ia merupakan perkara yang dituntut oleh agama. Hal ini kerana, kontrak perkahwinan yang telah termeterai menandakan permulaan satu perhubungan halal antara seorang lelaki dan seorang perempuan, yang mana selepas itu mereka mungkin akan dilihat berdua-duaan di tempat-tempat awam. Sekiranya perkahwinan mereka tidak diumumkan, sesetengah pihak yang mungkin tidak tahu tentang hubungan mereka akan berfikiran negatif tentang pasangan tersebut.

Maka, terdapat keperluan untuk dilakukan hebahan tentang perkahwinan tersebut, tetapi tidaklah secara berlebih-lebihan dan melampau sehingga berlakunya pembaziran. Ingatlah bahawa pembaziran itu dilarang dalam Islam dan disifatkan pelakunya sebagai sahabat syaitan. Firman Allah SWT:

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا (٢٦) إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًۭا (٢٧)

Maksudnya: “dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

(Surah al-Isra’: 26-2)

Antara cara yang telah menjadi adat dan tradisi Islam untuk mengumumkan dan menghebahkan perkahwinan adalah dengan mengadakan walimah. Terdapat 2 pendapat fuqaha’ berkenaan hukum mengadakan walimah ini:

Pertama: Pendapat Jumhur Fuqaha’

Hukumnya adalah sunat mu’akkad atau sunat yang amat dituntut untuk dilakukan. Beginilah yang disebutkan oleh fuqaha’ al-Hanafiyyah, al-Hanabilah dan pendapat yang sahih menurut al-Syafi‘iyyah. (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/347; Matalib Uli al-Nuha, 5/232; Mughni al-Muhtaj, 3/245; Raudhah al-Talibin, 7/333)

Imam Ibn al-Mulaqqin mengatakan, tidak ada perselisihan di kalangan ahli ilmu bahawa walimah pengantin ini adalah sunnah yang dituntut, dan bukanlah wajib. (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 24/510)

Kedua: Pendapat Mazhab Maliki

Menurut pendapat yang mu‘tamad di sisi al-Malikiyyah, hukum mengadakan walimah ini adalah sunat sahaja. (Lihat Mawahib al-Jalil, 5/241)

Antara hujjah bahawa walimah sebagai hebahan perkahwinan menjadi tuntutan dalam Islam adalah, seperti yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya:

‏ أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ

Maksudnya: “Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing.”

Riwayat Muslim (1427)

Ia juga merupakan sunnah Rasulullah SAW, seperti dalam riwayat daripada Sofiyyah binti Syaibah R.Anha, katanya:

 أَوْلَمَ النبيُّ ﷺ على بَعْضِ نِسائِهِ بمُدَّيْنِ مِن شَعِيرٍ

Maksudnya: “Nabi SAW mengadakan walimah untuk sebahagian isteri-isterinya dengan hidangan dua cupak barli.”

Riwayat Bukhari (5172)

Hadith ini juga dalam masa yang sama menunjukkan bahawa walimah seharusnya dilaksanakan mengikut keadaan dan kemampuan. Tidak ada batasan yang menghalang dari membuatnya dalam jumlah yang lebih sederhana. Ini menunjukkan bahawa ia bukanlah suatu kewajipan yang  yang harus dipatuhi, kerana keperluan yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya adalah jelas dan telah ditetapkan. (Lihat al-Taudih Li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 24/527)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan ini, kami katakan bahawa hebahan perkahwinan dengan walimah itu merupakan tuntutan dalam Islam, tetapi tidaklah sehingga diwajibkan atas setiap individu. Bahkan, apa yang diinginkan adalah mengumumkan ikatan hubungan yang terjalin antara lelaki dan perempuan, serta berkongsi kegembiraan bersama orang lain.

Lakukanlah walimah sekadar kemampuan kita dan tidak perlu berasa malu dengan kekurangan majlis tersebut. Janganlah kita membanding-bandingkan rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada kita dengan rezeki yang terdapat pada orang lain. Sebaliknya, zahirkanlah kegembiraan tersebut dengan penuh rasa syukur kepada-Nya, kelak Allah SWT akan menambahkan lagi kepada kita rezeki yang melimpah ruah atas kesyukuran itu. Dan hendaklah kita bertaqwa kepada-Nya dan tidak menzahirkan rasa tidak puas hati dengan nikmat yang diberi. Ingatlah kita kepada firman Allah SWT:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌۭ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: ‘Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras’.”

(Surah Ibrahim: 7)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أكْثِرْ أَمْوَالَنَا، وَأَوْلَادَنَا، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أعْطَيْتَنَا، وَأطِلْ حَيَاتَنَا عَلَى طَاعَتِكَ، وَأحْسِنْ أَعْمَالَنَا، وَاغْفِرْ لَنَا

Maksudnya: “Ya Allah, perbanyaklah harta dan anak kami serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan pada kami. Panjangkanlah umur kami dalam ketaatan pada-Mu dan baikkanlah amal kami serta ampunilah dosa-dosa kami.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply