Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami sikap lembat lembut dalam perbuatan dan kata-kata menurut islam ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةً لَّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
(Surah al-Ahzab: 21)
Abu al-Hasan al-Nadwi berkata:
- Jika anda seorang pemuda, maka teladan yang paling elok dan paling cantik bagimu adalah Nabi Muhammad SAW.
- Jika anda telah mencapai umur tua, maka, Baginda SAW adalah contoh anda.
- Jika anda fakir dan miskin, maka Baginda SAW adalah teladan dan contoh bagi anda.
- Jika anda kaya, maka Baginda SAW imam anda.
- Jika anda berangkat untuk berperang, maka Baginda SAW juga turut serta berperang.
- Jika kamu menginginkan perdamaian, maka Baginda SAW akan memberikan kedamaian sebelum kamu memintanya.
- Jika anda redha, maka Baginda SAW pun redha.
- Jika anda marah (tidak menerima sesuatu), maka Baginda SAW pun demikian halnya.
Baginda SAW telah mentarbiyah manusia yang terkenal dengan zaman Jahiliyah kepada suasana Islam dan mempunyai saykhsiah Islamiyah yang unggul. Akhlak yang dibina oleh Rasulullah telah menukar watak sahabat dengan semua perilaku, perangai dan akhlak yang buruk kepada yang terunggul dan terbaik. Justeru, tidak hairanlah Rasulullah SAW telah mengkanunkan dengan kanun akhlak yang mencapai kepada tahap yang mulia dan peradaban yang tinggi.
Bagaimana Rasulullah SAW telah membetulkan semua akhlak yang buruk serta pincang kepada akhlak yang soleh, bahkan mempunyai makarim al-akhlaq. Benarlah sabda Nabi SAW:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”
Riwayat Ahmad (8952). Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat.
Dalam menjawab persoalan di atas kami katakan sifat lemah lembut dalam perbuatan mahupun pertuturan merupakan sifat yang mulia yang juga merupakan sifat dan akhlak Rasulullah SAW yang sewajarnya dijadikan contoh dalam kehidupan seharian kita. Sifat ini merupakan jendela yang menggambarkan keikhlasan hati serta kesopanan dalam interaksi dengan sesama manusia. Keindahan sikap ini bukan saja menyentuh hati mereka yang berinteraksi dengan kita, bahkan ia turut mencorakkan identiti diri yang mulia bagi individu yang mengamalkannya.
Sifat lemah lembut merupakan gambar daari gambaran rahmat yang dicampkkan oleh Allah SWT ke dalam hati hambaNYA sebagaimana firman Allah SWT:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ
Maksudnya: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.
(Surah al-Imran:159)
Syeikh Mustafa al-Maraghi berkata: “Sekiranya kamu hai Muhammad bersikap kasar lagi jumud dalam menjalani perhubungan dengan mereka nescaya mereka akan lari darimu dan mereka tidak selesa lagi tinggal bersamamu.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/988)
Rasulullah SAW bersabda melalui hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.A:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَا عَائِشَةُ إِنَّ اللَّهَ رَفِيقٌ يُحِبُّ الرِّفْقَ وَيُعْطِي عَلَى الرِّفْقِ مَا لَا يُعْطِي عَلَى الْعُنْفِ وَمَا لَا يُعْطِي عَلَى مَا سِوَاه.
Maksudnya: Allah akan memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang tidak diberikan pada sikap lainnya.”
(Riwayat Muslim:2165)
Qadhi al-Iyyadh ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan : Ia mendatangkan tujuan dan memudahkan sesuatu yang tidak dapat diperoleh dengan cara lain. (Lihat Syarh Bulugh al-Maram, 4/523)
Hadith di atas juga dikuatkan dengan sebuah hadith yang diriwayat daripada Jabir Bin Abdullah bahwa Rasulullah SAW besabda:
مَن حُرِمَ الرِّفْقَ، حُرِمَ الخَيْرَ
Maksudnya: Barangsiapa yang dijauhkan daripada sikap lemah lembut maka(kasih sayang) bererti ia dijauhkan dari kebaikan
Riwayat Muslim(2592)
Dapat difahami melalui nas-nas di atas adalah orang yang bersikap keras dan kasar yang jauh dari sikap lemah lembut akan dijauhkan darinya kebaikan. Begitu pentingnya sikap lemah lembut baik pada perbuatan mahupun kata-kata kerana ia merupakan kunci kepada kebaikan.
Hisham Bin ‘Urwah dalam kata-kata hikmahnya menyatakan :
الرِّفْقُ رَأْسُ الْحِكْمَةِ
Maksudnya: Kelembutan itu kunci kepada kebijaksanaan.
Imam al-Ghazali juga menyatakan: Ketahuilah bahawa kelembutan adalah sikap yang terpuji, dan ia bertentangan dengan sikap kekerasan. Kekerasan adalah hasil dari kemarahan, sementara kelembutan adalah hasil dari sifat yang baik . Oleh itu, kelembutan dalam perkara-perkara adalah buah yang hanya dapat dihasilkan oleh sifat yang baik. (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/184-185)
Justeru, sikap lemah lembut bukan sahaja menjadi elemen penting dalam tindakan, tetapi juga dalam perkataan, kerana ia adalah kunci utama menuju kebaikan. Kebijaksanaan dalam memilih sikap lembut dalam setiap interaksi merupakan strategi yang tidak hanya memperindah hubungan sosial, tetapi juga membuka pintu kepada kemungkinan-kemungkinan positif dalam kehidupan. Rasulullah SAW sendiri telah menunjukkan bahawa kelembutan bukanlah tanda kelemahan, malah ia memancarkan kebijaksanaan dan keagungan yang menjadikan seseorang itu lebih dekat kepada keberkatan dan kebaikan dalam kehidupan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahua’lam