Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah suami memberi zakat kepada isteri? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ ‎

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Taubah: 60)

Imam al-Tabari berkata: “Ayat ini menunjukkan zakat hanya diberi kepada asnaf yang lapan. Maka tiada harus diberi zakat kepada selain mereka.” (Lihat Tafsir al-Tabari, 10/162)

Hal ini berdasarkan kepada kalimah “إِنَّمَا” yang memberi makna hasr dan ithbat iaitu terhad dan hanya kepada yang disebut sahaja serta menafikan selainnya. Inilah pendapat jumhur fuqaha’ mazhab. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, 2/81; al-Bada’i’, 2/45; al-Syarh al-Kabir, 1/497; al-Muhazzab, 1/175; al-Mughni, 2/667; al-Qawanin al-Fiqhiyyah, hlm. 111; dan Ahkam al-Qur’an oleh Ibn al-‘Arabi, 2/957)

Terlebih dahulu, kami katakan bahawa Islam adalah agama yang melindungi dan bersifat tolong-menolong. Ia merupakan satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh. Cara hidup yang dikurniakan oleh Allah SWT adalah untuk memuliakan manusia dan menghormati mereka agar hidup bahagia di muka bumi ini.

Agama Islam dapat memenuhi keperluan tersebut melalui sistem bersepadu yang bermula dengan pembentukan aqidah yang betul, membetulkan pandangan terhadap alam semesta dan kehidupan, pembentukan akhlak yang mulia, dan menyediakan garis panduan yang bersistem dan berkesan. Dengan ini, jelaslah bahawa adunan kesemua unsur tersebut menjadikan manusia berada di bawah kekuasaan Islam dengan penuh ketaatan dan keredhaan.

Pensyariatan zakat adalah satu daripada ciri-ciri tersebut yang disyariatkan oleh Allah SWT untuk membentuk peribadi manusia, sesuai dengan prasyarat kebahagiaan sesebuah masyarakat yang harmoni, mahupun sebagai individu yang menyanjungi kebahagiaannya dalam kehidupan ini. Jika diamati dengan teliti, fungsi zakat ialah mengawasi pendapatan seseorang supaya penyuburannya tidak melanggar batas keadilan di kalangan mereka supaya mematuhi asas-asas keperluan yang sebenar bagi semua pihak.

Zakat adalah termasuk dalam rukun Islam yang lima di mana ia wajib ditunaikan oleh setiap orang beragama Islam yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Antara tujuan pensyariatan zakat ini adalah untuk membersihkan hati dan harta disamping melahirkan masyarakat Islam yang pemurah dan prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi oleh saudara mereka. Allah SWT berfirman:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh al-Maraghi menyebutkan, sedekah (zakat) itu dapat membersihkan mereka daripada sifat bakhil, tamak dan sifat yang kasar kepada golongan fakir yang hidup melarat. Di samping itu, kamu juga dapat menyucikan jiwa mereka dan mengangkat mereka ke darjat orang yang baik dengan melakukan kebajikan sehingga mereka wajar menerima kebahagian di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/2888).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa suami tidak dibolehkan untuk membayar atau memberikan zakat kepada isterinya. Bahkan Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, para ulama telah berijma‘ (bersepakat) bahawa suami tidak dibolehkan untuk membayar zakat kepada isterinya. Ibn al-Munzir menyebutkan, ahli ilmu telah berijma‘ bahawa seorang lelaki tidak boleh memberikan zakat kepada isterinya. Hal tersebut disebabkan nafkahnya ke atas isterinya adalah suatu kewajipan baginya, sehingga dia tidak memerlukan zakat. Oleh kerana itu, memberikan zakat kepada isteri tidak dibenarkan. Sebagaimana halnya, jika suami memberikan zakat kepada isterinya, dia menyimpan perbelanjaan dirinya, seolah-olah zakatnya itu kembali kepada dirinya sendiri dan tidak mengeluarkannya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/404; lihat juga Kassyaf al-Qina‘, 5/167; al-Mughni, 4/100).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa kepada pembayar zakat:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

Leave a Reply