Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah sebab berlakunya ikhtilat dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”
(Surah al-Nur : 30-31)
Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini adalah merupakan perintah Allah SWT kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menjaga pandangan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Janganlah melihat melainkan hanya kepada perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja dan menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang diharamkan. Begitu juga, Allah SWT memerintahkan juga kepada orang-orang perempuan yang beriman agar turut sama menundukkan (menjaga) pandangan dan memelihara kemaluan mereka (daripada perkara-perkara yang diharamkan). Dan bagi membezakan mereka daripada sifat serta perbuatan wanita Jahiliyyah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 4/2342-2344)
Diriwayatkan daripada Abi Sai’d al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ
Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian.”
Riwayat Muslim (338)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyarankan : “Ini adalah larangan jika tidak ada penghalang di antara keduanya, dan di sini menunjukkan tentang haramnya menyentuh aurat orang lain di mana saja pada tubuhnya dan ini adalah perkara yang disepakati oleh para ulama. Ramai orang yang bersikap longgar dalam perkara ini dengan berkumpulnya ramai orang di dalam bilik mandi. Oleh itu, orang yang hadir di dalamnya wajib menjaga penglihatan, tangannya, dan lain-lain daripada melihat aurat orang lain, dan juga menjaga auratnya daripada dipandang oleh orang lain dan dipegang oleh tangan orang lain atau bagian tubuh lainnya. (Lihat Riyadh al-Salihin,hlm.457)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa pergaulan yang bebas antara lelaki dan perempuan merupakan satu isu sosial yangperlu diambil perhatian di kalangan masyarakat. Kesan daripada pergaulan dan percampuran yang tidak terkawal ini telah menyebabkan peningkatan masalah sosial seperti zina, khalwat, dan sebagainya. Dengan itu, sebagai seorang muslim, adalah menjadi kewajipan untuk menjaga batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syariat. Menjaga nilai-nilai moral dan etika dalam hubungan sosial adalah penting dalam menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
Antara sebab-sebab berlakunya masalah sosial ini kami perincikan sebagaimana berikut:
- Kebanyakan dari umat Islam telah meninggalkan dan melupakan konsep, nilai, dan prinsip-prinsip Islam. Para pendakwah Islam kurang gigih dalam menyebarkan dan mengajak kepada Islam, serta malas dalam menjalankan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar. Mereka juga lambat dalam menjalankan fardhu jihad pada jalan Allah, sehingga terbiar kewajipan dengan tidak melarang perkara yang mungkar. Akibatnya, tercetuslah kerosakan, tersebarnya golongan yang tidak beragama, dan turunnya bala serta musuh-musuh dapat Firman Allah SWT:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
(Surah al-Rum:41)
كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ
Maksudnya: Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan
(Surah al-Maidah: 79)
Oleh itu, Islam mengharamkan berkhalwat dengan bukan mahram disebabkan realiti yang terjadi. Yang demikian kerana manusia lebih cenderong kepada wanita dan lemah terhadapa godaan nafsu dalam keadaan bersendirian. Diriwayat daripada Umar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa tidaklah seorang lelaki dan seorang perempuan itu berdua-duaan melainkan yang ketiganya adalah syaitan.”
Riwayat al-Tirmizi (2165)
- Penguasaan oleh pemimpin dan pemerintah yang dididik dalam sistem pendidikan Barat dan di bawah penjajah yang zalim, membuat mereka mengikut dan tunduk kepada pemikiran serta kehendak mereka. Oleh itu, adalah wajar bagi mereka untuk membawa bersama segala yang ada dalam genggaman Barat, baik buruknya. Dengan demikian, mereka yang duduk di atas takhta pemerintahan mampu untuk mengekalkan kuasa mereka, dan dengan berani menyebarkan banyak larangan serta membenarkan banyak kejahatan di bawah payung kekuatan dan undang-undang, semuanya untuk menggalakkan masyarakat meniru barat. Hal ini menyebabkan pemisahan dan peminggiran dari adat dan nilai Islam, berserta etikanya. Selain itu, mereka menghimpit para ulama dan pendakwah Islam dengan berbagai cara, baik secara fizikal dan moral. (Lihat Khatru al-Tabarruj wa al-Ikhtilat, hlm.183)
وَإِذَا أَرَدْنَا أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا
Maksudnya: Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.
(Surah al-Isra’: 16)
- Kejahilan terhadap kaedah pendidikan, bimbingan, pengajaran, dan panduan, serta penggunaan kaedah yang tidak baik, sama ada di rumah melalui ibu bapa atau di sekolah melalui guru-guru yang mendidik. Ia dapat berlaku kerana kejahilan atau kelalaian ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Fokus yang terlampau pada aspek material dalam pendidikan, hanya memberikan makanan, pakaian, dan tempat tinggal kepada mereka tanpa memperhatikan atau memberi perhatian kepada aspek moral dan disiplin kepada anak-anak.
Islam menyeru kepada pendidik untuk mengimbangi pendidikan antara aspek material dan spiritual. Ia menjadikan objektif pendidikan Islam sebagai suatu yang komprehensif yang meliputi segala aspek kehidupan, termasuk pendidikan jasmani, mental, emosi, dan sosial. Allah memerintahkan manusia untuk merenungkan penciptaan langit dan bumi, untuk mengambil iktibar dari peristiwa yang berlaku sebelum ini, dan menurunkan al-Quran agar manusia memahami maknanya serta merenungi ayat-ayatnya (Lihat Usul Tarbiyah al-Islamiyyah, hlm.107)
Firman Allah SWT:
وَفِي الْأَرْضِ آيَاتٌ لِّلْمُوقِنِينَ (20) وَفِي أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ
Maksudnya: Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin, (20) Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?
(Surah al-Zariyat:20-21)
Justeru, kami tegaskan bahawa mengabaikan nilai-nilai dan ajaran Islam merupakan salah satu punca utama terjadinya masalah sosial seperti pergaulan bebas ini. Oleh itu, adalah amat penting untuk mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan kesedaran tentang nilai-nilai Islam dan pendidikan agama di kalangan semua lapisan masyarakat. Dengan cara ini, diharapkan masalah moral dan sosial ini dapat ditangani dengan berkesan
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Wallahua’lam