Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seorang lelaki berkahwin dengan adik iparnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”
(Surah al-Najm: 45)
Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, di antara wanita yang haram untuk dinikahi yang telah disepakati oleh para ulama adalah menikahi dua adik-beradik perempuan secara serentak. Ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:
وَأَن تَجْمَعُوا۟ بَيْنَ ٱلْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ
Maksudnya: “Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu.”
(Surah al-Nisa’: 23)
Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat di atas menjelaskan, maksudnya adalah menghimpunkan kedua beradik itu sebagai isteri-isteri dengan akad pernikahan yang sama (yakni dengan suami yang sama). (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 5/117).
Sekalipun begitu, larangan untuk menikahi adik ipar (adik-beradik isteri) adalah bersifat sementara, atau dipanggil juga sebagai mahram muaqqat (berwaktu). Dalam erti kata lain, sekiranya isteri yang dikahwini tersebut meninggal dunia atau diceraikan, maka adik beradik perempuannya tidak haram untuk dinikahi. Inilah yang disebutkan sebagai haram muaqqat (berwaktu).
Oleh sebab itu jugalah, adik ipar perempuan (adik perempuan isterinya) tidak dianggap sebagai mahram bagi suami kakaknya, sebaliknya dia dikira sebagai wanita ajnabiyyah. Mahram dari sudut istilah para fuqaha’ bermaksud: “Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-Ta‘bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang.” (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114). Jadi, tidak terpakai kepadanya hukum-hukum mahram seperti boleh bersalaman, berdua-duaan dan seumpamanya.
Selain daripada itu, Imam al-Qurtubi juga ada menyatakan, para ulama telah berijma‘ (bersepakat) bahawa seorang lelaki yang menceraikan isterinya dengan talak raj‘i, maka dia tidak boleh berkahwin dengan adik-beradik perempuan isterinya sehinggalah selesai tempoh ‘iddah isteri yang ditalak.
Namun, para ulama berselisih pendapat jika suami menceraikan isterinya dengan talak ba’in kepada sekurang-kurangnya dua pendapat:
Pendapat pertama: sebahagian ulama berpendapat, dia tidak boleh berkahwin dengan adik-beradik perempuan bekas isterinya sehinggalah selesai tempoh ‘iddah isteri yang ditalak. Ini adalah pendapat yang diriwayatkan daripada Ali, Zaid bin Thabit, mazhab Mujahid, ‘Ata’ bin Abu Rabah, al-Nakha‘i, Sufyan al-Thauri, Ahmad bin Hanbal dan Ashab al-Ra’yi (al-Hanafiyyah).
Pendapat kedua: Sebahagian ulama lagi berpendapat, dia boleh berkahwin dengan adik-beradik perempuan bekas isterinya. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada ‘Ata’ dan merupakan riwayat yang paling sabit daripadanya, begitu juga diriwayatkan daripada Zaid bin Thabit, Sa‘id bin al-Musayyib, al-Hasan, al-Qasim, ‘Urwah bin al-Zubair, Ibn Abi laila, Imam al-Syafi‘i, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 5/119).
Tambahan lagi, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga pernah ditanya berkenaan adakah syarak membenarkan seorang lelaki untuk berkahwin dengan adik-beradik perempuan isterinya yang bukan lagi berada di bawah tanggungjawabnya?
Mereka menjawab, menurut syarak, tidak halal bagi seorang lelaki untuk menghimpunkan seorang perempuan dan adik-beradik perempuan tersebut dalam satu perkahwinan (sebagai isterinya). Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 23 (sebagaimana di atas). Adik-beradik perempuan isteri termasuk dalam kalangan wanita yang haram untuk dikahwini secara bertempoh (muaqqat). Ini kerana sekiranya lelaki tersebut menceraikan isterinya dan selesai tempoh ‘iddah isteri yang ditalak, maka ketika itu dia dibolehkan untuk berkahwin dengan adik-beradik perempuan bekas isterinya menurut syarak. Ini kerana yang diharamkan adalah menghimpunkan kedua-duanya secara serentak, adapun dalam keadaan ini, dia tidak lagi dianggap menghimpunkan kedua-duanya secara serentak. Ini adalah sekiranya kes atau keadaannya seperti yang disebutkan dalam soalan tersebut.[1]
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa seorang lelaki diharamkan untuk berkahwin dengan seorang perempuan dan juga adik-beradik perempuannya yang lain secara serentak (sebagai isteri-isterinya). Ini kerana terdapat larangan yang jelas untuk menghimpunkan isteri dan adik-beradik perempuannya dalam satu akad perkahwinan sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Nisa’ ayat 23 (seperti di atas).
Namun, sekiranya isteri yang dikahwini tersebut meninggal dunia atau sudah diceraikan, maka lelaki berkenaan dibolehkan untuk berkahwin dengan adik-beradik perempuan bekas isterinya menurut syarak setelah selesai tempoh ‘iddah isteri yang ditalak. Ini kerana ketika itu, dia tidak lagi dianggap menghimpunkan kedua-duanya dalam satu akad perkahwinan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Nota kaki:
[1] Lihat https://www.dar–alifta.org/ar/fatawa/17146/حكم–الجمع–بين–المراة–واختها–في–الزواج. Diakses pada 29 November 2023.