Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah sah memakai kanta lekap ketika berwudhuk?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Kanta Lekap

Menurut Dr. Aida Zairani Binti Mohd Zahidin (Pakar Oftalmologi dan Pakar Perunding Kornea), Kanta lekap (contact lens) merupakan salah satu alat yang digunakan bagi menambah baik tahap penglihatan seseorang individu dalam membantu mereka untuk menjalankan tugas-tugas dalam kehidupan harian, serta bersukan. Ia salah satu alternatif selain memakai cermin mata.

Terdapat pelbagai jenis kanta lekap seperti  Kanta lekap lembut (Soft Contact Lens), Kanta separa keras atau RGP (Rigid Gas Permeable), Kanta lekap hybrid, Kanta lekap multifocal, Kanta lekap berwarna dan Kanta prostetik (Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia).

Berwuduk merupakan salah satu dari syarat sah solat dan hukumnya adalah wajib. Ini seperti yang disebutkan menerusi firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat maka basuhlah muka-muka kamu serta tangan-tangan kamu sehingga ke bahagian siku. Dan sapulah kepala kamu serta (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga ke bahagian buku lali.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan rukun wudhuk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum memakai kanta lekap adalah harus dan memakainya ketika berwudhuk juga dikira sah kerana ia bukan anggota wudhuk yang wajib dibasuh. Menurut Imam al-Syafie: “Dan tidak aku ketahui perselisihan yang mengatakan bahawa anggota muka yang wajib dibasuh ketika wudhuk ialah bahagian yang zahir (bahagian luar) dan tidak termasuk bahagian dalam, dan tidak diwajibkan ke atas seseorang untuk membasuh kedua matanya”. (Lihat Al-Umm, 1/40).

Imam al-Nawawi turut nyatakan: “Tidak diwajibkan untuk membasuh bahagian dalam mata menurut kesepakatan ulama’, dan pada yang menyatakan sunat hukumnya terdapat dua pandangan, tetapi pandangan yang sahih ialah berdasarkan pandangan jumhur ulama’ iaitu hukumnya ialah tidak sunat”. (Lihat Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 1/404).

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Leave a Reply