Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah batal wuduk apabila seorang lelaki berjabat tangan dengan adik ipar perempuan?Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, istilah adik ipar atau seumpamanya dalam konteks negara kita adalah merujuk kepada adik-beradik isteri atau suami. Dalam erti kata lain, jika seorang lelaki itu menikahi seorang perempuan, maka semua adik-beradik perempuan tersebut dipanggil sebagai adik-beradik ipar apabila dinisbahkan kepada dirinya, dan begitulah juga sebaliknya bagi si isteri.

Secara asasnya, bersentuhan kulit antara lelaki dewasa dengan perempuan dewasa ajnabi adalah sesuatu yang ditegah. Di dalam sebuah hadith daripada Ma‘qil bin Yasar R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya:Sekiranya dicucuk pada kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, adalah lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya (bukan mahram).

Riwayat al-Tabarani (486); Riwayat al-Ruyani dalam musnadnya (1283)

Hadith di atas, jelas menunjukkan kepada pengharaman bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Sekalipun zahir hadith menunjukkan pengharaman ke atas lelaki, akan tetapi hukum tersebut tetap terpakai apabila seorang perempuan itu menyentuh lelaki yang tidak halal baginya. Mengenai perkara ini, al-Khattabi ada mengatakan:

الْخِطَاب إِذَا وَرَدَ بِلَفْظِ الذُّكُورِ كَانَ خِطَابًا لِلنِّسَاءِ إِلَّا فِي مَوَاضِعَ مَخْصُوصَةٍ

Maksudnya:Sesuatu khitab (yakni nas) apabila terdapat padanya lafaz orang lelaki, maka ia juga turut ditujukan (terpakai) kepada orang perempuan, melainkan dalam keadaan-keadaan yang tertentu.” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 2/423).

Begitu juga bersentuhan antara lelaki dewasa dan perempuan dewasa ajnabi tanpa berlapik termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk, sama ada sengaja ataupun tidak. (Lihat Al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 100-103; al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja, hlm. 38).

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji disebutkan bahawa di antara perkara yang membatalkan wuduk ialah seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain (ajnabi) tanpa berlapik. Perbuatan tersebut membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain (ajnabi) ialah semua perempuan yang halal untuk dikahwini oleh lelaki berkenaan. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam menerangkan perkara-perkara yang mewajibkan berwuduk:

أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ

Maksudnya:Atau kamu sentuh perempuan.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Berdasarkan bacaan mutawatir, perkataan “لَامَسْتُمُ” bermakna “لَمَسْتُم” iaitu kamu menyentuhnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/63).

Justeru, sekiranya tersentuh kulit isteri pun membatalkan wuduk, maka apatah lagi kulit perempuan dewasa ajnabi lain.

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa seseorang lelaki yang bersalaman atau berjabat tangan dengan adik ipar perempuannya tanpa berlapik, sekiranya kedua-duanya dalam keadaan berwuduk, maka batal wuduk kedua-duanya mengikut pendapat mazhab Syafi‘i. Begitu juga jika sentuhan (yakni bersalaman) antara keduanya berlaku secara sengaja tanpa sebarang sebab yang diizinkan oleh syarak, maka hukumnya adalah haram dan dikira berdosa kerana sentuhan itu sendiri adalah diharamkan.

Hal ini kerana adik ipar perempuan termasuk dalam kalangan wanita ajnabiyyah dan bukan mahram. Ini kerana mahram dari sudut istilah para fuqaha’ bermaksud: “Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-Ta‘bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang.” (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114).

Jelaslah bahawa larangan untuk menikahi adik ipar perempuan termasuk dalam haram muaqqat (berwaktu) dan bukannya haram muabbad (selama-lamanya). Dalam erti kata lain, sekiranya isteri yang dikahwini tersebut meninggal dunia atau diceraikan, maka adik beradik perempuannya (yakni adik ipar perempuan) tidak haram untuk dinikahi. Inilah yang disebutkan sebagai haram muaqqat (berwaktu). Jadi, tidak terpakai kepadanya hukum-hukum mahram seperti boleh bersalaman, berdua-duaan dan seumpamanya.

Bahkan berdua-duaan atau berkhalwat dengan adik-beradik ipar (berlainan jantina) adalah lebih keras larangannya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada ‘Uqbah bin ‘Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَرَأَيْتَ الحَمْوَ؟ قَالَ: الحَمْوُ المـَـوْتُ

Maksudnya: “Jauhilah kamu daripada masuk kepada wanita-wanita.” Seorang lelaki Ansar berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu dengan al-Hamwu (iaitu kaum kerabat suami yang halal dinikahi)?” Baginda menjawab: “Al-Hamwu ialah kematian.

Riwayat al-Bukhari (5232)

Begitu juga batal wuduk jika bersentuhan antara kedua-duanya tanpa berlapik. Hal ini sebagaimana disebutkan oleh al-Dimyati dalam kitabnya bahawa persemendaan yang membawa kepada haram untuk menikahi selama-lamanya adalah seperti ibu isterinya, berbeza halnya dengan persemendaan yang tidak membawa kepada haram untuk menikahi selama-lamanya seperti adik-beradik perempuan isterinya, maka wuduk terbatal dengan menyentuhnya (tanpa berlapik). (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/79).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Leave a Reply