Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.  Adakah berdosa jika saya menjauhkan diri dari kawan yang selalu menyakitkan hati saya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Seorang muslim hendaklah menjaga lidahnya dan juga anggota badannya dari menyakiti saudara muslimnya yang lain. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Amru R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya.

Riwayat Al-Bukhari (6484)

Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau ke atas hadith ini berkata :

وَالْمُرَادُ بِهَذَا الْحَدِيثِ الْحَضُّ عَلَى تَرْكِ أَذَى الْمُسْلِمِينَ بِاللِّسَانِ وَالْيَدِ وَالْأَذَى كُلِّهِ

Maksudnya : Yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan, dan juga semua yang menyakitkan. (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari, 1/62)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sebagai seorang Muslim, kita mestilah menjaga hubungan sesama makhluk, bukan hanya menjaga hubungan dengan Allah SWT. Firman Allah SWT:

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ

Maksudnya: Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia.

Surah Ali-Imran (112)

Justeru, jagalah hubungan sesama manusia dengan baik. Kadangkala dengan lidah, ia lebih menyakitkan dari mata pedang. Melalui kata-kata yang tidak baik juga, ia menyebabkan permusuhan, penindasan, perpecahan kekeluargaan, penceraian, dendam, sihir dan sebagainya. Oleh itu, sebaiknya kita menjaga tutur kata atau tindakan kita agar tidak menyakiti hati orang lain. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

Riwayat al-Bukhari (6018)

Maka, kami katakan tidak mengapa untuk anda menjauhkan diri daripada mendengar kata-kata yang boleh menyebabkan kita terasa, geram, panas hati dan seumpamanya. Namun, kami mencadangkan bahawa dalam masa yang sama, hendaklah teguran dengan cara yang terbaik diberikan kepadanya agar menghentikan perbuatan dan perkataan yang boleh mengguris perasaan dan menyakitkan hati orang lain.

Kami juga mengambil kesempatan untuk menitipkan sebuah doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada sahabatnya yang bernama Abu Umamah al-Bahili apabila beliau stress dan runsing dengan hutang yang banyak:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Leave a Reply