Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagi kami yang baru saja selesai bergraduasi dan menjejakkan kaki ke alam dewasa ini, banyak lagi tentang kehidupan yang mungkin belum kami pelajari. Seorang demi seorang melangkah ke gerbang perkahwinan, tetapi terkadang belum bersedia secara mental untuk berkongsi kehidupan bersama. Boleh ustaz berikan sedikit nasihat tentang ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Perkahwinan ini merupakan pertalian yang diikat dengan hak dan tanggungjawab ke atas kedua-dua lelaki dan perempuan. Ia merupakan suatu perkongsian hidup yang memerlukan pasangan itu memainkan peranan masing-masing dalam kehidupan mereka.

Sekiranya seorang suami adalah ketua rumahtangga yang mengemudi nakhoda, maka si isteri pula berperanan sebagai pembantu yang sentiasa menyokong dan membantu sama dalam melayari onak ranjau alam perkahwinan. Kewajiban ini perlu dijalankan dengan sebaiknya, dan hak-hak juga perlu dilindungi dengan sebaiknya, agar sakinah, mawaddah dan rahmah yang didambakan itu tercapai. Sebaliknya, jika perkara ini tidak dapat dikendalikan dengan sebaiknya sehingga berlakunya penindasan pada hak-hak pasangan masing-masing, nescaya ia akan mengakibatkan kesengsaraan dan kegagalan rumahtangga.

Perkongsian yang dimaksudkan bukanlah membahagikan secara sama rata setiap tanggungjawab yang ada di rumah, kerana kita perlu menyedari bahawa Islam tidak pernah sama sekali menyamakan lelaki dan perempuan yang secara semula jadinya juga sudah berbeza. Mungkin terdapat sesetengah perkara yang diberikan keutamaan kepada pihak lelaki berbanding perempuan, atau sebaliknya. Dan keutamaan ini semuanya bertitik tolak daripada perbezaan keupayaan dalam melakukan suatu tugasan itu. Jika yang disangka dengan perkongsian itu adalah pembahagian tugas secara sama rata, nescaya jauh sekali pasangan itu dari kebahagiaan yang diharapkan. Sedangkan Allah SWT telah berfirman:

وَلَا تَتَمَنَّوْا۟ مَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بِهِۦ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ ۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌۭ مِّمَّا ٱكْتَسَبُوا۟ ۖ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٌۭ مِّمَّا ٱكْتَسَبْنَ ۚ وَسْـَٔلُوا۟ ٱللَّهَ مِن فَضْلِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمًۭا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Nisa’: 32)

Meskipun begitu, masih terdapat tanggungjawab yang Islam tidak membeza-bezakan antara lelaki dan perempuan, iaitulah keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT. Kewajiban mengikut perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya adalah sama di antara kedua-duanya serta ganjaran yang diberikan kepada mereka, dan hendaklah mereka bersama-sama saling memperingati antara satu sama lain ke arah ketaqwaan. Allah SWT berfirman:

مَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًۭا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَلَنُحْيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةًۭ طَيِّبَةًۭ ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”

(Surah al-Nahl: 97)

Begitu juga yang disebutkan dalam firman-Nya:

فَٱسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّى لَآ أُضِيعُ عَمَلَ عَـٰمِلٍۢ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ ۖ

Maksudnya: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): ‘Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan’.”

(Surah Ali ‘Imran: 195)

Justeru, jelaslah bahawa ketetapan yang telah Islam letakkan dalam rumahtangga itu bersesuaian dengan lelaki dan perempuan secara adil. Tetapi tidaklah bermaksud tanggungjawab kedua-dua mereka adalah serupa dalam semua perkara. Mungkin ada sebahagian hak dan tanggungjawab itu hanya bersesuaian bagi kaum wanita sahaja kerana sifat feminin mereka, manakala sebahagian lainnya itu hanya bersesuaian bagi kaum lelaki kerana sifat maskulin mereka.

Dan ingatlah bahawa perkongsian yang paling utama untuk diketahui oleh setiap pasangan itu adalah hak-hak pasangan mereka ke atas mereka. Rasulullah SAW menyebutkan dalam khutbah haji wada‘, seperti yang diriwayatkan daripada ‘Amr bin al-Ahwas R.A:

أَلاَ إِنَّ لَكُمْ عَلَى نِسَائِكُمْ حَقًّا وَلِنِسَائِكُمْ عَلَيْكُمْ حَقًّا

Maksudnya: “Ketahuilah, kamu memiliki hak terhadap isteri-isteri kamu. Dan mereka juga memiliki hak terhadap kamu.” 

Riwayat al-Tirmizi (1163)

Semoga anak-anak muda yang baru mula melangkah ke alam perkahwinan dapat menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan, seterusnya mempraktikkan ilmu tersebut dalam melayari kehidupan rumahtangga bersama pasangan.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply