Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa sebenarnya makna Fa’lu sepertimana disebut dalam hadith Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, Rasulullah SAW menyebut tentang fa’lu dengan kalimah yang baik. Daripada Anas bin Malik R.A, daripada Nabi SAW, sabdanya:

«لاَ عَدْوَى وَلاَ طِيَرَةَ، وَيُعْجِبُنِي الفَأْلُ» قَالُوا: وَمَا الفَأْلُ؟ قَالَ: «كَلِمَةٌ طَيِّبَةٌ»

Maksudnya: “Tidak ada penyakit yang menular dan tidak ada mengambil sebarang petanda daripada burung-burung, dan yang menakjubkan aku ialah al-fa’l.” Mereka berkata: “Apakah al-fa’l itu?” Baginda SAW bersabda: “Perkataan yang baik.”

Riwayat al-Bukhari (5776)

Al-Hulaimi berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW menyukai kepada al-fa’l (sikap optimis) kerana sikap menganggap sial adalah buruk sangka kepada Allah SWT tanpa sebab yang pasti dan jelas. Sementara al-tafa’ul adalah berbaik sangka kepada-Nya. Seorang mukmin diperintahkan untuk berbaik sangka kepada Allah SWT dalam segala hal.” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 10/215)

Al-Tibi berkata, “Maksud dibolehkan al-fa’l dan larangan kepada kesialan ialah seseorang seandainya melihat sesuatu dan merasa ia baik dan dapat mendorongnya untuk mendapatkan hajatnya, maka hendaklah dia melakukannya. Apabila melihat kebalikan dari hal itu (seperti ada sial), maka janganlah dia mempedulikannya, tetapi hendaklah dia teruskan untuk mendapatkannya. Jika dia mengambil peduli terhadapnya dan berhenti daripada mendapatkan hajatnya, maka itulah tiyarah yang dipergunakan untuk kesialan.” (Lihat Syarh al-Thibi ‘ala Mishkat al-Masabih, 9/2978)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Leave a Reply