Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah barang tinggalan Rasulullah SAW semasa wafat? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, sebagaimana yang kita maklumi bahawa Rasulullah SAW telah menginfakkan hartanya sebelum kewafatan Baginda. Ini adalah sebagaimana dinukilkan daripada buku kami, Garis Masa Hayat al-Rasul SAW (hlm. 232) bahawa sehari sebelum kewafatan Rasulullah SAW, Baginda telah memerdekakan semua hamba sahaya Baginda dan bersedekah tujuh dinar yang ada dalam simpanannya. Begitu juga Baginda SAW turut memberikan senjata-senjata kepada orang Islam.
Terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:
اشْتَدَّ وَجَعُ رَسُولِ اللهِ ﷺ وَعِنْدَهُ سَبْعَةُ دَنَانِيرَ أَوْ تِسْعَةٌ، فقَالَ: يَا عَائِشَةُ، مَا فَعَلَتْ تِلْكَ الذَّهَبُ؟ فَقُلْتُ: هِيَ عِنْدِي، قَالَ: تَصَدَّقِي بِهَا، قَالَتْ: فَشُغِلْتُ بِهِ، ثُمَّ قَالَ: يَا عَائِشَةُ، مَا فَعَلَتْ تِلْكَ الذَّهَبُ؟ فَقُلْتُ: هِيَ عِنْدِي، فقَالَ: ائْتِنِي بِهَا، قَالَتْ: فَجِئْتُ بِهَا، فَوَضَعَهَا فِي كَفِّهِ، ثُمَّ قَالَ: مَا ظَنُّ مُحَمَّدٍ أَنْ لَوْ لَقِيَ اللهَ وَهَذِهِ عِنْدَهُ؟ مَا ظَنُّ مُحَمَّدٍ أَنْ لَوْ لَقِيَ اللهَ وَهَذِهِ عِنْدَهُ؟
Maksudnya: “Ketika sakit Rasulullah SAW bertambah tenat, dan di sisinya masih terdapat tujuh dinar atau sembilan dinar. Baginda lalu bertanya, ‘Wahai Aisyah, apa yang dilakukan oleh emas itu (yakni mengapa masih ada dinar)?’ Aku menjawab: ‘Dinar itu ada padaku.’ Baginda bersabda: ‘Berikan padaku.’ Aisyah berkata: ‘Lalu aku berikan dinar itu kepada Baginda dan aku letakkan di atas telapak tangannya.’ Baginda pun bersabda: ‘Apa yang bakal diduga terhadap Muhammad seandainya dia bertemu dengan Allah SWT sedangkan di sisinya masih ada dinar ini? Apa yang bakal diduga terhadap Muhammad seandainya dia bertemu dengan Allah SWT sedangkan di sisinya masih ada dinar ini?’”
Riwayat Ibn Hibban (715).[1]
Hal ini dikuatkan lagi dengan hadith daripada ‘Amr bin al-Harith yang ada hubungan kekeluargaan dengan Rasulullah SAW[2] dan merupakan saudara lelaki kepada Juwairiyah binti al-Harith. Dia berkata:
مَا تَرَكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ مَوْتِهِ دِرْهَمًا وَلاَ دِينَارًا وَلاَ عَبْدًا وَلاَ أَمَةً وَلاَ شَيْئًا، إِلَّا بَغْلَتَهُ البَيْضَاءَ، وَسِلاَحَهُ وَأَرْضًا جَعَلَهَا صَدَقَةً
Maksudnya: “Rasulullah SAW ketika wafatnya tidak meninggalkan dirham mahupun dinar dan tidak juga hamba lelaki mahupun hamba perempuan serta tidak juga sesuatu apa pun, melainkan seekor keldai putih miliknya, senjatanya dan juga tanah yang Baginda telah jadikan semuanya sebagai sedekah.”
Riwayat al-Bukhari (2739)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Nota kaki:
[1] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai hasan dalam takhrij Sahih Ibn Hibban.
[2] “ختن” bererti semua orang yang mempunyai hubungan kekeluargaan daripada sebelah isterinya seperti bapa kepada isterinya, saudara lelaki isterinya dan lain-lain. Ia juga terpakai ke atas suami kepada anak perempuannya.