Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dianjurkan atau disunatkan untuk bersedekah kepada orang yang mati secara tiba-tiba atau mengejut? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Tanpa dinafikan bahawa sedekah adalah salah satu amalan mulia sehingga inilah kehendak terakhir seorang hamba apabila nyawanya di hujung halkum. Firman Allah SWT:
فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَآ أَخَّرْتَنِىٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ قَرِيبٍۢ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
Maksudnya: “(Kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ‘Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.’”
(Surah al-Munafiqun: 10)
Al-Tabari menyatakan, maksud ayat ini adalah, wahai orang-orang yang beriman kepada-Ku dan Rasul-Ku, infakkanlah apa yang Kami rezekikan kepada kamu semua sebelum datang kematian pada salah seorang dari kamu, (di mana ketika itu) barulah dia berkata, “Tuhan, tolong undurkan kematianku, supaya aku dapat bersedekah dan menjadi orang yang soleh dengan mengerjakan segala perintah-Mu.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 25/91)
Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: ‘فَأَصَّدَّقَ’, yakni supaya hamba dapat bersedekah dengan membayar zakat dan yang lainnya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 14/593).
Ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita betapa mulianya sedekah pada pandangan orang yang berada dalam sakaratul maut. Benarlah kata Abu Zar al-Ghifari R.A:
مَا عَلَى الْأَرْضِ صَدَقَةٌ تَخْرُجُ حَتَّى يُفَكَّ عَنْهَا لِحْيُ سَبْعِينَ شَيْطَانًا كُلُّهُمْ يَنْهَاهُ عَنْهَا
Maksudnya: “Tiadalah atas muka bumi ini mana-mana sedekah yang dikeluarkan sehinggalah janggut tujuh puluh syaitan tercabut semuanya melarang orang yang bersedekah itu daripada bersedekah.” (Lihat Tanbih al-Ghafilin, hlm. 215)
Begitu juga terdapat riwayat yang hampir sama, daripada Buraidah bin al-Hasib al-Aslami R.A:
مَا يُخْرِجُ رَجُلٌ شَيْئًا مِنَ الصَّدَقَةِ حَتَّى يَفُكَّ عَنْهَا لَحْيَيْ سَبْعِينَ شَيْطَانًا
Maksudnya: “Tiadalah yang dikeluarkan oleh seorang lelaki sesuatu pun daripada sedekah sehinggalah janggut tujuh puluh syaitan tercabut dengan sedekah tersebut.”
Riwayat Ahmad (22962), Ibn Khuzaimah (2457) dan al-Bazzar (4456). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan para perawinya adalah thiqah.
Seterusnya, dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa benar, terdapatnya anjuran atau disunatkan kepada ahli keluarga orang yang meninggal dunia secara tiba-tiba (mengejut) untuk bersedekah bagi pihaknya atau menunaikan nazarnya.
Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:
أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ أُمِّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَأُرَاهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ، أَفَأَتَصَدَّقُ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ تَصَدَّقْ عَنْهَا
Maksudnya: “Seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: ‘Sesungguhnya ibuku meninggal dunia secara tiba-tiba dan menurutku kalaulah dia sempat berbicara, nescaya dia akan bersedekah. Adakah aku boleh bersedekah bagi pihaknya?’ Baginda menjawab: ‘Ya, bersedekahlah bagi pihaknya.’”
Riwayat al-Bukhari (2760)
Justeru, berdasarkan nas di atas, bolehlah kita bersedekah atau infaq atas nama ibu atau bapa kita, atau kaum keluarga kita sebagai salah satu sedekah jariah atau sedekah untuknya. Banyak nas yang menunjukkan pahala akan mengalir atas tindakan seseorang yang berinfaq fi sabilillah lebih-lebih lagi apabila bersifat wakaf atau sedekah jariah.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” tolonglah aku untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”