Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah seseorang mengacah senjata kepada saudaranya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

‏ إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

Maksudnya: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara,

(Surah al-Hujurat: 10)

Dalam Islam, membawa senjata dengan mengacukan kepada sesama Islam adalah dilarang sama sekali.

Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 «مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلاَحَ فَلَيْسَ مِنَّا».

Maksudnya: “Sesiapa yang membawa (mengacukan) senjata ke atas kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”

Riwayat al-Bukhari (7070)

Hal ini kerana, boleh jadi ketika itu terdapat pengaruh syaitan yang akhirnya mengenakan kepada saudaranya.

Daripada Hammam, aku mendengar Abu Hurairah (meriwayatkan), daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

«لاَ يُشِيرُ أَحَدُكُمْ عَلَى أَخِيهِ بِالسِّلاَحِ، فَإِنَّهُ لاَ يَدْرِي لَعَلَّ الشَّيْطَانَ يَنْزِعُ فِي يَدِهِ، فَيَقَعُ فِي حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ».

Maksudnya: “Janganlah salah seorang daripada kalian mengacukan senjata ke atas saudaranya kerana sesungguhnya dia tidak tahu, boleh jadi  syaitan melepaskan apa yang ada pada tangannya, lalu akhirnya dia terjerumus ke dalam lubang api neraka.”

Riwayat al-Bukhari (7072)

Justeru, jika sekiranya terdapat busur panah yang terbuka dan terdedah di khalayak ramai, maka hendaklah dipegangkan matanya agar tidak terkena kepada orang lain. Inilah nasihat Nabi SAW sebagaimana hadith Abi Musa, sabda Baginda SAW:

إِذَا مَرَّ أَحَدُكُمْ فِي مَسْجِدِنَا أَوْ فِي سُوقِنَا وَمَعَهُ نَبْلٌ فَلْيُمْسِكْ عَلَى نِصَالِهَا – أَوْ قَالَ: «فَلْيَقْبِضْ بِكَفِّهِ» – أَلاَّ يُصِيبَ أَحَدًا مِنَ الْمُسْلِمِينَ مِنْهَا شَيْءٌ».

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kalian melewati di dalam masjid kami atau di pasar kami, dan (membawa) bersamanya anak panah, maka hendaklah dia memegang matanya. – atau Baginda bersabda: ‘Maka hendaklah dia menggenggam dengan telapak tangannya.’ – supaya tidak ada sesuatu daripadanya yang menimpa (mengenai) seseorang daripada kalangan kaum Muslimin.”

Riwayat al-Bukhari (7075)

Sesungguhnya banyak peristiwa pembunuhan tanpa sengaja atau kecederaan tanpa sengaja berlaku apabila adanya budaya atau perbuatan mengacah-acah senjata sesama rakan taulan atau kaum keluarga.

Marilah sama-sama kita mengikuti pesanan Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan di atas. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Leave a Reply