Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum mengidam perkara yang pelik-pelik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Mengidam

“Mengidam” adalah satu pengalaman yang biasa dialami oleh kebanyakan wanita hamil atau mengandung. Mengidam boleh diterjemahkan sebagai keinginan yang tinggi terhadap sesuatu jenis makanan yang dirasai ketika mengandung. Ada yang mengejutkan, bukan hanya makanan yang diidamkan tetapi juga bahan bukan makanan seperti kapur dan kepingan cat atau tanah. Terdapat pelbagai faktor yang dikaitkan sebagai punca berlakunya mengidam. Menurut Siobhan Dolan, ada yang berpendapat mengidam atau penolakan semasa kehamilan sebenarnya merupakan satu faktor perlindungan, walaupun tiada data saintifik yang mencukupi untuk menyokong teori ini. (Lihat Portal Kementerian Kesihatan Malaysia)[1]

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan lazimnya apabila seorang isteri itu sedang hamil, mereka akan mengidam sesuatu. Oleh itu, harus memenuhi permintaan isteri yang sedang mengidam selagi mana perkara yang diminta itu tidak menyalahi syarak dan tidak melampaui batas. Perkara ini disebut dalam kitab Hasyiah al-Bujairimi:

يَنْبَغِي أَنْ يَجِبَ مَا تَطْلُبُهُ الْمَرْأَةُ عِنْدَ مَا يُسَمَّى بِالْوَحَمِ مِنْ نَحْوِ مَا يُسَمَّى بِالْمُلُوحَةِ إذَا اُعْتِيدَ ذَلِكَ. وَأَنَّهُ حَيْثُ وَجَبَتْ الْفَاكِهَةُ وَالْقَهْوَةُ وَنَحْوُ مَا يُطْلَبُ عِنْدَ الْوَحَمِ، يَكُونُ عَلَى وَجْهِ التَّمْلِيكِ فَلَوْ فَوَّتَهُ اسْتَقَرَّ لَهَا وَلَهَا الْمُطَالَبَةُ بِهِ وَلَوْ اعْتَادَتْ نَحْوَ الْأَفْيُونِ بِحَيْثُ تَخْشَى بِتَرْكِهِ مَحْذُورًا مِنْ تَلَفِ نَفْسٍ وَنَحْوِهِ لَمْ يَلْزَمْ الزَّوْجَ لِأَنَّ هَذَا مِنْ بَابِ التَّدَاوِي

Maksudnya: “Sewajarnya menjadi kewajiban apa -apa yang diinginkan isteri ketika mengalami apa yang disebut mengidam iaitu kemasinan sekiranya menjadi kebiasaan. Begitu juga wajib memberi buah-buahan, kopi dan apa-apa yang diinginkan isteri semasa mengidam yang dinyatakan sebagai nafkah yang bersifat pemilikan (tamlik). Sekiranya suami lambat menunaikan, maka si isteri berhak menuntutnya agar suami dapat melangsaikan. Jika isteri terbiasa dengan makan candu/dadah dan apabila dikhuatiri meninggalkannya menyebabkan kerosakan fungsi badan, maka suami tidak wajib memenuhi permintaan tersebut kerana ia termasuk dalam bab perbahasan perubatan bukannya nafkah. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib :Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 4/89)

Sebaiknya, ibu-ibu yang mengandung perbanyakkan meneliti dan membaca kisah-kisah wanita solehah supaya dapat menambahkan ilmu di dada tentang cara mendidik dan membesarkan anak-anak dengan cara yang dianjurkan islam, di samping dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

 Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Surah Ibrahim: 40)

Dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Wallahua`lam.

Nota kaki:

[1] http://www.myhealth.gov.my/mengidam-semasa-mengandung/#:~:text=Mengidam%20boleh%20diterjemahkan%20sebagai%20keinginan,dan%20kepingan%20cat%20atau%20tanah.

Leave a Reply