Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah piawaian larangan mengubah ciptaan Allah SWT ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

(Surah al-Nisa’: 119)

Imam al-Tabari menjelaskan, bahawa dalam satu konteks, ayat ini memberi makna larangan mengubah ciptaan Allah SWT. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 9/222).

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ”iaitu mengubah ciptaan Allah di mana sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan perbuatan mengubah ciptaan Allah merupakan perbatan yang tercela kerana sehinggakan Allah melaknata golong yang mengubah ciptaanya. Dar al-Ifta al Misriyyah dalam fatwanya menyataka bahawa: Yang dimaksudkan dengan ayat ( فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ) adalah perubahan keadaan yang jelas. Perkara yang ditegah adalah mengubah sifat ciptaan atau bentuk yang dikenali dengan cara menghapus atau menukarnya; seperti tato dan merenggangkan  gigi.

Imam al-Baidhawi dalam kitabnya Asrar al-Tanzil menerangkan bahawa yang dimaksudkan dengan mengubah ciptaan Allah adalah mengubah wajah, bentu dan sifatnya. (Lihat  Asrar al-Tanzil, 2/98)

Piawaian dalam mengubah ciptaan yang dilarang oleh Allah adalah yang menyebabkan kemudaratan kepada pelakunya dimana ia melakukan suatu perbuatan ke atas tubuh dengan mengubah keadaannya secara kekal, seperti tato, dan mencabut serta merenggangkan  gigi. Jika tiada unsur-unsur tersebut, maka tidak dianggap sebagai perubahan terhadap ciptaan Allah.[1]

Syeikh Soleh al-Fauzan dalam bukunya yang berkaitan pembedahan kecantikan ada membawakan satu dhawabit umum bagi pengubahan yang diharamkan iaitu:

إِحْدَاثُ تَغْيِيرِ دَائِمٍ فِي خِلْقَةٍ مَعْهُودَةٍ

Maksudnya: “Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”

Pengubahan tersebut boleh jadi dengan cara menambah seperti suntikan kecantikan, menanam atau seumpamanya, ataupun dengan menghilangkan sebahagian tisu badan seperti menyedut lemak, ataupun dengan mengubah rupa bentuk sebahagian anggota, sama ada dengan membesarkannya, mengecilkannya atau mengetatkannya. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74-75).)

Sebagai kesimpulannya kami kataka dhawabit atau piawaian  dari larangan mengubah ciptaan Allah adalah perubahan yang  berkekalan dan berterusan. Dengan ini,kita dapat membezakan perkara-perkara yang dilarang yang disebutkan dalam hadis, dan perkara-perkara yang dibolehkan yang tidak ada seorang pun yang menyatakan larangan terhadapnya seperti penggunaan celak dan inai.”

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat : https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/19734/%D8%– Diakses pada 30 November 2023

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *