Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum jika kita keluar dari masjid selepas azan berkumandang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ketika azan dilaungkan, kita sebagai umat Islam dianjurkan agar meninggalkan segala aktiviti yang sedang dilakukan serta dalam masa yang sama perlulah menjawab azan sebagai satu bentuk penghormatan. Daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ، ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ ، فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ ، لاَ تَنْبَغِي إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللهِ ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ ، فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya: “Apabila kamu semua mendengar muazzin (melaungkan azan), maka sebutlah sebagaimana yang muazzin itu laungkan. Kemudian selawatlah ke atasku. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat sekali kepadaku, Allah akan berselawat kepadanya sebanyak 10 kali. Kemudian mohonlah kepada Allah agar aku mendapat wasilah. Sesungguhnya ia adalah satu kedudukan di syurga yang hanya layak kepada seorang hamba Allah. Aku berharap agar aku adalah orang tersebut. Sesiapa yang memohon wasilah untuk aku, maka syafaatku akan diberikan kepadanya.”

 Riwayat Muslim (384), Abu Daud (523) dan al-Nasa’ie (678)

Para ulama berbeza pandangan berkenaan hukum keluar dari masjid selepas azan berkumandang.

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh sahaja bagi mereka yang keluar dari masjid selepas azan berkumandang sehingga dia solat fardhu kecuali uzur. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/157).

Imam al-Syaukani pula menyebutkan bahawa kedua hadith yang disebutkan di atas (hadith Abu al-Sya’tha’ dan Abu Hurairah) menjadi dalil bahawa haram untuk keluar dari masjid selepas mendengar azan kecuali bagi mereka yang tiada wudhuk, qadha’ hajat, darurat sehinggalah ditunaikan solat tersebut. (Lihat Nail al-Awtar, 2/192)

Di dalam mazhab Maliki pula, sekiranya keluar selepas iqamah bagi yang ingin bersuci untuk solat tersebut namun tidak kembali, maka perbuatan tersebut adalah haram. Adapun keluar selepas azan maka hukumnya makruh kecuali dengan niat untuk kembali ke masjid. Namun sekiranya dia keluar dari masjid dengan tujuan untuk berpaling tidak menunaikan solat, maka dia adalah munafik dan ditakuti akan ditimpa musibah ke atasnya seperti sebahagian manusia. (Lihat al-Fawakih al-Dawani ‘ala Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, 1/172)

Manakala, menurut Ibn Qudamah di dalam mazhab Hanbali menyebutkan bahawa tidak dibolehkan untuk keluar dari masjid selepas azan kecuali uzur. (Lihat al-Mughni, 1/296)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami lebih cenderung mengatakan hukumnya makruh untuk keluar dari masjid selepas azan berkumandang tanpa sebarang keuzuran seperti tiada wudhuk, qadha’ hajat dan seumpamanya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Leave a Reply