Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah boleh kita memakai cincin di jari kelingking?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Memang banyak hadith yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mempunyai cincin. Dan cincin juga sebagai khatam atau cop mohor bagi Rasulullah SAW sebagai nak menunjukkan keabsahan waraqah atau surat yang dikirim oleh Rasulullah SAW kepada ketua-ketua negara. Hal ini berdasarkan kepada hadith:
Pertama: Daripada Anas bin Malik R.A, katanya:
أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَادَ أَنْ يَكْتُبَ إِلَى رَهْطٍ، أَوْ أُنَاسٍ مِنَ الأَعَاجِمِ. فَقِيلَ لَهُ: إِنَّهُمْ لاَ يَقْبَلُونَ كِتَابًا إِلَّا عَلَيْهِ خَاتَمٌ. فَاتَّخَذَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَاتَمًا مِنْ فِضَّةٍ، نَقْشُهُ: مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ، فَكَأَنِّي بِوَبِيصِ، أَوْ بِبَصِيصِ الخَاتَمِ فِي إِصْبَعِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَوْ فِي كَفِّهِ.
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Allah SAW hendak menulis (surat) kepada suatu kelompok – atau pun Anas berkata: segolongan manusia daripada kalangan orang-orang ‘Ajam (bukan Arab).” Dikatakan kepadanya: “Sesungguhnya mereka tidak menerima surat melainkan diletakkan ke atasnya cap mohor.” Maka Nabi SAW membuat cincin yang diperbuat daripada perak, dengan (ukirannya) ‘Muhammad Rasulullah’. Seakan-akan aku masih melihat kilauan cincin – perawi berkata: dengan lafaz wabis atau basis – di jari Nabi SAW – perawi berkata: atau di telapak tangan Baginda.”
Riwayat al-Bukhari (5872)
Kedua: Daripada Ibn Umar R.Anhuma katanya:
اتَّخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَاتَمًا مِنْ وَرِقٍ، وَكَانَ فِي يَدِهِ، ثُمَّ كَانَ بَعْدُ فِي يَدِ أَبِي بَكْرٍ، ثُمَّ كَانَ بَعْدُ فِي يَدِ عُمَرَ، ثُمَّ كَانَ بَعْدُ فِي يَدِ عُثْمَانَ، حَتَّى وَقَعَ بَعْدُ فِي بِئْرِ أَرِيسَ، نَقْشُهُ: مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ.
Maksudnya: “Rasulullah SAW membuat cincin yang diperbuat daripada perak, dan ia sentiasa berada di tangannya, setelah itu ia berada di tangan Abu Bakar, kemudian, berada di tangan Umar, lalu berada di tangan Uthman, sehinggalah selepas itu ia terjatuh di telaga Aris. Ukiran cincin itu adalah: ‘Muhammad Rasulullah’.”
Riwayat al-Bukhari (5873)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan boleh dan inilah yang dinyatakan oleh Anas R.A, katanya:
صَنَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَاتَمًا، قَالَ: «إِنَّا اتَّخَذْنَا خَاتَمًا، وَنَقَشْنَا فِيهِ نَقْشًا، فَلاَ يَنْقُشَنَّ عَلَيْهِ أَحَدٌ. قَالَ: فَإِنِّي لَأَرَى بَرِيقَهُ فِي خِنْصَرِهِ.
Maksudnya: Nabi SAW membuat sebentuk cincin. Baginda bersabda: “Sesungguhnya kami telah membentuk dan mengukir padanya ukiran. Maka janganlah ada seorang pun mengukir cincinnya (seperti ukiran cincin Baginda).” Dia berkata: “Sesungguhnya aku masih melihat kilauan cincin itu pada jari kelingking Baginda.”
Riwayat al-Bukhari (5874)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”