Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hal keadaan gugurnya mahar dari isteri ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Islam merupakan satu agama yang memandang tinggi kemuliaan institusi perkahwinan, dan mengangkat darjat wanita ke tahap yang mulia. Salah satu bukti akan kenyataan ini dalam syari’at Islam dan hukum-hakam fiqh ialah pensyari’atan mahar dalam perkahwinan.
Definisi Mahar dan Konsepnya dalam Islam
Dari sudut bahasa, mahar bermaksud:
ما يَدْفَعُهُ الزَّوْجُ إِلَى زَوْجَتِهِ بِعَقْدِ الزَّوَاجِ
Maksudnya: “Apa yang dibayar oleh suami kepada isteri sebagai hadiah kepadanya dengan sebab ‘aqad nikah.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 39/151)
Menurut istilah syara’ pula mazhab Syafi’e telah mendefinisikan mahar dengan maksud:
هُوَ مَا وَجَبَ بِنِكَاحٍ أَوْ وَطْءٍ أَوْ تَفْوِيتِ بُضْعٍ قَهْرًا
Maksudnya: “Mahar adalah suatu yang diwajibkan dengan sebab pernikahan, atau persetubuhan, atau pemerkosaan.”(Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/220)
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji berkata: Mahar atau mas kahwin ialah “harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab akad nikah.” Mahar juga disebut sebagai al-sadaq dan hukumnya adalah wajib sebaik sahaja sempurna akad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa akad tersebut. Jika terdapat permuafakatan menafikannya atau tidak menyebutnya, persetujuan tersebut batal dan mas kahwin tetap wajib diserahkan.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/75)
Dalam istilah bahasa Melayu, merujuk kepada Kamus Dewan, mahar kahwin adalah merupakan pemberian yang diwajibkan daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan.[1]
Dalil pensyari’atan mahar dapat dilihat melalui ayat al-Qur’an:
وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا
Maksudnya: “Dan berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.”
( Surah al-Nisa’: 4)
Ibn Kathir berkata: Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan aqad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan mahar merupakan pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri disebabkan berlakunya akad perkahwinan. Namun ada beberapa situasi yang boleh menyebabkan gugurnya mahar dari isteri, kami perincikannya sebagaimana berikut:
- Jika seorang wanita meninggalkan Islam atau menolak untuk memeluk agama islam, atau beralih ke agama lain setelah sebelumnya telah memeluk agama samawi. Maka mahar (harta yang diberikan oleh suami kepada isteri) akan gugur daripadanya . Ini disebabkan mahar merupakan anugerah atau hadiah dari suami kepada isteri, dan perbuatan meninggalkan atau menolak agama yang diikutinya dianggap sebagai dosa. Oleh kerana itu, dalam keadaan-keadaan seperti ini, mahar digugurakan daripadanya.
- Melakukan maksiat yang menyebabkan perpecahan seperti melakukan zina atau membunuh suami sebelum berlakunya persetubuhan, Ini kerana maksiat menyebabkan seorang itu menerima akibatnya bukan mendapat nikmat.
- Menjalankan haknya di sisi undang-undang seperti sekiranya dia masih kecil atau gila, dan walinya bukan ayah atau datuknya, maka ketika dia dewasa atau sembuh dari penyakit gila, dia boleh memutuskan untuk membatalkan perkahwinannya. Sama juga jika seorang wanita dewasa yang waras dinikahkan dengan seseorang yang tidak layak, maka pembatalan perkahwinan boleh dilakukan kerana ketidaklayakan pasangan tersebut atau dia sendiri yang memohon penceraian atau fasakh tersebut maka, dalam situasi-situasi yang disebutkan tadi tergugurlah mahar ke atasnya disebabkan fasakh yang berlaku dari pihaknya. (Lihat Nizam al-Usrah fi al-Islam, 2/249-250)
Dalam isu ini juga Ibn Qudamah menyatakan bahawa: Setiap pembubaran perkahwinan yang datang daripada pihak isteri sebelum berlakunya persetubuhan seperti wanita tersebut memeluk islam, atau keluar daripada islam atau mempunyai hubungan sususan dengan suaminya atau membubarkan perkahwinan disebabkan aib isteri atau aib suami atau disebabkan keadaan suami yang susah atau merdeka maka keadaan-keadaan tersebut menyebabkan gugurnya mahar darinya. (Lihat ‘Umdah al-Fiqh, hlm.98)
Sebagai kesimpulannya kami katakan, apabila berlaku pembubaran perkahwinan yang dilakukan oleh pihak isteri seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, maka mahar yang telah diberikan oleh suami kepada isteri itu akan gugur. Yang demikian merupakan ketetapan syara’ dalam ahwal syakhsiyah.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan :74)
Wallahua’lam
Nota kaki:
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=mahar – Diakses pada 30 NOvember 2023