Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh berikan sedikit penjelasan tentang kaedah umum “al-umur bi maqasidiha” yang sering kita jumpa, tetapi mungkin tidak semua orang fahaminya dengan baik? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertama sekali, kaedah (الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا) yang saudara sebutkan ini merupakan salah satu kaedah yang besar dalam ilmu Kaedah-kaedah Fiqh (القَوَاعِدُ الفِقْهِيَّةُ) yang banyak dilihat aplikasinya dalam hukum-hakam Islam. Betapa ilmu ini merupakan satu cabang yang penting untuk dikuasai terutamanya bagi penuntut ilmu agama, dan lebih khusus lagi bagi pengkaji ilmu fiqh dan usulnya, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan: “Tidak boleh tidak, seseorang insan (yang menjadi rujukan agama) itu perlu mempunyai (menguasai) usul yang menyeluruh, yang mana boleh dikembalikan kepadanya sebagai rujukan bagi hukum-hakam juz’iyyat agar dia dapat berbicara tentangnya dengan ilmu pengetahuan dan keadilan. Kemudian, dia perlu tahu bagaimana aplikasi hukum-hakam tersebut. Jika tidak, dia akan kekal (bercakap) dengan penipuan (dari rekaan kefahamannya) dan kejahilan terhadap hukum-hakam juz’iyyat, serta jahil dan gelap (kefahamannya) terhadap usul yang menyeluruh, lalu terhasillah kerosakan yang besar.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 19/203)
Definisi Kaedah
Kaedah yang saudara bertanyakan ini merupakan kaedah pertama dalam Kaedah-kaedah Fiqh yang Besar dan Menyeluruh (القَوَاعِدُ الكُلِّيَّةُ الكُبْرَى). Kami cuba membawakan definisinya secara mufrad (tunggal) dan juga murakkab (majmuk).
Definisi kaedah ini secara mufrad (tunggal) bermaksud mentakrifkannya berdasarkan setiap perkataan; al-umur (الأُمُورُ) dan juga al-maqasid (المَقَاصِدُ) menurut ahli bahasa.
- Al-umur (الأُمُورُ): kata ganda bagi al-amr (الأَمْرُ), mempunyai pelbagai maksud, antaranya:
- Keadaan, sepertimana dalam firman Allah SWT:
وَمَآ أَمْرُ فِرْعَوْنَ بِرَشِيدٍۢ
Maksudnya: “Padahal, perintah Firaun itu bukanlah untuk perkara yang benar.”
(Surah Hud: 97)
Imam Ibn Kathir berkata, sedangkan keadaan Fir‘aun itu tidak mendapat petunjuk atau hidayah, bahkan keadaannya jahil dan sesat, dalam keadaan sesat dan derhaka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/299)
- Perintah, lawan kepada larangan. Sebagaimana dalam firman Allah SWT:
فَٱلْمُقَسِّمَـٰتِ أَمْرًا
Maksudnya: “Dan malaikat-malaikat yang membahagi-bahagikan segala perkara yang mereka ditugaskan membahagikannya.”
(Surah al-Zariyat: 4)
- Al-maqasid (المَقَاصِدُ): kata ganda bagi al-maqsad (المَقْصَدُ) yang bermaksud keinginan, niat dan keazaman. Ibn Farsi pula mengatakan, ia bermaksud mendatangi sesuatu dan menuju kepadanya. (Lihat Mu‘jam Maqayis al-Lughah, 5/95)
Manakala kaedah ini secara murakkab (majmuk) pula bermaksud, mentakrifkannya berdasarkan kata majmuk:
الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا
Maksudnya: “Setiap perkara dikira berdasarkan tujuan (yang diniatkan).”
Yakni, setiap hukum yang terhasil dari sesuatu perkara adalah sesuai dengan apa yang diniatkan oleh pelakunya. Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa‘di mengatakan, perbuatan mukallaf dan kelakuannya berbeza hukumnya kerana berbezanya tujuan dan sasarannya. (Lihat Jami‘ Syuruh al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 8)
Rukun dan Syarat Kaedah
Syeikh Dr. Ya‘qub bin ‘Abd al-Wahhab al-Bahasin telah mengumpulkan kalam para fuqaha’ tentang kaedah ini, kemudian mempermudahkannya dengan memecahkan noktah-noktah penting kepada beberapa rukun dan juga syarat.
Rukun (1): Mukallaf
Iaitu orang yang melakukan suatu perkara itu, atau orang yang berniat. Terdapat 3 syarat utama yang perlu ada padanya sebelum boleh terpakainya kaedah ini:
- Islam: Dan ini sebagaimana yang disebutkan oleh ramai ulama’ terdahulu, seperti Imam al-Suyuti dan Ibn al-Nujaim. (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 39; al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn al-Nujaim, hlm. 49)
- Berkeahlian: Yakni seseorang itu mestilah mumayyiz atau boleh membezakan antara baik dan buruk, serta sudah baligh menurut Imam al-Mawardi, dan berakal. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 1/97)
Rukun (2): Perkara yang Diniatkan dan Ditujui
Perkara yang dijadikan tujuan serta matlamat ini juga mempunyai beberapa syarat utama, antaranya:
- Diketahui oleh Mukallaf: Bererti, pelaku itu tahu tentang hakikat sesuatu yang dituju dan diniatkan itu, serta tahu berkenaan hukumnya di sisi syara‘. (Lihat Raudhah al-Nazir, hlm. 47; al-Mughni, 8/824)
Sebagai contoh dalam ibadah, sekiranya perkara yang diniatkan dan dituju itu tidak diketahui hukumnya oleh mukallaf, bagaimana mungkin mukallaf itu boleh berniat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan melakukannya.
- Mampu dilaksanakan: Perkara itu mestilah boleh dilakukan, sama ada secara logik akal, boleh dilakukan dari sudut syara‘ dan juga uruf setempat. Dan mukallaf juga mampu merealisasikannya.
- Dilaksanakan oleh Mukallaf Yang Berniat: Imam al-Qarafi menyebutkan syarat ini dalam beberapa kitab karangan beliau, dan sebab mengapa syarat ini diletakkan adalah, mustahil untuk seseorang itu meniatkan sesuatu bagi pihak orang lain sedangkan orang yang berniat itu tidak melakukannya. (Lihat al-Zakhirah, 1/241)
Rukun (3): Niat atau Tujuan
Ini merupakan rukun terpenting dalam kaedah ini, kerana berbezanya hukum sesuatu itu berdasarkan kepada berbezanya niat serta tujuan. Syarat-syaratnya adalah:
- Tidak Bertentangan dengan Syara‘: Ini kerana syari‘at diletakkan untuk maslahah hamba-hamba Allah SWT dan menolak kemudharatan dari mereka. Jika niat itu bertentangan dengan apa yang ditetapkan oleh syara‘, maka perbuatan tersebut adalah batil.
- Disertakan dengan Perkara yang Diniatkan: Sama ada niat itu sebelum melakukan perkara tersebut, atau semasa melakukannya.
- Tiada Syak pada Niat: Seperti seseorang yang syak pada harta yang dikeluarkan, ragu-ragu sama ada niatnya adalah untuk zakat atau untuk sedekah biasa sahaja, maka perlu membuang salah satu dari syak itu. (Lihat al-Mufassal fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 164-170)
Dalil Pensyari‘atan Kaedah
Kaedah ini thabit di dalam nas-nas syara‘, antaranya adalah sabda Rasulullah SAW dalam riwayat Saidina ‘Umar bin al-Khattab R.A:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.”
Riwayat al-Bukhari (1) dan Sahih Muslim (1907)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan kalam Ibn ‘Ubaid, katanya bahawa tidak ada hadith Rasulullah SAW yang lebih holistik dan kaya dengan maksud, serta lebih banyak faedahnya berbanding hadith ini. (Lihat Fath al-Bari, 1/11)
Betapa kaedah ini bersifat menyeluruh, sehinggakan boleh diibaratkan sebagai mustahil seseorang itu melakukan sesuatu perkara dengan sengaja, sama ada baik atau buruk, tanpa didahului dengan lintasan niat di hati terlebih dahulu. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, sekiranya seorang hamba itu ditaklifkan untuk beramal dengan amalan tanpa sebarang niat, seakan dia ditaklifkan dengan suatu perkara yang mustahil. Sesungguhnya seseorang itu jika dia ingin melakukan suatu amalan, sama ada yang disyari‘atkan atau tidak, pasti ilmunya telah terlintas dahulu di hati, dan inilah yang dinamakan niat. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 18/262)
Kepentingan Niat dan Tujuan
Kaedah yang terkait dengan niat ini ada 2 kepentingan utama yang diutarakan oleh para ulama’, antaranya:
- Membezakan antara setiap perkara yang dilakukan.
Dalam erti kata lain, kaedah ini penting untuk mengkhususkan sesuatu amalan yang dilakukan oleh seseorang itu, dan memisahkannya dari sebarang amalan lain yang mungkin pada zahirnya kelihatan serupa. Dan terdapat 2 perkara yang perlu dibezakan:
- Membezakan antara suatu ibadah dengan ibadah yang lain. Seperti membezakan solat wajib dengan solat sunat, solat zohor dengan solat asar, dan lain-lain.
- Membezakan antara suatu ibadah dengan adat setempat. Seperti membezakan mandi wajib dan sunat yang merupakan ibadah, dengan mandi untuk membersihkan diri sahaja.
- Mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Boleh jadi seseorang itu berniat bukan kerana ingin membezakan antara suatu amalan dengan yang lain, bahkan tujuannya adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT, seperti berjihad, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, melunaskan hutang, dan lain-lain lagi.
Kesimpulan
Dalam bahasa mudahnya, difahami dari perincian yang kami bawakan, niat dan tujuan seseorang itu menjadi penentu amalan yang dilakukannya itu. Jika ianya bertentangan dengan perintah syara‘, maka pelakunya dikira berdosa. Dan sebaliknya, jika bertepatan dengan tuntutan syara‘, pelakunya mendapat pahala.
Sekiranya ianya pada perkara yang diharuskan oleh syara‘, seperti berhijrah atau bermusafir, maka niatnya itulah yang menentukan sama ada dia memperolehi kebaikan dari permusafirannya itu, atau sekadar berhasil menggapai apa yang dituju sahaja.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْـيَا يُصِيبُهَا، أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنـْكِحُهَا، فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Maksudnya: “Maka barangsiapa niat hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehi atau kerana seorang wanita yang ingin dinikahi, maka hijrahnya adalah berdasarkan kepada apa yang diniatkan.”
Riwayat al-Bukhari (1) dan Sahih Muslim (1907)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam