Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah Zubair sebagai hawari Nabi SAW? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan sedikit pengenalan atau biodata ringkas Zubair bin al-‘Awwam R.A. Beliau ialah al-Zubair bin al-‘Awwam bin Khuwailid bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ai bin Ghalib. Beliau berasal daripada Bani Asad. Beliau merupakan pengikut setia (hawari) Rasulullah SAW dan anak kepada ibu saudara Baginda iaitu Safiyyah binti ‘Abd Al-Muttalib. Beliau juga ialah salah seorang daripada enam ahli syura dan salah seorang daripada sepuluh yang diberikan perkhabaran gembira dengan syurga. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/41). Zubair berkahwin dengan Asma binti Abu Bakar. Beliau termasuk daripada kalangan mereka yang turut serta dalam dua hijrah, iaitu hijrah ke Habsyah dan hijrah ke Madinah.
Terdapat riwayat daripada Mansur bin ‘Abd al-Rahman: Aku mendengar al-Sya‘bi berkata: Aku mengetahui 500 orang atau lebih daripada kalangan sahabat yang menyebutkan bahawa Ali, Uthman, Talhah dan al-Zubair di dalam syurga.
Kemudian, al-Zahabi mengulasnya dengan menyatakan, hal ini kerana mereka termasuk dalam kalangan sepuluh orang yang dijanjikan syurga, termasuk dalam ahli Bai‘ah al-Ridhwan, termasuk dalam kalangan al-Sabiqun al-Awwalun (mereka yang terdahulu — yang mula-mula berhijrah dan memberi bantuan) yang mana Allah SWT mengkhabarkan bahawasanya Dia redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, dan begitu juga kerana mereka berempat telah dibunuh dan direzekikan sebagai syahid. Maka, kita mencintai mereka dan membenci orang yang telah membunuh mereka. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/62).
Ali R.A berkata: Aku mendengar dengan telingaku sendiri daripada mulut Rasulullah SAW dan Baginda bersabda: “Talhah dan al-Zubair adalah jiranku di dalam syurga.” Begitu juga diriwayatkan daripada Umar R.A, beliau berkata: “Sesungguhnya al-Zubair adalah rukun daripada rukun-rukun agama.” Manakala dalam riwayat lain daripadanya datang dengan lafaz: “Sesungguhnya al-Zubair adalah tiang daripada tiang-tiang Islam.” ‘Amr bin Ali menyebutkan, al-Zubair terbunuh di Wadi al-Siba‘ iaitu di Basrah pada tahun 36H, ketika berusia 57 tahun. (Lihat Siyar al-Salaf al-Salihin, 1/231).
Kewafatan al-Zubair R.A: Ketika perang Jamal, Talhah dan al-Zubair pada awalnya berada dalam pasukan Mu‘awiyah. Namun kemudian, keduanya berundur daripada peperangan tersebut. Ketika itulah keduanya terbunuh. Al-Zubair diekori oleh seorang lelaki yang bernama ‘Amr bin Jurmuz, lalu dia membunuhnya dengan cara yang licik. (Lihat Ashab al-Rasul SAW oleh Syeikh Mahmud al-Misri, 1/395-397).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, Zubair bin al-‘Awwam merupakan hawari Nabi SAW. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Jabir R.A, katanya: Nabi SAW bersabda:
مَنْ يَأْتِينِي بِخَبَرِ القَوْمِ يَوْمَ الأَحْزَابِ؟ قَالَ الزُّبَيْرُ: أَنَا، ثُمَّ قَالَ: مَنْ يَأْتِينِي بِخَبَرِ القَوْمِ؟ قَالَ الزُّبَيْرُ: أَنَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ لِكُلِّ نَبِيٍّ حَوَارِيًّا وَحَوَارِيَّ الزُّبَيْرُ
Maksudnya: “Siapakah (yang sanggup) mendatangkan khabar tentang kaum (musuh) pada hari perang Ahzab?” Zubir berkata: “Aku.” Kemudian Baginda bersabda: “Siapakah yang mendatangkan kepadaku khabar kaum (musuh)?” Zubir berkata: “Aku.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap Nabi mempunyai hawari (pembantu khas), sedangkan hawariku adalah Zubair.”
Riwayat al-Bukhari (2846)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
Surah al-Hasyr (10)