Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah banyak kemenangan tentera Islam dan kita juga diberi rezeki dengan sebab orang-orang lemah dalam kalangan kita yang berdoa? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya:Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’

(Surah al-Ghafir: 60)

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT menuntut para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tiada khilaf dalam kalangan orang Islam. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 183/24).

Di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ

Maksudnya:Doa itu merupakan ibadah.”

Riwayat al-Tirmizi (3247); beliau menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

Selain itu, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan bimbingan sang Penciptanya dalam setiap keadaan. Tambahan lagi, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, banyak kemenangan tentera Islam dan kita juga diberi rezeki dengan sebab orang-orang lemah dalam kalangan kita yang berdoa. Hal ini jelas berdasarkan kepada hadith, riwayat daripada Mus‘ab bin Sa‘d, dia berkata:

رَأَى سَعْدٌ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ لَهُ فَضْلًا عَلَى مَنْ دُونَهُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَلْ تُنْصَرُونَ وَتُرْزَقُونَ إِلَّا بِضُعَفَائِكُمْ

Maksudnya: “Sa‘d R.A menganggap dirinya memiliki kelebihan ke atas orang-orang yang lebih rendah daripadanya. Maka Nabi SAW bersabda: ‘Tidakkah kamu ditolong dan diberi rezeki, melainkan dengan sebab golongan yang lemah di antara kamu.’

Riwayat al-Bukhari (2896)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)

Leave a Reply