#4775: Celaan Gemuk dan Yang Tidak Tercela

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat nas yang menunjukkan celaan bagi orang yang gemuk disebabkan budaya makan banyak dan ada gemuk yang tidak tercela? Boleh terangkan kepada kami?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan hadith, daripada Miqdam bin Ma’di Karib RA, beliau berkata: “Aku
mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ، بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أَكَلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ، فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ، وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ، وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

Maksudnya: “Tidaklah seorang anak Adam memenuhi satu tempat yang lebih teruk dari (memenuhi) perutnya. Cukuplah bagi anak Adam makanan yang boleh menegakkan tulang belakangnya, jika boleh (lebih dari itu) maka sepertiga untuk makanannya,
sepertiga untuk minumnya dan sepertiga untuk nafasnya.”

Riwayat Ahmad (4/132), al-Tirmizi (2380), al-Nasaie (6769) (6770) dan Ibn Majah (3349). Al-Tirmizi berkata hadis ini hasan

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan ya, terdapat hadith yang mencela mereka yang melampau sehingga gemuk. Antaranya:

Daripada Imran bin Husain RA, Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، إِنَّ بَعْدَكُمْ قَوْمًا يَخُونُونَ وَلاَ يُؤْتَمَنُونَ، وَيَشْهَدُونَ وَلاَ يُسْتَشْهَدُونَ، وَيَنْذِرُونَ وَلاَ يَفُونَ، وَيَظْهَرُ فِيهِمُ السِّمَنُ

Maksudnya: “Generasi terbaik adalah generasi pada zamanku, kemudian zaman setelahnya, kemudian generasi setelahnya. Sesungguhnya pada masa yang akan datang ada kaum yang khianat dan tidak boleh dipercaya, mereka bersaksi sebelum diminta kesaksiaannya, bernazar tapi tidak melaksanakannya, dan zahir
pada tubuh mereka kegemukan.”

Riwayat al-Bukhari (2651) dan Muslim (6638)

Dalam riwayat lain, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW  bersabda:

خَيْرُ أُمَّتِى الْقَرْنُ الَّذِينَ بُعِثْتُ فِيهِمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَخْلُفُ قَوْمٌ يُحِبُّونَ السَّمَانَةَ، يَشْهَدُونَ قَبْلَ أَنْ يُسْتَشْهَدُوا

Maksudnya: “Sebaik-baik umatku adalah masyarakat yang aku di utus di tengah mereka (para sahabat), kemudian generasi setelahnya. Kemudian datang kaum yang suka menggemukkan badan, mereka bersaksi sebelum diminta kesaksian mereka.”

Riwayat Muslim (6636) dan Ahmad (7322)

Imam al-Qurthubi menyebut ketika menafsirkan hadis di atas:

وَهَذَا ذَمٌّ. وَسَبَبُ ذَلِكَ أَنَّ السِّمَنَ الْمُكْتَسَبَ إِنَّمَا هُوَ مِنْ كَثْرَةِ الْأَكْلِ وَالشَّرَهِ، وَالدَّعَةِ وَالرَّاحَةِ وَالْأَمْنِ وَالِاسْتِرْسَالِ مَعَ النَّفْسِ عَلَى شَهَوَاتِهَا، فَهُوَ عَبْدُ نَفْسِهِ لَا عَبْدُ رَبِّهِ، وَمَنْ كَانَ هَذَا حَالَهُ وَقَعَ لَا مَحَالَةَ فِي الْحَرَامِ

Maksudnya: “Hadis ini adalah celaan bagi orang yang gemuk. Kerana gemuk yang bukan bawaan dan disebabkan banyak makan, minum, lepak, berfoya-foya, terlebih rehat, dan terlalu mengikut hawa nafsu. Ia adalah hamba bagi dirinya sendiri dan bukan hamba bagi Tuhannya, orang yang hidupnya seperti ini pasti akan terjerumus kepada yang haram…” (Lihat Tafsir al Qurtubi, 11/67).

Allah mencela orang kafir yang kehidupannya hanya untuk makan, seumpama binatang. Allah SWT berfirman:

 وَالَّذِينَ كَفَرُوا يَتَمَتَّعُونَ وَيَأْكُلُونَ كَمَا تَأْكُلُ الْأَنْعَامُ وَالنَّارُ مَثْوًى لَّهُمْ ‎

Maksudnya: Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.

(Surah Muhammad: 12)

Imam al-Qurthubi juga menegaskan, budaya banyak makan, hobi memasak, adalah kebiasaan orang kafir. Beliau menyebut:

وَقَدْ ذَمَّ اللَّهُ تَعَالَى الْكُفَّارَ بِكَثْرَةِ الْأَكْلِ فَقَالَ: وَالَّذِينَ كَفَرُوا يَتَمَتَّعُونَ وَيَأْكُلُونَ كَما تَأْكُلُ الْأَنْعامُ وَالنَّارُ مَثْوىً لَهُمْ” فَإِذَا كَانَ الْمُؤْمِنُ يَتَشَبَّهُ بِهِمْ، وَيَتَنَعَّمُ بِتَنَعُّمِهِمْ فِي كُلِّ أَحْوَالِهِ وَأَزْمَانِهِ، فَأَيْنَ حَقِيقَةُ الْإِيمَانِ، وَالْقِيَامُ بِوَظَائِفِ الْإِسْلَامِ؟! وَمَنْ كَثُرَ أَكْلُهُ وَشُرْبُهُ كَثُرَ نَهَمُهُ وَحِرْصُهُ، وَزَادَ بِاللَّيْلِ كَسَلُهُ وَنَوْمُهُ، فَكَانَ نَهَارَهُ هَائِمًا، وَلَيْلَهُ نَائِمًا

Maksudnya: “Allah mencela orang kafir yang banyak makan. Allah berfirman: “Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.”

“Oleh kerana itu, apabila ada orang mukmin yang meniru budaya dan trend mereka, dan menikmati segala kenikmatan dunia setiap saat, lantaran itu dimana hakikat imannya dan pembudayaan perlaksanan Islam pada dirinya?!  Barangsiapa yang banyak makan dan minum, maka dia akan semakin rakus dan tamak, bertambah malas dan banyak tidur di malam hari. Siang harinya digunakan untuk makan dan minum, sedangkan malamnya hanya untuk  tidur.” (Lihat Tafsir al-Qurthubi, 11/67).

Dari Ja’dah bin Khalid, bahawa Nabi SAW pernah melihat seorang lelaki gemuk. Kemudian Nabi SAW menunjuk pada perutnya, dan bersabda:

لَوْ كَانَ هَذَا فِي غَيْرِ هَذَا لَكَانَ خَيْرًا لَكَ

Maksudnya: “Kalau sekiranya gemuk ini bukan di sini, nescaya itu lebih baik bagimu.”

Riwayat Ahmad (3/174). Syuaib al-Arnaut mendhaifkan sanadnya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW menceritakan salah satu bentuk manusia yang diseksa di hadapan
seluruh makhluk:

إِنَّهُ لَيَأْتِي الرَّجُلُ العَظِيمُ السَّمِينُ يَوْمَ القِيَامَةِ، لاَ يَزِنُ عِنْدَ اللَّهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ، وَقَالَ: اقْرَءُوا {فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا}

Maksudnya: “Sesungguhnya akan didatangkan seseorang yang sangat besar dan gemuk pada hari kiamat, akan tetapi timbangannya di sisi Allah tidak seberat (walau seberat) sayap nyamuk. Bacalah firman Allah: ‘Maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak’.”

Riwayat al-Bukhari (4729) & Muslim (7222)

Imam Nawawi menyebut ketika mensyarakan hadis di atas:

“لَا يَزِنُ عِنْدَ اللهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ” أَىْ لَا يَعْدِلُهُ فِى الْقَدْرِ وَالْمَنْزِلَةِ أَىْ لَا قَدْرَ لَهُ وَفِيْهِ ذَمُّ السَّمْنِ

Maksudnya: “Timbangannya di sisi Allah tidak seberat sayap nyamuk” ertinya beratnya dan nilainya tidak menyamai sayap nyamuk, ertinya tidak ada nilainya. Di sini terdapat celaan bagi orang yang gemuk.” (Lihat Syarah Sahih Muslim, 17/129).

 

Daripada Hasan bin Idris al-Halwani menyatakan bahawa beliau mendengar kenyataan Imam as-Syafie terhadap orang yang gemuk:

مَا أَفْلَحَ سَمِينٌ قَطُّ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مُحَمَّدَ بْنَ الْحَسَنِ

Maksudnya: “Sama sekali tidak akan beruntung orang yang gemuk, kecuali Muhammad bin Hasan As-Syaibani (Gurunya as-Syafie).”

Beliau ditanya: “Mengapa demikian?”

Beliau menjawab:

لِأَنَّ الْعَاقِلَ لَا يَخْلُو مِنْ إِحْدَى خَلَّتَيْنِ، إِمَّا أَنْ يَغْتَمَّ لِآخِرَتِهِ وَمَعَادِهِ، أَوْ لِدُنْيَاهُ وَمَعَاشِهِ، وَالشَّحْمُ مَعَ الْغَمِّ لَا يَنْعَقِدُ، فَإِذَا خَلَا مِنَ الْمَعْنَيَيْنِ صَارَ فِي حَدِّ الْبَهَائِمِ فَيُعْقَدُ الشَّحْمُ

Maksudnya: “Kerana seorang yang berakal tidak terlepas daripada dua perkara, iaitu; sibuk memikirkan urusan akhiratnya atau urusan dunianya, sedangkan kegemukan tidak terjadi jika banyaknya berfikir. Jika seseorang tidak memikirkan akhiratnya atau dunianya beerti dia sama sahaja dengan haiwan, jadilah gemuk.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 9/146).

Gemuk yang Tidak Tercela

Gemuk yang disebutkan di dalam hadis atau perkataan ulama bukanlah bermaksud gemuk yang asal daripada ciptaan Allah SWT akan tetapi gemuk disebabkan kelalaian, keterlampauan dalam makanan dan minuman dan budaya yang membawa kepada gemuk dan lanjutan kepada kemalasan dan sifat yang negatif.

Mulla Ali al-Qari menyebut:

وَأَمَّا مَا وَرَدَ أَنَّ اللَّهَ يُبْغِضُ السَّمِينَ: فَمَحْمَلُهُ إِذَا نَشَأَ عَنْ غَفْلَةٍ وَكَثْرَةِ نِعْمَةٍ حِسِّيَّةٍ كَمَا يَدُلُّ عَلَيْهِ رِوَايَةُ يُبْغِضُ اللَّحَّامِينَ

Maksudnya: “Riwayat yang menunjukkan bahawa Allah membenci orang gemuk, difahami jika gemuk ini terjadi disebabkan kelalaian, terlalu banyak menikmati kenikmatan lahiriah, sebagaimana yang ditunjukkan dalam riwayat tentang kebencian bagi orang gemuk.” (Lihat Jam’u al-Wasail fi Syarh al-Syamail, 1/34).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *