Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana sepatutnya kita lakukan terhadap anak yang baru lahir, yang dicukur semasa hari akikah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebagaimana mengikut riwayat yang masyhur, Nabi SAW pernah menyuruh agar rambut Hasan ditimbang dengan nilaian perak, dan harga tersebut disedekahkan kepada fakir miskin.

Daripada Saidina Ali R.A, katanya, Rasulullah SAW mengaqiqahkan seekor kambing bagi al-Hasan dan bersabda:

يَا فَاطِمَةُ احْلِقِى رَأْسَهُ وَتَصَدَّقِى بِزِنَةِ شَعْرِهِ فِضَّةً، قال: فَكَانَ وَزْنُهُ دِرْهَمًا أَوْ بَعْضَ دِرْهَمٍ

Maksudnya: “Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah perak mengikut berat rambut tersebut.” Ali berkata: “Fatimah pun menimbang rambut itu dan mendapati beratnya satu dirham atau setengah dirham.”

Riwayat al-Tirmizi (1519), Al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19776), dan Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (5/529)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Ini menjadi dalil bahawa sunat bersedekah dengan nilai timbangan rambut bayi yang baru lahir dengan nilaian perak. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/115)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, sebaik-baiknya hendaklah ditanam. Kami nyatakan dalam Garis Masa Hayat al-Rasul SAW berkenaan dengan puteranya Ibrahim bin Muhammad SAW.

Ibrahim bin Muhammad lahir pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah. Al-Zubair menyebutkan daripada syeikh-syeikhnya bahawa Ummu Ibrahim Mariah melahirkannya di suatu kawasan al-‘Aliyah yang dikenali pada hari ini sebagai Masyrabah Umm Ibrahim. Orang yang menyambut kelahiran Ibrahim ialah Salma maulah Nabi SAW, yang merupakan isteri kepada Abu Rafi‘. Kemudian Abu Rafi‘ menyampaikan berita gembira tersebut kepada Nabi SAW, lalu Baginda menghadiahkannya seorang hamba.

Selain daripada itu, Baginda SAW juga telah melakukan akikah untuknya dengan seekor kibasy pada hari ketujuh kelahirannya, mencukur rambutnya, dan bersedekah kepada orang miskin mengikut kadar timbangan rambut tersebut dengan perak. Begitu juga Baginda memerintahkan agar rambut yang dicukur itu ditanam di dalam tanah. Baginda menamakannya sebagai Ibrahim. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 329-331)

Kami akhiri dengan doa:

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ فِي الـمَوْهُوبِ لَكَ، وَشَكَرْتَ الوَاهِبَ، وبَلَغَ أشُدَّهُ، وَرُزِقْتَ بِرَّهُ

Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu dengan anugerah yang dikurniakan kepadamu, agar engkau mensyukuri Yang Maha Pemberi, semoga anak ini membesar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya, dan agar engkau direzekikan dengan anak itu berbuat baik kepada ibu bapanya.”

Leave a Reply