Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah maksud makna arzalil umur dan kenapa Islam mengarahkan kepada kita untuk berdoa supaya jangan dimatikan dalam keadaan tua dan nyanyuk?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ ثُمَّ يَتَوَفَّاكُمْ ۚ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰ أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْ لَا يَعْلَمَ بَعْدَ عِلْمٍ شَيْئًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ قَدِيرٌ
Maksudnya: Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Ia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
(Surah al-Nahl: 70)
Al-Syaukani berkata: ‘ يُرَدُّ إِلَىٰ أَرْذَلِ الْعُمُرِ ’, yakni ketika manusia menjadi nyanyuk, seperti anak kecil yang belum berakal. (Lihat Fath al-Qadir, 3/223)
Dalam bahasa yang mudah, sudah tentu yang melihat orang seperti ini akan membandingkan semasa dia sihat dan berakal waras dengan sikap sifat dan kemuliaannya telah bertukar menjadi seperti kanak-kanak yang tidak ingatkan sesuatu. Maka hilanglah penghormatan serta kehebatannya.
Benarlah sebuah hadith daripada Sa’d bin Abi Waqqas R.A:
أَنَّهُ كَانَ يَأْمُرُ بِهَؤُلاَءِ الخَمْسِ: وَيُحَدِّثُهُنَّ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ العُمُرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ»
Maksudnya: “Beliau memerintahkan lima perkara dan menyatakan bahawa itu daripada Nabi SAW:
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ العُمُرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ’
(Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada sifat kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut, aku berlindung kepada-Mu daripada dilanjutkan kepada usia nyanyuk, aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah dunia dan aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur).”
Riwayat al-Bukhari (6370)
Semoga Allah SWT selamatkan kita daripada mati dalam keadaan nyanyuk dan tua yang amat sebagaimana yang diajar kepada kita untuk berdoa oleh Rasulullah SAW:
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَرَمِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ البُخْلِ
Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada sifat malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut, aku berlindung kepada-Mu daripada dilanjutkan umur hingga nyanyuk dan aku berlindung kepada-Mu daripada sifat kedekut).”
Riwayat al-Bukhari (6371)