Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami jihad harta bagi wanita? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi jihad

Pertama sekali mari kita lihat jihad dari sudut bahasa, ia mempunyai banyak maksud. Merujuk kepada kamus Lisan al-‘Arab, jihad berasal dari kalimah jim-ha-dal (ج.ه.د) yang bermaksud  menghadapi kesusahan dan mengerah tenaga. (Lisan al-‘Arab, 3/133)

Dari segi istilah, jihad ditakrifkan dengan pelbagai definisi oleh para ulama. Al-Kasani mengatakan jihad pada uruf syarak digunakan pada mengerah sepenuh kemampuan untuk berjuang pada jalan Allah s.w.t dengan nyawa, harta, lisan dan lain-lain. (Lihat Bada’i’ al-Sana’i’, 7/97)

Sebahagian fuqaha seperti Ibn ‘Arafah (Lihat al-Fawakih al-Dawani, 2/879), Ibn Hajar (Lihat Fath al-Bari, 1/6) dan al-Buhuti (Lihat Syarh Muntaha al-Iradat: 1/716) mentakrifkan jihad dengan perang secara khusus. Ini bermakna, terdapat dua takrifan mengenai jihad iaitu jihad am dan jihad khas. Secara am ia meliputi pelbagai jenis jihad sama ada dengan harta, lisan dan nyawa manakala secara khas ia bermaksud memerangi musuh.

Jihad dalam ayat Makkiyyah

Berdasarkan definisi di atas, jihad pada asasnya memiliki maksud yang luas melangkaui makna perang semata-mata. Antara hujah yang menunjukkan jihad bukan hanya bermaksud qital (peperangan), perkataan jihad juga digunakan dalam ayat-ayat Makkiyyah sedangkan qital belum lagi disyariatkan kecuali di Madinah.

Antaranya firman Allah SWT:

فَلَا تُطِعِ ٱلۡكَٰفِرِينَ وَجَٰهِدۡهُم بِهِۦ جِهَادا كَبِيرا

Maksudnya: Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan Al Quran dengan jihad yang besar”

(Surah al-Furqan:  52)

Kalimah “وَجَٰهِدۡهُم بِهِۦ” merujuk kepada jihad atau berjuang dengan al-Quran yakni berjuang dengan berdakwah kepada mereka tanpa menggunakan kekerasan. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 10/208)

Allah SWT  juga berfirman:

وَمَن جَٰهَدَ فَإِنَّمَا يُجَٰهِدُ لِنَفۡسِهِۦٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ ٱلۡعَٰلَمِينَ

Maksudnya: Dan sesiapa yang berjihad (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjihad untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.

(Surah al-Ankabut:6)

Menurut Ibn Kathir, al-‘Ankabut merupakan surah Makkiyyah dan ayat “Dan sesiapa yang berjihad” bermaksud “sesiapa yang beramal soleh.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir,  6/263-264)

Allah telah menerangkan maksud jihad yang lebih umum. Firman-Nya:

وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”

(Surah al-Ankabut:69)

Menurut al-Suddiy dan lain-lain, ayat ini diturunkan di Makkah sebelum perang disyariatkan. Ibn ‘Atiyyah mengatakan ia adalah jihad umum demi agama Allah dan memohon keredaan-Nya. Kata Abu Sulaiman al-Darani, ayat tersebut menunjukkan jihad bukan hanya peperangan bahkan ia adalah memperjuangkan agama, membantah golongan batil, mengekang golongan zalim dan setinggi-tingginya adalah amar makruf nahi mungkar. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 13/364-365)

Dalam menjawab bagi  persoalan di atas kami katakan al-Quran menggalakkan umat Islam untuk menyumbang dalam jalan Allah di pelbagai aspek kehidupan, dan menjadikan pengeluaran harta sebagai salah satu dari nilai-nilai Islam. Al-Quran dan hadis penuh dengan perintah dan arahan yang menunjukkan keutamaan menyumbang dalam segala bentuk kebajikan serta pahala bagi orang-orang yang bersedekah pada hari kiamat. Mengenai jihad dengan harta, terdapat banyak ayat dan hadis yang menyebutnya; ianya penting dalam persiapan tentera, menguruskan pasukan, memastikan bekalan makanan, serta menyediakan senjata. Manusia tidak dapat mengabaikan kepentingannya dalam urusan harian, apatah lagi dalam keadaan kecemasan, perang, dan pertempuran.

Jihad wanita dengan harta adalah salah satu bentuk jihad dalam Islam . Jihad dengan harta sering kali dikaitkan dengan jihad melalui diri dalam banyak tempat dalam Al-Quran dan Sunnah. Terdapat beberapa contoh di mana wanita Muslim boleh berjihad dengan harta mereka, yang menunjukkan peranan wanita dalam jihad melalui harta, yang tidak kurang pentingnya daripada pertempuran fizikal, antaranya ialah firman Allah SWT:

وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya:  Dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam)

(Surah al-Taubah:41)

Al-Razi ketika menafsirkan ayat ni beliau menyatakan: Jihad adalah wajib dengan diri sendiri jika seseorang kuat untuk melakukannya, dan wajib  dengan harta jika seseorang tidak mampu untuk berjihad dengan dirinya sendiri. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 16/70)

Begitu al-Zamakhsyari menyataka: Disyaratkan untuk berjihad dengan keduanya jika memungkinkan, atau salah satunya sekiranya  sesuai dengan keadaan dan keperluan. (Lihat al-Kasyaf, 2/273 )

Dalam isu ini Syeikh Ibn Baz menyatakan bahawa: Dalam hal ini, para ulama berbeza pendapat tentang sama ada wanita wajib berjihad dengan harta ataupun tidak. Terdapat dua pendapat dan yang lebih sahih adalah bahawa wanita wajib berjihad dengan harta, kerana dia termasuk dalam umum nas sekiranya dia memiliki harta dan keupayaan. Oleh itu, dia berjihad dengan harta sambil melakukan apa yang  dimudahkan oleh Allah dalam haji dan umrah. (Lihat Fatawa Nur ‘ala Darb, 18/268)

Justeru kami katakan pada asalnya wanita tidak diwajibkan untuk berjihad sebagaimana diwajibkan ke atas lelaki namun wanita yang mempunyai kemampuan harta digalakkan oleh syara’ untuk berjihad dengan harta iaitu dengan menyumbangkan hartanya di jalan Allah SWT seperti  menyalurkan bantuan ke palestin yang kini sedang berjihad melawan musuh islam  dan itulah jihad yang terpuji bagi wanita mahupun  yang lain. Yang demikian bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW lagi:

 الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

Maksudnya: “Orang mukmin bagi orang mukmin yang lain adalah ibarat binaan-binaan yang saling memperkuatkan antara satu sama lain.”

Riwayat al-Bukhari (6026) dan Muslim (2585)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Leave a Reply