Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat dalil yang menunjukkan, boleh qunut nazilah untuk membela saudara kita yang dibunuh?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Qunut pada asasnya adalah doa.Bacaan qunut terbahagi kepada dua. Qunut ratibah. Iaitu qunut yang disunatkan untuk membacanya pada dua tempat :
- Pada Iktidal di dalam rakaat yang kedua solat Subuh
- Pada Iktidal yang terakhir dalam solat sunat Witir bermula pertengahan bulan Ramadhan. (Lihat al-Taqrirat Al-Sadidah Fi Al-Masail Al-Mufidah Qism Al-‘Ibadat, hlm 244)
Qunut Nazilah pula adalah doa yang disunatkan untuk dibaca di dalam solat ketika berlaku sesuatu musibah atau bencana khususnya ketika ianya melibatkan orang muslim. Ini berdasarkan kepada satu peristiwa yang pernah berlaku pada sahabat 70 orang sahabat Nabi SAW yang dibunuh di telaga Ma’unah. ketika mereka diutuskan oleh Baginda untuk menyampaikan dakwah. Lalu Nabi membaca qunut dalam solat Subuh selama 30 hari iaitu sebulan. Peristiwa ini direkodkan oleh Anas Bin Malik R.A. Beliau berkata :
أَنَّ رِعْلاً، وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ اسْتَمَدُّوا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَدُوٍّ، فَأَمَدَّهُمْ بِسَبْعِينَ مِنَ الأَنْصَارِ، كُنَّا نُسَمِّيهِمُ الْقُرَّاءَ فِي زَمَانِهِمْ، كَانُوا يَحْتَطِبُونَ بِالنَّهَارِ وَيُصَلُّونَ بِاللَّيْلِ، حَتَّى كَانُوا بِبِئْرِ مَعُونَةَ قَتَلُوهُمْ، وَغَدَرُوا بِهِمْ، فَبَلَغَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، فَقَنَتَ شَهْرًا يَدْعُو فِي الصُّبْحِ عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ.
Maksudnya: “Kabilah Ri’lin, Zakwan, ‘Usayyah dan Bani Lahyan meminta bantuan Rasulullah SAW untuk menentang musuh. Lalu Baginda memberikan bantuan dengan mengutuskan 70 orang sahabat dari kalangan Ansar. Kami menamakan mereka sebagai Qurra’ (para qari) di zaman mereka. Mereka mengutip kayu api pada waktu siang hari dan sentiasa menunaikan solat pada waktu malam. Sehinggalah mereka tiba di telaga Ma’unah, kabilah-kabilah tersebut membunuh dan melakukan pengkhianatan terhadap mereka. Berita tersebut sampai kepada Nabi SAW. Lantas Nabi SAW melakukan qunut (doa) selama sebulan di mana Baginda berdoa kehancuran ke atas sebahagian kabilah arab di dalam solat subuh. Mereka itu ialah Ri’lin, Zakwan, ‘Usayyah dan Bani Lahyan.”
Riwayat al-Bukhari (4090)
Berdasarkan hadith inilah para ulama menyatakan bahawa qunut nazilah itu disunatkan untuk dibaca di dalam solat khususnya ketika berlaku sesuatu peristiwa yang menimpa umat islam.
Qunut nazilah disunatkan untuk dibaca secara jelas (Jahar)dan disunatkan untuk mengangkat tangan yang mana ianya dibaca pada rakaat terakhir setelah bangun daripada rukuk. Qunut nazilah hanya dibaca pada di dalam solat fardhu.
Sebagai penguat kepada jawapan yang harus membaca qunut nazilah dan kisah hampir sama juga diriwayatkan daripada Anas R.A, katanya:
بَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَرِيَّةً يُقَالُ لَهُمْ القُرَّاءُ فَأُصِيبُوا، فَمَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَدَ عَلَى شَيْءٍ مَا وَجَدَ عَلَيْهِمْ، فَقَنَتَ شَهْرًا فِي صَلاَةِ الفَجْرِ، وَيَقُولُ: إِنَّ عُصَيَّةَ عَصَوُا اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Maksudnya: “Nabi SAW pernah mengirim sebuah pasukan yang disebut sebagai al-Qurra’, lalu mereka terbunuh (syahid) dan tidak pernah aku melihat Nabi SAW terkesan sebegitu rupa akan sesuatu sebagaimana baginda terkesan kerana mereka. Maka baginda pun membaca qunut selama sebulan dalam solat Subuh dengan mengucapkan: “إِنَّ عُصَيَّةَ عَصَوُا اللَّهَ وَرَسُولَهُ” (Sesungguhnya (suku) ‘Usoyyah telah menderhaka Allah dan Rasul-Nya).
Riwayat al-Bukhari (6394)