Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum berdebat dan adakah ia bergantung kepada matlamatnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik.”

(Surah al-Nahl: 125)

Ayat ini menerangkan bahawa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat itu perlulah dilakukan secara berhikmah. Walaupun berlaku perdebatan dalam mencari kebenaran maka berhujahlah dengan isi-isi yang baik serta disulami dengan adab sopan kerana akhlak yang baik itu menjadi cerminan kepada wajah Islam yang sebenar.

Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Serulah ke jalan Allah dengan penuh  hikmah dan kebijaksanaan iaitu dengan al-quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-Quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Pandangan lain juga menyatakan: Perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/52)

Menjawab persoalan di atas, hukum perdebatan itu bergantung kepada matlamatnya, iaitu:

  • Perdebatan bertujuan untuk menegakkan kebenaran, bertujuan menjelaskan sebarang kesamaran yang membawa kepada hakikat kebenaran. Perdebatan sebegini adalah diharuskan oleh syarak. Ia dilakukan oleh para rasul apabila berhadapan dengan kedegilan mereka yang enggan menerima kebenaran.
  • perdebatan yang bertujuan menegakkan kebatilan sebagaimana yang dimaksudkan dalam perbincangan ayat-ayat di atas. Perdebatan seumpama ini yang diberikan amaran keras oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Abu Juhaim bahawa Baginda SAW bersabda:

لَا تُمَارُوا فِي الْقُرْآنِ ، فَإِنَّ الْمِرَاءَ فِيهِ كُفْرٌ

Maksudnya:Jangan kamu memperdebatkan mengenai al-Quran, sesungguhnya perbuatan memperdebatkannya membawa kepada kufur.

Riwayat Ahmad (17542). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan bahawa Sahih berdasarkan syarat al-Syaikhain

Disebut dalam Musnad Ahmad (29/85) bahawa Abu al-‘Aliyah berkata: Dua ayat yang paling besar ancamannya terhadap mereka yang memperdebatkan al-Quran iaitu sebagaimana firman Allah SWT:

مَا يُجَـٰدِلُ فِىٓ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟

Maksudnya: “Tidak ada yang membantah mengenai ayat-ayat Allah melainkan orang-orang yang kafir. ”

(Surah Ghafir: 4)

Dan juga firman-Nya:

وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱخْتَلَفُوا۟ فِى ٱلْكِتَـٰبِ لَفِى شِقَاقٍۭ بَعِيدٍۢ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya orang-orang yang berselisihan mengenai (kebenaran) kitab, itu sebenarnya mereka adalah dalam keadaan berpecah-belah yang jauh (dari mendapat petunjuk hidayah Allah).”

(Surah al-Baqarah: 176)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Leave a Reply