Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah cara untuk mengambil ibrah daripada kebinaasaan kaum terdahulu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَوَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ

Maksudnya: “Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka?”

(Surah al-Rum: 9)

Ibn Jarir al-Tabari berkata: “Tidakkah orang-orang yang mendustakan Allah, yang lalai terhadap akhirat daripada kalangan Quraisy di negeri-negeri yang mereka lalui dengan merasa aman, melihat tanda-tanda kebesaran Allah pada umat-umat yang mendustakan sebelum mereka? Lihatlah bagaimana akhirnya bagi umat-umat yang mendustakan rasul-rasul-Nya sebelum ini. Sesungguhnya, mereka adalah lebih kuat daripada mereka dalam kekuatan.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 18/465)

Mengambil Ibrah Daripada Kesan Kebinasaan Kaum Terdahulu

Allah SWT menggesa terhadap orang Quraisy supaya bermusafir melihat kesan-kesan peradaban dan tamadun yang telah dibinasakan. Persoalan yang timbul dari pemahaman ayat di atas dan ayat-ayat lain yang seumpamanya ialah, apakah hukum umat Islam menziarahi kesan-kesan peninggalan umat-umat terdahulu yang dibinasakan oleh Allah SWT? Daripada Ali bin Abu Talib R.A beliau menceritakan:

ثُمَّ أَفَاضَ حَتَّى انْتَهَى إِلَى وَادِي مُحَسِّرٍ، فَقَرَعَ نَاقَتَهُ، فَخَبَّتْ حَتَّى جَاوَزَ الوَادِيَ فَوَقَفَ

Maksudnya: Kemudian Rasulullah SAW bertolak dari Arafah menuju Muzdalifah, sehingga apabila sampai di Lembah Muhassir, Baginda SAW memukul unta Baginda agar ia bergerak pantas dan ia pun melajukan langkahnya. Sebaik melepasi lembah tersebut Baginda SAW berhenti.

Riwayat al-Tirmizi (885). Beliau menyatakan hadith ini hasan sahih.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah menghuraikan bahawa perbuatan Baginda SAW itu disebabkan lembah Muhassir ialah tempat di mana Abrahah dan tentera bergajah dibinasakan oleh Allah SWT. Ketika melalui tempat tersebut, Baginda menggerakkan untanya supaya berjalan dengan lebih cepat. Demikianlah perlakuan Baginda apabila melalui tempat-tempat yang pernah dibinasakan oleh Allah SWT. (Lihat Zad al-Ma‘ad, hlm. 265)

Maka, berdasarkan perbuatan Nabi Muhammad SAW, Syeikh Muhammad bin ‘Uthaimin tidak mengharuskan lawatan ke tempat-tempat yang pernah dibinasakan oleh Allah SWT, melainkan untuk mengambil pengajaran. Oleh yang demikian, mereka yang mengunjungi tempat-tempat demikian hendaklah disertai dengan tangisan kerana gerun dan takut dengan kemurkaan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/19)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply