Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan lokasi kebinasaan umat terdahulu di sekitar semenanjung tanah haram?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
أَفَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ كَانُوٓا۟ أَكْثَرَ مِنْهُمْ وَأَشَدَّ قُوَّةًۭ وَءَاثَارًۭا فِى ٱلْأَرْضِ فَمَآ أَغْنَىٰ عَنْهُم مَّا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ
Maksudnya: “Maka tidakkah mereka menjelajah di atas muka bumi dan memerhatikan akibat yang menimpa umat-umat yang terdahulu daripada mereka? Mereka itu lebih ramai bilangannya, lebih hebat kekuatannya dan lebih banyak kesan peradabannya di muka bumi. Namun segala yang mereka usahakan itu tidak dapat menolong mereka sedikit pun.”
(Surah Ghafir: 82)
Dalam ayat ini, dijelaskan bahawa generasi silam tersebut lebih ramai berbanding para penentang Islam di zaman Nabi Muhammad SAW. Mereka terkenal sebagai kaum yang gagah dan maju dalam sektor pembangunan. Segala kelebihan tidak dapat menyelamatkan mereka daripada kemurkaan Allah SWT. Generasi yang hebat itu telah dilenyapkan dengan azab yang dahsyat di dunia. Ini disebabkan mereka banyak melakukan dosa terhadap kemaraan agama Allah. Keingkaran dilakukan dalam segala hal seperti ingkar terhadap hakikat penciptaan langit dan bumi, ingkar terhadap seruan tauhid dan ingkar terhadap perintah wajib menyembah Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Tabari, 6/448)
Lokasi Kebinasaan Yang Berhampiran Musyrikin Makkah
Allah SWT menggesa manusia agar mengembara di atas muka bumi untuk menyaksikan lokasi yang menjadi bukti kebinasaan umat yang terdahulu. Terdapat pelbagai lokasi yang menjadi saksi kekufuran umat terdahulu termasuk lokasi yang tidak jauh dengan petempatan musyrikin Makkah dan Semenanjung Arab. Mereka sering melintasi dua kawasan terbabit iaitu lembah Wadi Muhassir dan al-Hijr atau Madain Soleh.
Wadi Muhassir terletak antara Muzdalifah dan Mina. Jarak Wadi Muhassir ke Makkah dalam lingkungan enam kilometer. Kawasan inilah berlaku peristiwa Abrahah al-Ashram dihancurkan Allah SWT ketika ia dan pasukan kerajaannya ingin meruntuhkan Kaabah. Mereka dihancurkan dengan serangan burung yang melontarkan batu dari neraka. Keadaan mereka diibaratkan seperti daun-daun kayu yang hancur dimamah ulat.
Pada tahun 2014, sekumpulan penyelidik geologi dari Universiti Raja Saud menemukan beberapa rekod penting berkaitan laluan yang digunakan Abrahah al-Ashram dari kota Yaman menuju ke kota Makkah. Pada peringkat permulaan perjalanan, Abrahah al-Ashram memimpin pasukan tenteranya keluar daripada kota Sana’a, Yaman menuju arah utara iaitu ke Najran. Selepas itu mereka menuju pula ke timur Asir dan ke timur Baha. Setelah melalui wilayah Baha, Abrahah tanpa lengah membawa pasukannya menuju ke kota Makkah.
Ahli geologi menemui beberapa petunjuk penting di sekitar laluan ini. Mereka menemui inskripsi catatan lukisan gajah pada batu-batuan di sekitar Gunung al-Qahr, Najran, perigi lama di daerah Hafaer (timur Asir) dan jalan berbatu yang tersusun kemas berhampiran Kara di daerah Aqeeq (negeri Baha).
Al-Hijr atau Madain Soleh amat dikenali musyrikin Makkah dan bangsa Arab di sekitarnya kerana ia merupakan laluan di utara Semenanjung Arab. Lokasi ini terletak antara Madinah dan Tabuk. Sebelum zaman perutusan Nabi Muhammad SAW, lokasi ini menjadi tempat tinggal kaum Thamud di bawah perutusan Nabi Soleh A.S. Mereka berkemahiran memahat bukit pejal untuk dijadikan kediaman.
Hingga kini kesan rumah, menara dan saliran air masih dapat dilihat. Pada tahun 2008, UNESCO’s World Heritage Committee (WHC) menyenaraikan Madain Saleh dalam World Heritage List (WHL). Lokasi masih kekal untuk dilawati tetapi keturunan mereka sudah pupus. Kaum Thamud telah dihancurkan dengan petir, gempa bumi dan hempakan batu besar lantaran menentang Nabi Soleh A.S dan ingkar terhadap amanah unta betina.
Allah SWT memerintahkan manusia meneliti pengajaran yang tersirat dalam peristiwa yang menimpa generasi silam. Firman Allah SWT:
أَفَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ دَمَّرَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ ۖ وَلِلْكَـٰفِرِينَ أَمْثَـٰلُهَا
Maksudnya: “Maka tidakkah mereka mengembara di muka bumi dan menyaksikan bagaimana akibat orang kafir yang terdahulu daripada mereka? Allah telah menghancurkan mereka, dan orang kafir yang mengikut jejak mereka akan mendapat akibat yang buruk seperti itu.”
(Surah Muhammad: 10)
Ternyata musyirikin Makkah tidak mengambil pengajaran terhadap kejadian yang berlaku pada dua lokasi yang berhampiran. Generasi musyrikin Makkah zaman-berzaman melalui lokasi-lokasi ini dan telah pun mendengar kisah yang tersembunyi di sebalik lokasi. Umpamanya, Tahun Gajah adalah sebahagian nama tahun Arab Jahiliyyah namun iktibar Tahun Gajah dilupakan. Malah musyirikin Makkah dan bangsa Arab juga mengetahui kehebatan bangunan Madain Soleh. Timbul kekaguman terhadap senibina Madain Soleh, namun iktibar kenapa penghuninya dimusnahkan tidak muncul dalam akal fikiran. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/53-54)
Kesimpulan
Lokasi sejarah umat terdahulu dapat disaksikan sehingga ke hari ini. Antara lokasi ialah seperti di Laut Mati, Madain Soleh, Piramid dan Kota Babylon. Sekiranya kawasan ini ingin dilawati, lawatilah ia dengan penuh adab dan dengan tujuan untuk mengambil iktibar dan mengambil ibrah di samping menambahkan keimanan kepada Allah SWT.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”