Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah pasangan memilih jantina melalui kaedah IVF?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Maksudnya: “Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.”

(Surah al-Syura: 49)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT memberitahu bahawa Dia memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menahan rezeki daripada siapa yang Dia kehendaki. Tidak ada yang dapat menghalangi apa yang Dia berikan, dan tidak ada yang dapat memberikan apa yang Dia tahan. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memberi anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Contohnya adalah Nabi Lut, yang hanya diberikan anak perempuan”. Dia juga memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Seperti Nabi Ibrahim yang tidak diberikan anak perempuan”. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/198)

Justeru, menjawab persoalan di atas berkenaan hukum pemilihan jantina melalui kaedah In Vitro Fertilization (IVF), Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 25 Rabiul Akhir 1438 bersamaan 24 Januari 2017 telah mengambil keputusan seperti berikut:

“Hukum membuat rawatan memilih jantina bayi dalam rahim ibu melalui kaedah IVF adalah haram. Walau bagaimanapun, pemilihan jantina diharuskan sekiranya faktor jantina menatijahkan suatu penyakit genetik serius yang boleh membawa kepada kematian”.[1]

Sesungguhnya perkahwinan ialah asbab bagi mendapatkan zuriat, tetapi tidak semestinya setiap perkahwinan itu akan melahirkan zuriat kerana kuasa mutlak pemberian zuriat adalah dengan izin Allah SWT. Sebagai seorang mukmin, kita digalakkan untuk berusaha bagi mendapatkan zuriat dan seterusnya bertawakal kepada Allah SWT atas usaha yang dilakukan. Tidak kiralah jantina apa pun yang Allah SWT anugerahkan sebagai zuriat, semuanya memiliki hikmah yang besar. Kewajipan ibu bapa adalah mendidiknya dengan bimbingan wahyu Allah SWT.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.

 

Nota kaki:

[1] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15967

Leave a Reply