Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah ibu bapa mencium anaknya yang sudah dewasa sebagai tanda kasih sayang? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Terlebih dahulu kami katakan bahawa ibu bapa perlu mempelajari berkenaan hubungan bersama anak-anak atau disebut sebagai bonding. Antaranya adalah dengan meluangkan masa yang berkualiti bersama mereka, membantu mereka menyiapkan kerja rumah yang diberikan, menjawab persoalan-persoalan kecil yang terkadang timbul, dan sebagainya.
Kemudian, ibu bapa perlu menanamkan di dalam diri terlebih dulu akhlak-akhlak yang terpuji. Hal yang demikian kerana ibu bapa merupakan contoh yang paling dekat bagi anak-anak. Jika ibu bapa mampu menjadi idola terbaik buat mereka, pasti ibu bapa juga akan merasa lebih gembira kerana mereka tahu bahawa mereka adalah orang penting bagi anak-anak. Seterusnya, tunjukkan sifat kasih kita pada anak-anak apabila bersama dengan mereka. Contoh yang terbaik adalah Rasulullah SAW sendiri seperti di dalam Riwayat Abu Hurairah R.A katanya: Rasulullah SAW mencium al-Hasan bin Ali dan ketika itu al-Aqra‘ bin Hamis al-Tamimi sedang duduk, lalu al-Aqra‘ berkata: “Aku mempunyai sepuluh orang anak, akan tetapi aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka”, kemudian Nabi SAW bersabda:
مَن لا يَرْحَمُ لا يُرْحَمُ
Maksudnya: “Siapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.”
Riwayat al-Bukhari (5997)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa dibolehkan atau diharuskan bagi ibu bapa untuk mencium anak-anak mereka sekalipun mereka sudah dewasa atau berbeza jantina dan begitulah juga sebaliknya, dengan syarat selamat daripada fitnah dan syahwat. Ini kerana tidak dapat dinafikan bahawa perbuatan saling bersalaman dan ciuman itu merupakan salah satu cara bagi menzahirkan suatu bentuk kasih sayang dan mengungkapkan rasa rindu yang sudah lama terpendam di dalam hati disebabkan mungkin lama tidak berjumpa dan sebagainya.
Hal ini adalah jelas dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ketika membahaskan berkenaan hukum bersalaman antara lelaki dan perempuan dalam kalangan mahram. Ulama Hanafiyyah, Malikiyyah dan Syafi‘iyyah mengikut pendapat yang muktamad di sisi mereka bahawa ia diharuskan. Begitu juga ia merupakan pendapat yang diikuti oleh ulama Hanabilah dalam konteks bersalaman antara ibu bapa dengan anak-anak mereka mengikut salah satu riwayat mereka. Dalam riwayat mereka yang lain, dibina berdasarkan kepada pendapat mereka yang mengharuskan persentuhan antara mahram pada tempat selain aurat dengan syarat selamat daripada fitnah dan tidak dikhuatiri timbulnya nafsu syahwat.
Dalilnya, terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah mencium Fatimah R.Anha ketika mana beliau masuk menemui Baginda SAW. Begitulah juga sebaliknya, di mana Fatimah R.Anha akan mencium Baginda SAW apabila Baginda masuk menemuinya. Demikianlah juga telah sahih riwayat daripada Abu Bakar R.A bahawasanya beliau pernah mencium anak perempuannya, Aisyah R.Anha. Ini kerana persentuhan antara mahram (tidak kira sama ada dengan cara bersalaman atau ciuman) pada tempat selain aurat kebiasaannya akan mengeratkan lagi hubungan silaturahim, menambahkan kasih sayang dan kelembutan, serta tidak membawa kepada syahwat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 37/358).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)