Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan dengan indoktrinasi dan sikap taksub kepada pemimpin?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Ke-4, maksud ‘indoktrinasi’ ialah perihal atau perbuatan menanamkan sesuatu doktrin (fahaman, ajaran, dan sebagainya) ke dalam fikiran seseorang atau segolongan manusia. Ia kadangkala boleh merujuk kepada sesuatu perkara yang negatif seperti seseorang melakukan doktrinasi kepada satu golongan tanpa memberi peluang kepada mereka untuk berfikir dan menilai kebenaran fahaman yang cuba ditanam.
Firman Allah SWT:
فَٱسْتَخَفَّ قَوْمَهُۥ فَأَطَاعُوهُ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَوْمًۭا فَـٰسِقِينَ
Maksudnya: Firaun memperbodohkan kaumnya lalu mereka mentaatinya. Sesungguhnya mereka ialah kaum yang fasiq.
(Surah Zukhruf: 54)
Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan tentang sikap Firaun yang melakukan indoktrinasi kepada kaumnya dengan memperbodohkan mereka dengan pelbagai dakwaan. Antaranya Firaun mendakwa bahawa dia lebih baik daripada Nabi Musa yang hina yang tidak dapat berbicara dengan fasih. Selain itu, Firaun juga mendakwa bahawa Nabi Musa A.S sepatutnya dipakaikan dengan gelang emas jika benar Baginda adalah seorang rasul atau para malaikat menaungi dan melayaninya serta menjadi saksi kebenarannya.
Ini merupakan satu bentuk indoktrinasi negatif yang jelas dan nyata. Tindakan memaksa untuk menanam satu fahaman atau ajaran (control beliefs), tanpa membiarkan mereka untuk membuat penilaian dan keputusan adalah satu perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT. Hal ini telah menyebabkan kesesatan ramai orang. Ketaksuban kepada pemimpin telah membutakan mata sebahagian besar pengikutnya sehingga tidak nampak kelemahan dan kesalahan pemimpin tersebut.
Bahkan di dalam ajaran Islam, Allah SWT menggalakkan kita menggunakan akal untuk berfikir dan menilai apa yang baik dan apa yang buruk. Kita dituntut untuk berfikir bagi memajukan diri dan masyarakat kepada suatu keadaan yang lebih baik.
Firman Allah SWT:
فَٱعْتَبِرُوا۟ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَبْصَـٰرِ
Maksudnya: Justeru, ambillah pengajaran wahai orang-orang yang celik mata hatinya.
(Surah al-Hasyr: 2)
Begitu juga Allah SWT menyuruh kita untuk memikirkan dan mentadabbur isi al-Quran ayat demi ayat untuk mencari adakah wujud pertentangan dan perselisihan di dalamnya. Jika ia datang bukan daripada Allah SWT, sudah tentu banyak perselisihan di dalamnya. Firman Allah SWT:
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ ٱلْقُرْءَانَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِيهِ ٱخْتِلَـٰفًۭا كَثِيرًۭا
Maksudnya: “Patutkah mereka bersikap demikian, tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah al-Quran itu datangnya bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”
(Surah al-Nisa’: 82)
Selain itu, hal ini turut ditekankan dalam pengajaran ilmu-ilmu agama. Sebagai contohnya, dalam ilmu Kalam dan Akidah, terdapat perbahasan tentang apakah perkara pertama yang diwajibkan ke atas seseorang yang telah cukup umur (baligh). Telah berlaku khilaf dalam kalangan ulama’ Kalam dalam perbahasan ini, namun apa yang disebutkan oleh al-Sanusi, kewajipan pertama ialah berfikir untuk mengenal pencipta iaitu Allah SWT terlebih dahulu, sebelum melaksanakan ibadah-ibadah wajib yang lain seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Hal ini sepertimana yang dinyatakan di dalam kitab al-Kubra oleh al-Sanusi bahawa:
إنَّ أَوَّلَ مَا يَجِبُ عَلَى مَن بَلَغَ : أَن يَعْمَلَ فِكْرَهُ فِيمَا يُوَصِّلَهُ إِلَى العِلْمِ بِمَعْبُودِهِ مِن البَرَاهِينِ القَاطِعَةِ وَ الأَدِلَّةِ السَّطِعَةِ إِلَّا أَن يَكُون حَصَلَ لَهُ العِلْم بِذَلِكَ قَبْلَ البُلُوغِ فَلْيَشْتَغِلْ بَعْدَهُ بالأَهَمِّ فالأَهَمّ.
Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang pertama diwajibkan ke atas seseorang yang telah cukup umur (baligh) ialah menggunakan akal fikirannya terhadap perkara yang boleh menyampaikannya kepada ilmu tentang Tuhannya daripada dalil dan bukti yang jelas lagi nyata, kecuali seseorang itu telah mencapainya sebelum baligh lagi, maka hendaklah dia mengutamakan apa yang lebih penting selepas itu.” (Lihat Min al-Turath Abi Abd Allah al-Sanusi, hlm. 123)
Begitu juga, perbahasan berkaitan taklid dalam perkara akidah. Kebanyakan para ulama’ menyatakan bahawa iman seseorang yang bertaklid (muqallid) tidak akan menyelamatkannya di hari akhirat dan dikhuatiri akan timbul keraguan terhadap kepercayaannya apabila terdapat syubhat terhadap apa yang dipegang olehnya.
Antaranya yang lain juga dapat diserlahkan menerusi firman Allah SWT:
لَآ إِكْرَاهَ فِى ٱلدِّينِ ۖ
Maksudnya: Tiada sebarang paksaan dalam memeluk Islam.
(Surah al-Baqarah: 256)
Ayat ini juga berkait dengan satu ayat yang lain. Firman Allah SWT:
وَلَوْ شَآءَ رَبُّكَ لَـَٔامَنَ مَن فِى ٱلْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا ۚ أَفَأَنتَ تُكْرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا۟ مُؤْمِنِينَ
Maksudnya: Dan seandainya Tuhanmu kehendaki nescaya seluruh manusia di bumi ini beriman kesemuanya. Tetapi adakah kamu mahu memaksa keseluruhan manusia menjadi orang yang beriman?
(Surah Yunus: 99)
Hal ini kerana seseorang yang memeluk agama Islam hendaklah ikhlas dan benar mengimani serta meyakini apa yang disampaikan Rasulullah SAW kepadanya. Islam tidak mengamalkan cara indoktrinasi agama dengan memaksakan seseorang untuk percaya. Hal ini kerana percaya merupakan satu perbuatan hati yang tidak boleh dipaksa secara fizikal, bahkan ia memerlukan seseorang itu untuk berfikir, memahami dan menilai barulah akan lahir rasa percaya. Menurut Wahbah al-Zuhaili, penyebaran dan peluasan dakwah Islam adalah berdasarkan kepada dalil dan bukti yang memuaskan hati, serta dengan hujah dan penerangan yang jelas. Ia bukan dengan paksaan dan indoktrinasi dengan makna yang negatif. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/170-172)
Kesimpulan
Justeru, perbuatan indoktrinasi ini haruslah dihindarkan dan dijauhi terhadap orang yang mampu untuk berfikir dan menilai dengan akalnya. Bahkan harus disuburkan budaya diskusi, perbincangan, percambahan idea dan seumpamanya. Manakala, sikap taksub dan fanatik kepada pemimpin sehingga menyebabkan seseorang itu gagal untuk berfikir dan menilai dengan baik adalah perbuatan yang dicela.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”