Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah munasabah surah al-Dukhan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Surah al-Dukhan di ambil sempena dengan kalimah al-Dukhan yang terdapat dalam surah tersebut. Al-Dukhan bermaksud asap yang terbit daripada api. Perkataan al-Dukhan yang dinamakan dengannya surah ini disebut dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حم الدُّخَانَ فِي لَيْلَةِ الجُمُعَةِ غُفِرَ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca Ha Mim al-Dukhan pada malam Jumaat, nescaya diampunkan dosanya.”

Riwayat al-Tirmizi (2889). Hadith ini dinilai dhaif

Begitu juga, terdapat riwayat lain daripada sahabat Nabi SAW yang menyebut surah ini dengan nama al-Dukhan. Di samping itu, terdapat juga para ulama menamakannya dengan nama ‘Ha Mim al-Dukhan’ berdasarkan kepada hadis di atas. Namun, namanya yang masyhur sebagaimana terdapat dalam mashaf-mashaf di serata dunia adalah dengan ‘al-Dukhan’ sahaja. Begitu juga, ia dinamakan (disebutkan) di kitab-kitab tafsir dan hadis dengan nama Surah al-Dukhan.

Menurut Ibn ‘Asyur, surah ini dinamakan sebagai Surah al-Dukhan kerana terdapatnya perkataan al-Dukhan di dalamnya. Dalam erti kata lain, ia merupakan mukjizat bantuan daripada Allah kepada Nabi Muhammad SAW, di mana Baginda pernah berdoa kepada Allah SWT, lalu penduduk Makkah dilanda kemarau sehinggalah seseorang itu apabila dia berdiri, melihat sekitarnya hanya asap yang tebal. Lalu dinamakan surah ini sempena mukjizat tersebut. (Lihat al-Tahrir Wa al-Tanwir, 25/275)

Walaupun terdapat juga di dalam surah lain lafaz al-Dukhan, namun lafaz ini seolah-olahnya sudah khas bagi surah ini sempena dengan mukjizat Baginda SAW, selain daripada terdapatnya riwayat yang menunjukkan bahawa Baginda SAW memilihnya sebagai nama bagi surah ini.

Menjawab persoalan di atas, munasabah surah al-Dukhan dengan yang sebelum dan selepasnya adalah sebagaimana yang disebut oleh al-Suyuti. Beliau menyatakan bahawa surah ini termasuk dalam kategori surah-surah ‘Ha Mim’ yang saling berkait antara satu sama lain dan disusun di dalam al-Quran menurut turutan penurunannya, di mana sebelumnya ialah Surah al-Zukhruf dan selepasnya pula ialah Surah al-Jathiyah. Jika diperhatikan, Surah al-Zukhruf dan Surah al-Dukhan saling berkait rapat dalam fokus perbincangannya iaitu keduanya memartabatkan al-Quran sebagai sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT. Surah al-Zukhruf menekankan peranan al-Quran sebagai pegangan hidup, manakala Surah al-Dukhan pula menekankan perihal kemukjizatan al-Quran. (Lihat Asrar Tartib al-Quran, hlm. 129)

Jika diperhatikan pada awal Surah al-Zukhruf iaitu pada ayat kedua, ia dimulakan dengan ayat yang serupa sebagaimana Surah al-Dukhan iaitu firman Allah SWT:

وَٱلْكِتَـٰبِ ٱلْمُبِينِ

Maksudnya: “Demi al-Quran yang jelas keterangannya.”

(Surah al-Zukhruf: 2)

Selain daripada itu, awal Surah al-Dukhan juga menerangkan tentang al-Quran sepertimana awal Surah al-Zukruf. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Zukhruf:

إِنَّا جَعَلْنَـٰهُ قُرْءَٰنًا عَرَبِيًّۭا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami jadikannya al-Quran dalam bahasa Arab agar kamu semua dapat memahaminya.”

(Surah al-Zukhruf: 3)

وَإِنَّهُۥ فِىٓ أُمِّ ٱلْكِتَـٰبِ لَدَيْنَا لَعَلِىٌّ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran di Lauh Mahfuz mempunyai kedudukan yang tinggi nilainya dan banyak hikmatnya di sisi Kami.”

(Surah al-Zukhruf: 4)

Manakala firman-Nya pula di dalam Surah al-Dukhan:

إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةٍۢ مُّبَـٰرَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang penuh keberkatan. Kami sesungguhnya adalah pemberi peringatan.”

(Surah al-Dukhan: 3)

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ

Maksudnya: “Pada malam tersebut, dijelaskan setiap perkara yang mengandungi hikmat ketetapan takdir.” 

(Surah al-Dukhan: 4)

Jika diperhatikan penerangan tentang al-Quran terdapat kesinambungan antara kedua surah ini iaitu pada Surah al-Zukhruf diterangkan bahawa al-Quran itu ialah mubin yakni penjelasan, diturunkan dalam bahasa Arab, terpelihara dalam Lauh Mahfuz (ibu suratan) di sisi Allah, agung nilainya dan juga mengandungi hikmat-hikmat kebenaran yang tetap kukuh. Lalu di awal Surah ad-Dukhan diteruskan lagi penerangannya iaitu diturunkan pada malam yang berkat, dan al-Quran itu merupakan rahmat daripada Allah SWT.  (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/197-198)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply