Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya melihat berbagai tafsiran bagi kaedah “la darar wa la dirar” yang disebutkan oleh ramai asatizah. Mohon sedikit pencerahan dari ustaz. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di menyatakan tentang kepentingan kaedah fiqh, katanya, antara keindahan syari‘ah Islam, kesempurnaannya dan ketinggiannya, setiap hukum-hakamnya mempunyai usul dan juga juz’iyyat (cabang-cabang fiqh), sama ada ibadah atau mu‘amalat, cabang-cabang fiqh ini kembali semula kepada usulnya. Kesemua ini terdapat hikmah dan kebaikannya, sebagai petunjuk dan rahmat, kebaikan dan keadilan, serta menafikan apa yang bertentangan dengan usulnya. (Lihat al-Riyadh al-Nadhirah, 1/522)

Kaedah ini merupakan salah satu daripada Kaedah-kaedah Fiqh yang Besar dan Menyeluruh (القَوَاعِدُ الكُلِّيَّةُ الكُبْرَى), yang disebutkan:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada mudharat dan tidak juga membalas kemudharatan.”

Kaedah ini berperanan penting untuk menghalang pelbagai bentuk kemusykilan dalam masyarakat Islam terutamanya, sama ada dalam perkara yang berkaitan dengan hubungan kemanusiaan, transaksi jual beli, hubungan sosial, atau yang terkait dengan jenayah secara umumnya. Ia mencakupi semua kemusykilan dan urusan yang padanya terdapat mudharat.

Definisi Kaedah

Dalam menerangkan hakikat kaedah ini, kami cuba memperincikannya dengan membawa perincian seperti yang berikut:

Kalimah (لَا): Menurut ulama’ Usul Fiqh, ia merujuk kepada penafian, yakni larangan untuk melakukan perkara tersebut secara mutlak. Imam al-Haramain al-Juwaini bersenandung tentang takrif ‘larangan’ di dalam nazam beliau:

تَعْرِيفُهُ اسْتِدْعَاءُ تَرْكٍ قَدْ وَجَبْ              بِالْقَوْلِ مِمَّنْ كَانَ دُونَ مَنْ طَلَبْ

وَأَمْرُنَا بِالشَّيْءِ نَهْيٌ مَانِعُ          عَنْ ضِدِّهِ وَالْعَكْسُ أَيْضًا وَاقِعُ

Syeikh Sa‘id bin Muhammad al-Kamali berkata, larangan adalah seruan untuk meninggalkan sesuatu dengan perkataan dari orang yang lebih tinggi kedudukannya kepada orang yang lebih rendah kedudukannya secara wajib. Dan larangan melakukan sesuatu ini merupakan suatu perintah untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan larangan itu. Contohnya, apabila ada larangan untuk duduk, maka wajib berdiri. (Lihat Janiy al-Thamarat, hlm. 83)

Kalimah (ضَرَرَ) dan kalimah (ضِرَارَ): Kalimah (ضَرَرَ) dari segi bahasa bermaksud berlawanan kepada manfaat. (Lihat Ma‘ajim Maqayis al-Lughah, 3/360)

Kemudian dibincangkan pula sama ada kedua-dua kalimah ini mempunyai maksud yang berbeza atau hanya kata seerti.

Pandangan pertama: Kalimah (ضَرَرَ) hanya datang dari satu pihak sahaja, manakala kalimah (ضِرَارَ) pula datang dari dua pihak, bermaksud saling mendatangkan mudharat, atau membalas mudharat dengan kemudharatan.

Pandangan kedua: Kalimah (ضَرَرَ) itu apa yang memudharatkan mangsa dan memberi manfaat kepada pelakunya. Manakala  kalimah (ضِرَارَ) pula apa yang memudharatkan mangsa sedangkan pelakunya tidak memperoleh sebarang manfaat.

Pandangan ketiga: Kedua-dua kalimah ini adalah bersamaan ertinya. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/212; al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 3/81; al-Kifayah bi Syarh al-Wusul, 4/302)

Syeikh Dr. Ya‘qub al-Bahasin membawakan kefahaman secara umum tentang kaedah ini, bahawa diharamkan untuk mendatangkan kemudharatan kepada orang Islam, meskipun secara fizikal atau emosi, dan sama ada pada agamanya, dirinya, akalnya, hartanya, atau keturunannya. (Lihat al-Mufassal fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 333)

Rukun dan Syarat Kaedah

Rukun (1): Perbuatan Mudharat dan Membalas dengan Kemudharatan

Ini merupakan topik utama dalam perbahasan kaedah ini, dan ianya diikat dengan 2 syarat:

  • Bersifat Umum: Ia mencakupi semua jenis kemudharatan yang ada.
  • al-Tajrid (Bebas): Yakni kemudharatan yang dilakukan itu bebas dari sebarang sebab yang diharuskan oleh syara‘. Dalam erti kata lain, kemudharatan itu sengaja dilakukan tanpa sebarang sebab yang diharuskan.

Rukun (2): Penafian dengan kalimah (لَا)

Penafian ini penting kerana difahami darinya maksud larangan dan tegahan syara‘ terhadap perbuatan mudharat atau membalas kemudharatan. Dan ia juga mempunyai 2 syarat:

  • Larangan yang Datang Dari Syara‘: Iaitu larangan yang membawa maksud haram dan tidak dibenarkan untuk melakukannya.
  • Larangan Secara Mutlak: Yakni tidak ada keraguan pada larangan tersebut.

Rukun (3): Perkara yang Ditimpakan Ke Atasnya Mudharat

Ini turut menjadi rukun dalam kaedah kerana sesuatu mudharat itu tidak akan berlaku melainkan dengan adanya sesuatu perkara yang ditimpakan ke atasnya mudharat, seperti diri seseorang, agamanya, akalnya, hartanya, atau keturunannya dan lain-lain. Ia hanya mempunyai satu syarat sahaja:

  • Boleh Berlaku padanya Mudharat: Jika ianya adalah perkara yang tidak boleh ditimpa sebarang mudharat, telah hilanglah satu rukun dari kaedah ini. (Lihat al-Mufassal fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 338 )

Dalil Pensyari‘atan Kaedah

Kaedah ini warid dalam nas-nas syara‘, bahkan pada hakikatnya ia merupakan nas hadith yang diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat, antaranya ‘Ubadah bin al-Samit R.A, ‘Abdullah Ibn ‘Abbas R.A, dan Abu Sa‘id al-Khudri R.A. Ia diriwayatkan dalam beberapa kitab hadith; Sunan Ibn Majah (1909) (1910) (2341) dan Musnad Imam Ahmad (2865).

Pembahagian Mudharat

Mudharat ini sebagaimana yang kami telah isyaratkan di atas, dapat dibahagikan kepada beberapa pecahan:

Pertama: Mudharat Secara Fizikal dan Emosi

  • Kemudharatan secara fizikal. Bermaksud, mudharat itu kesannya pada tubuh seseorang dengan apa jua bentuk serangan, atau mudharat pada hartanya, atau apa jua yang terkait dengan perkara fizikal.
  • Kemudharatan secara emosi. Mudharat ini kesannya berkait dengan psikologi seseorang, sama ada kerana qazaf (tuduhan zina), penghinaan, memburukkan nama baiknya, dan lain-lain.

Kedua: Mudharat Berdasarkan Kesannya

  • Mudharat yang kesannya segera. Sebagai contoh, membuka kedai makan atau restoran di tengah-tengah gedung menjual baju, sedangkan dia tahu baju-baju di kawasan itu akan berbau kerana restorannya.
  • Mudharat yang kesannya lewat. Mudharat ini amat jelas dalam masyarakat kita, seperti merokok. Perokok itu mungkin akan menghidapi kanser akibat ketagihan rokoknya, tetapi kesannya tidaklah berlaku serta-merta. (Lihat al-Mufassal fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 346-347)

Beginilah serba ringkas yang dapat kami bahaskan tentang kaedah ini. Semoga kita dapat beroleh manfaat dan mengaplikasikannya, seterusnya beramal berlandaskan ketentuan syara‘. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply