Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Allah SWT mempunyai sifat cemburu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sifat-sifat Allah SWT yang thabit dalam nas al-Quran dan hadith telah dibahaskan oleh para ulama’ sama ada dengan mengithbatkannya tanpa mentakwilkannya. Dan yang keduanya mentakwilkannya secara yang layak kepada Allah SWT. Adapun tujuan yang kedua sebagai untuk mensucikan Allah SWT dari sifat-sifat yang tidak layak bagi Allah, yang dikatakan ada persamaan dengan makhluk. Kaedah menyebut sebagaimana di dalam nas al-Quran al-Karim:

 وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ ‎

Maksudnya: “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya.”

(Surah al-Ikhlas: 4)

Al-Syaukani berkata: Yakni, tidak ada yang setara atau menyerupai-Nya, dan tidak pula ada yang memiliki sifat yang sempurna seperti-Nya. (Lihat Fath al-Qadir, 16/132)

Syeikh al-Sa’di berkata: “Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia,” sama ada dalam nama-nama-Nya, sifat-sifat-Nya mahupun perbuatan-Nya. Maha Suci dan Maha Tinggi Allah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 721)

Firman Allah SWT:

 لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ

Maksudnya: “Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya).”

(Surah al-Syura: 11)

Syeikh al-Maraghi berkata: “(Maksud ayat tersebut) Iaitu tiada yang seperti Pencipta pasangan-pasangan dengan sesuatu yang sepadan dengannya. Kerana Dia adalah Maha Esa dan menjadi tumpuan makhluk untuk memohon sebarang hajat. Boleh jadi makna ayat tersebut adalah tiada apa-apa pun yang sama dengan-Nya dalam pentadbiran-Nya yang mana Kudrat-Nya adalah Maha Sempurna. Ilmu-Nya Maha Luas dan kebijaksanaan-Nya adalah Maha Lengkap dan Sempurna.” (Lihat  Tafsir al-Maraghi, 25/15)

Dalam menjawab persoalan di atas, memang terdapat nas hadith sehingga di’bab’kan oleh Imam al-Bukhari:

بَابُ قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لاَ شَخْصَ أَغْيَرُ مِنَ اللَّهِ» وَقَالَ عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عَمْرٍو، عَنْ عَبْدِ المَلِكِ: لاَ شَخْصَ أَغْيَرُ مِنَ اللَّهِ.

Bab: Sabda Nabi SAW: “Tidak Ada Seorang Pun Yang Lebih Cemburu Daripada Allah.” Dan ‘Ubaidullah Bin ‘Amr Berkata, Daripada ‘Abd Al-Malik: “Tidak Ada Seorang Pun Yang Lebih Cemburu Daripada Allah.”

Daripada al-Mughirah R.A, beliau berkata: Sa‘d bin ‘Ubadah berkata:

لَوْ رَأَيْتُ رَجُلًا مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسَّيْفِ غَيْرَ مُصْفَحٍ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ، وَاللَّهِ لَأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ، وَاللَّهُ أَغْيَرُ مِنِّي، وَمِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ اللَّهِ حَرَّمَ الفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، وَلاَ أَحَدَ أَحَبُّ إِلَيْهِ العُذْرُ مِنَ اللَّهِ، وَمِنْ أَجْلِ ذَلِكَ بَعَثَ المُبَشِّرِينَ وَالمُنْذِرِينَ، وَلاَ أَحَدَ أَحَبُّ إِلَيْهِ المِدْحَةُ مِنَ اللَّهِ، وَمِنْ أَجْلِ ذَلِكَ وَعَدَ اللَّهُ الجَنَّةَ»

Maksudnya: Seandainya aku melihat seorang lelaki bersama isteriku, pasti aku akan memukulnya dengan pedang tanpa kemaafan. Lalu perkara itu sampai kepada Rasulullah SAW, maka Baginda SAW bersabda: “Adakah kalian berasa hairan dengan kecemburuan Sa‘d? Demi Allah, sungguh aku lebih cemburu daripadanya dan Allah lebih cemburu daripada aku. Disebabkan oleh kecemburuan Allah, Dia mengharamkan perbuatan-perbuatan keji, apa yang nyata daripadanya dan apa yang tersembunyi. Dan tidak ada seorang pun yang lebih menyukai (untuk menerima) keuzuran (alasan) daripada Allah. Oleh kerana itu, Dia mengutuskan orang-orang yang menyampaikan berita gembira dan orang-orang yang memberi peringatan. Dan tidak ada seorang pun lebih menyukai pujian daripada Allah. Disebabkan oleh itu, Allah menjanjikan syurga.”

Riwayat al-Bukhari (7416)

Kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”

Leave a Reply