Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. boleh terangkan kepada kami apakah kelebihan bersilaturrahim? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Maksudnya: “Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

(Surah al-Nisa’: 1)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, bertakwalah kamu kepada Allah dengan mentaati-Nya. Kata Ibrahim, Mujahid dan al-Hasan: “الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ” ertinya sebagaimana ucapan seseorang: “Aku meminta kepadamu dengan (nama) Allah dan dengan (hubungan) rahim.”

Al-Dahhak berkata: “Bertakwalah kamu kepada Allah yang dengan-Nya kamu saling mengikat janji dan persetujuan, serta takutlah kamu daripada memutuskan silaturrahim, tetapi berusahalah untuk berbuat baik dan menyambungnya.” Pentafsiran ini adalah pendapat Ibn Abbas, Ikrimah, Mujahid, al-Hasan, al-Dahhak, al-Rabi’ dan ramai ulama’ yang lain.

Sebahagian ulama membaca ” والأرحامِ ” dengan khafadh (kasrah) sebagai athaf (sambungan) dari dhamir “بِهِ”, maksudnya kamu saling meminta satu sama lain kepada Allah dan hubungan silaturrahim, sepertimana yang dinyatakan oleh Mujahid dan selainnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/332)

Allah SWT juga berfirman:

وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّـهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat).”

(Surah al-Ra’d: 21)

Syeikh al-Maraghi berkata: Mereka mengikat tali perhubungan silaturrahim sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT. Lalu mereka bergaul dengan kaum kerabat dengan perasaan penuh kecintaan dan kebaikan. Seterusnya mereka berbuat kebaikan kepada golongan miskin dan golongan yang memerlukan pertolongan antara mereka dengan memberikan kebaikan kepada mereka dan menjauhkan bahaya daripada mereka mengikut kemampuan yang mereka ada. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3510)

Perkataan silaturrahim (صلة الرحم) berasal daripada dua perkataan Arab iaitu “صلة” dan “الرحم”. Al-Raghib al-Asfahani menyebut:

الرَّحِمُ: رَحِمُ المرأة (أي بيت منبت ولدها ووعاؤه) . ومنه استعير الرَّحِمُ للقرابة، لكونهم خارجين من رحم واحدة

“Al-Rahim yang dimaksudkan adalah rahim wanita iaitu tempat di mana janin berkembang dan terlindung (dalam perut wanita). Dan istilah al-rahim digunakan untuk menyebut kaum kerabat kerana mereka berasal dari satu rahim.” (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 347)

Antara hadis yang menyebut berkenaan menyambung silaturrahim, sepertimana sabda Rasulullah SAW:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”

Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114)

Manakala dalam hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari R.A, Rasulullah SAW pernah ditanya berkenaan amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga, lalu Baginda SAW menjawab:

تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا ، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ ، وَتُؤْتِى الزَّكَاةَ ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ

Maksudnya: “Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik pada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan jalinlah tali silaturrahim.

Riwayat al-Bukhari (5983)

Imam Nawawi menyebut: “Adapun maksud silaturrahim, ia adalah berbuat baik kepada kaum kerabat sesuai dengan keadaan orang yang hendak menghubungkan dan keadaan orang yang hendak dihubungkan. Terkadang dalam bentuk kebaikan dengan harta, terkadang dengan memberi bantuan tenaga, terkadang dengan mengunjunginya, dengan memberi salam, dan sebagainya.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 1/287)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan menghubungkan silaturahmi merupakan kewajipan bagi seluruh umat islam dan memutuskannya adalah haram mengikut jumhur ulama.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan menjaga hubungan baik antara sesama umat Islam sangat penting dalam agama kita. Ini adalah seperti satu tugas yang wajib yang  perlu dilakukan oleh setiap orang Islam. Memutuskan hubungan ini, menurut kebanyakan ulama agama, dianggap sebagai perkara yang tercela dan tidak dibenarkan. Ia bukan sahaja mempengaruhi hubungan sosial, tetapi juga dianggap sebagai sesuatu yang dilarang dalam agama kita. Allah SWT memberikan ganjaran kepada kita jika kita menjaga hubungan ini dengan baik. Firman Allah SWT:

فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِن تَوَلَّيْتُمْ أَن تُفْسِدُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوٓا۟ أَرْحَامَكُمْ ٢٢ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَىٰٓ أَبْصَـٰرَهُمْ

Maksudnya: (Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan – jika kamu dapat memegang kuasa – kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat? (22) (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya

(Surah Muhamammad: 22-23)

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الرَّحِمُ شِجْنةٌ، فمَن وصَلَها وصَلْتُه، ومَن قَطَعها قطَعْتُه

Maksudnya:  Perkataan ‘Ar-Rahm’ (rahim) adalah syijnah (daun pokok yang rendang). Oleh itu, sesiapa yang menyambungnya maka aku akan menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskannya maka akupun akan  memutuskannya.

Riwayat Bukhari(5989)

Terdapat banyak kelebihan menjaga silaturrahim sebagaimana yang dinyatakan dalam nas-nas al-Hadith antaranya adalah sepertimana berikut:

  • Silaturrahim adalah tanda bagi keimanan seseorang.

Diriwayatkan daripada  Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ومَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan haari akhirat, maka hubungkanlah silaturrahim.”

Riwayat al-Bukhari (6138) dan Muslim (47)

  • Menambahkan Rezeki dan Umur

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Bahwa Belai mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”

Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)

  • Menarik kasih sayang ahli keluarga dan kekayaan harta

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar bahawa beliau berkata:

مَنْ اتَّقَى رَبَهُ وَوَصَلَ رَحِمَهُ، نُسئَ لَهُ فِي عُمْرِهِ، وَثَرَى مَالٌهُ، وَأَحَبَهُ أَهْلَهُ

Maksudnya: Jika seseorang takut kepada Tuhannya dan menjaga hubungan silaturahim, maka umurnya akan dipanjangkan, dia akan memperoleh kekayaan yang berlimpah, dan orang-orang di sekitarnya akan mencintainya

Riwayat Bukhari dalam Adab al-Mufrad(43/58)

  • Silaturrahim memudahkan hisab dan dikurniakan syurga

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثلاثٌ من كنَّ فيه حاسبه اللهُ حسابًا يسيرًا وأدخله الجنَّةَ برحمتِه قالوا وما هي يا رسولَ اللهِ بأبي أنت وأمِّي قَالَ تُعْطِي مَن حرَمَك وَتَصِلُ مَن قَطَعَكَ وَتَعْفًو عَمَّنْ ظَلَمَكَ فَإِذَا فَعَلْتَ ذَلِكَ تَدْخُلِ الجنَّةَ

Maksudnya: Tiga perkara yang jika seseorang amalkannya, Allah akan menghisabnya dengan hisab yang mudah dan masukkan ke dalam syurga dengan rahmat-Nya.” Mereka bertanya, “Apakah itu, wahai Rasulullah?” Beliau bersabda, “Memberi kepada yang menahan darimu, menjalin hubungan dengan yang memutuskan hubungan denganmu, dan memaafkan orang yang berlaku zalim kepadamu. Jika engkau berbuat demikian, engkau akan masuk syurga.”

Riwayat al-Bazzar(8635) dan Tabrani dalam Mu’jam al-Awsat(5064)

  • Menjaga hubungan kekeluargaan lebih cepat mendapat ganjaran pahala

Diriwayatkan daripada Abi Bakrah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا من ذنبٍ أجدرُ أن يُعجِّلَ اللهُ تعالى لصاحبِه العقوبةَ في الدنيا، مع ما يَدِّخِرُه له في الآخرةِ من قطيعةِ الرَّحِمِ، والخيانةِ، والكذبِ، وإنَّ أَعجلَ الطاعةِ ثوابًا لصلَةُ الرَّحِمِ، حتى إنَّ أهلَ البيتِ ليكونوا فجَرةً، فتنمو أموالُهم، ويكثُرُ عددُهم، إذا تواصَلوا

Maksudnya: Tidak ada dosa yang lebih mempercepat Allah memberikan hukuman kepada pelakunya di dunia, selain dari apa yang Dia simpan baginya di akhirat, seperti memutuskan hubungan kekeluargaan, khianat, dan kebohongan. Dan sesungguhnya, amalan yang paling cepat mendapat pahala ialah menjaga hubungan kekeluargaan. Hingga keluarga yang menjaga hubungan baik akan diberkati, harta mereka akan bertambah, dan jumlah mereka akan banyak. Oleh tu sambungkanlah silaturrahim.”

Riwayat Tirmizi(2511) dan Ibn Majah (4211)

Justeru, dari hadis-hadis yang telah dikemukakan, jelaslah betapa pentingnya menjaga silaturrahim. Individu yang sentiasa menjaga hubungan silaturrahim  akan diberi ganjaran yang pelbagai sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, adalah penting untuk kita berusaha memelihara hubungan silaturrahim  ini dengan sepenuh hati, tidak mengabaikan silaturrahim sama ada dengan keluarga mahupun orang lain. Kita perlu ingat bahawa memutuskan hubungan ini merupakan dosa besar yang akan membawa kesan buruk baik di dunia mahupun di akhirat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahua’lam

Leave a Reply